Rabu, November 10, 2010

Dilema Lelaki Bos Perempuan

Bayangkan jika anda bekerja dengan seorang bos perempuan yang cerewet! Memang merumitkan. Malah, pekerja yang bagus dan cekap sekalipun menurut pakar psikologi akan jatuh kecekapan daya kerjanya.

Namun begitu, dengan sedikit kesabaran dan pengertian, anda pasti dapat menangani perangai bos yang demikian. Bagi anda, kaum lelaki yang bekerja di bawah pengawasan seorang perempuan yang anda panggil 'bos', jangan khuatir. Anda tetap akan menjadi pekerja yang baik dan 'happy go lucky' dengan mengamalkan beberapa cara menghadapi sikap cerewet 'bos' yang berbeza.

Bos Yang Kejam

Ramai yang bersungut di belakang jika mereka bekerja di bawah seorang bos yang kejam iaitu bos yang tidak punya pengertian dan hanya tahu memerintah dan mengarah seperti seorang sarjan bermisai melenting dan berjalan dengan menghentak bootnya yang keras.

Bos yang kejam tidak pernah mahu mengambil tahu masalah lain di belakang pekerjanya. Apa yang dia tahu, segala urusan yang berkaitan dengan soal pejabat mesti beres. Kalau sesuatu kerja itu harus disiapkan sebelum pukul 12 tengah hari, maka tiada tolak ansur untuk menyiapkan kerja itu pada pukul 2 petang.

"Bos saya seorang perempuan yang tidak bertimbang rasa. Setiap waktu dia mesti diberitahu ke mana kami mahu pergi. Hati kami lapang bila tiba petang Jumaat kerana Sabtu dan Ahad merupakan hari cuti dan kami tidak memandang mukanya lagi. Tapi hari Isnin adalah 'Black Monday'," ujar Kamal.

Bagaimana anda menghadapi pemerintah (bos) yang kejam? Soal Emilia Sloane, pakar psikologi di Hospital Hillside.

"Paksa diri anda untuk bertindak balas kepada setiap serangan dengan menggunakan logik akal dan tidak menurut perasaan," nasihat Emilia Sloane.

Jika anda mendapat bos yang bersikap begini, tambahnya lagi, jangan biarkan diri anda diperalatkan untuk kepentingan kedudukannya dan jangan melawan pekikan bos anda dengan pekikan juga. Sebaliknya, jika anda mengekalkan sikap tenang, anda mempunyai peluang besar untuk menakluki bos sedemikian dan membincangkan mengenai kritikannya dengan jalan yang positif. Akhirnya, dalam diam dia akan menghormati sikap tenang anda yang lebih baik dari dirinya.

Bos Yang Gemar Menyalahkan

Bos yang keras kepala tidak akan menerima kesalahan di pihaknya. Apabila sesuatu perkara buruk berlaku, dengan cepat si bos mengelak dan menudingkan jarinya ke arah anda.

"Jangan nak berbalah mengenai siapa salah dan siapa benar," kata Janice LaRouche, seorang Perunding Kerjaya dan Penulis Bersama Regina Ryan yang menulis buku 'Janice LaRouche's Strategies for Women at Work'.

"Bos sebegini selalunya merasa diri tidak selamat. Satu saja cara untuk dia mengelakkan kritikan ke atas dirinya ialah
dengan menyalahkan orang lain."

Bagaimana jika anda seorang lelaki mempunyai bos perempuan sedemikian?

LaRouche menyarankan supaya anda mengekalkan rekod pekerjaan yang baik dan jangan sekali-kali membiarkan diri anda dipersalahkan atas sesuatu yang bukan salah anda. Katakan, "saya melihatnya dalam keadaan yang lain, tetapi apa yang paling penting pada saya sekarang ialah tidak akan membiarkan perkara ini berlaku lagi."

Arahkan perbincangan di atas cara-cara bagaimana untuk menyelesaikan masalah. Bukannya terus-terusan mencari siapa yang melakukan kesalahan itu. Jika anda berjaya mengendalikan masalah ini, tentu bos anda akan tertunduk malu.

