Ahad, November 28, 2010

Karnival Angkasa di Planetarium Melaka

Hari ini kami sekeluarga mengambil keputusan untuk mengunjungi Planetarium Melaka yang terletak berhampiran MITC Ayer Keroh, Melaka. Jam 12.45 tengah hari, kami bergerak dari rumah dan sampai ke destinasi 20 minit kemudian.

Hari ini juga merupakan hari terakhir Karnival Angkasa yang berlangsung selama seminggu. Ia diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Karnival Angkasa dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama The National Aeronautics and Space Administration (NASA), Amerika Syarikat di mana ia julung kali diadakan di Negeri Melaka.

Sebaik membeli tiket dan melalui pintu masuk, kami dimaklumkan ada tayangan di tingkat atas. Kami lantas mengambil tempat dan menikmati tayangan tentang matahari dan planet-planet di angkasa selama kira-kira 20 minit. Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik minat pengunjung untuk mengetahui tentang sains. Antaranya pameran angkasa oleh NASA, bumi dan planet lain, aktiviti interaktif seperti mengukur sistem UV, eksplorasi robotik, manik-manik UV, roket daripada tiub kertas dan spektroskop DIY.

Kami sempat menghadiri satu bicara selama 30 minit berkaitan dengan matahari iaitu 'The Sun and Us' yang disampaikan oleh Dr. Gopalswamy Natchimuthuk dari Goddard Space Flight Center, Greenbelt, Amerika Syarikat. Sebelum itu, Arif dan Ifa sempat mengikuti aktiviti mengukur sistem UV dan membuat spektroskop DIY. Alim dan Miza pula menggunakan komputer untuk aplikasi simulator kapalterbang.

Di bahagian bawah bangunan planetarium ini, terdapat satu ruang pameran yang mempromosikan Melaka Negeri Maju di mana salah satunya ialah pameran yang melibatkan kejayaan UTeM dalam menghasilkan penyelidikan yang berjaya di peringkat dunia. Maklumat tentang Planetarium Melaka boleh didapat di sini.

Kami juga ke Perpustakaan Planetarium di mana di sini juga ada pameran dan buku-buku tentang angkasa.

Jam 4.00 petang, kami bertolak pulang dan singgah di sebuah restoran di Kota Fesyen untuk menjamu selera.

Buat anak-anak, semoga dengan mengunjungi Karnival Angkasa di planetarium ini akan dapat mengisi masa lapang di samping akan meningkatkan minat dalam sains dan teknologi hendaknya.




























Tiada ulasan:

Catat Ulasan