Bos Kepala Angin

Pada hari Isnin di dalam pejabat, bos anda menceritakan tentang perlawanan tenis yang ditontonnya semalam. Pada hari Rabu pula dia menegur anda pagi-pagi lagi dengan senyuman manis di muka. Sepanjang minggu itu dia memuji-muji kerja anda. Minggu berikutnya dia mengoyak-ngoyak kerja yang telah anda siapkan dengan baik dan melemparkannya ke muka anda.

Jika ini berlaku, jangan biarkan sikap gila bos anda mempengaruhi keyakinan diri anda.

"Kekalkan cara kerja anda dalam segala urusan," nasihat Virginia Sadock, pakar psikiatri New York.

"Pelajari pusingan moodnya dan hampiri bos anda apabila anda benar-benar tahu moodnya baik pada hari itu. Anda tidak bertanggungjawab di atas kebaikan atau keburukan personalitinya, jadi, pedulikan sifat kepala anginnya, terus bersikap objektif dan pastikan kualiti kerja anda sentiasa konsisten."

Bos yang Suka Mengancam

Bos sebegini biasanya mempunyai sikap cemburu yang berlebihan. Mungkin dia melihat bahawa anda mempunyai kemahiran yang lebih darinya atau anda mempunyai hubungan yang lebih luas dengan orang luar atau mungkin anda sering dipanggil oleh bos yang lebih atas untuk menghadiri mesyuarat. Oleh itu, dia cuba menghalang sebarang maklumat jatuh ke tangan anda malah cuba menjauhkan anda dari menghadiri mesyuarat.

Apabila anda mula merasai keadaan bos yang cuba mengancam kedudukan anda, ambil langkah untuk menyakinkannya bahawa prinsip kerja anda adalah secara berpasukan.

"Tiada bos yang patut merasa tidak selamat dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang bawahannya selagi mereka menjalankan kerja dengan baik dan tidak memburuk-burukkan bosnya," ujar Perunding Kerjaya, Janice LaRouche.

"Jika anda mempunyai bos sedemikian, periksa baik-baik tingkah laku anda. Jika bos anda memang tidak berkelayakan dan anda pula bercita-cita mengambil tempatnya, anda harus melangkah dengan berhati-hati. Jika tidak, dia akan menghalau anda keluar sebelum dia sendiri keluar dari pejabat itu."

Bos Yang Gemar Bertangguh

Bos yang bersifat begini tidak suka membuat keputusan kerana dia takut tersalah pilih," ujar Katherina Nash, Perunding Kerjaya dari New York. Cara terbaik untuk bekerja dengan bos yang gemar bertangguh ialah dengan mengambil inisiatif untuk meneruskan sendiri projek yang telah diatur.

"Tinggalkan nota di atas meja bos anda dan nyatakan bahawa anda akan meneruskan plan A kecuali dia memberitahu sebaliknya," nasihat Nash.

Sementara itu, terus beritahu bos anda mengenai 'datelines', masalah berbangkit dan penyelesaian berbeza yang anda ambil. Berurusan dengan bos sedemikian sebenarnya boleh membantu anda bertindak sendiri dan menjadi seorang pembuat keputusan yang baik.

Bos Yang Mementingkan Kesempurnaan

Anda mungkin boleh menjadi tidak menentu dan panas hati melihat bos yang sering menolak kerja-kerja anda kerana tidak memuaskan hatinya. Bos yang mementingkan kesempurnaan adalah terlalu ekstrim mengkritik kerja orang bawahannya kerana menganggap dirinya serba sempurna dan mengukur hasil kerja orang lain menggunakan kayu ukur yang pendek.















Namun begitu, jika bos anda walaupun hanya seorang perempuan tetapi sangat cekap bekerja, anda mendapat kebaikan dengan memerhatikan cara kerjanya untuk panduan anda memperbaiki diri.

Tetapi, jika bos anda sebenarnya tidak berbakat sebaliknya hanya petah bercakap dan mengkritik, Dr. Saddock menasihatkan, "beritahu dia bahawa anda mahu bekerjasama dengannya membereskan assignment yang akan datang. Dapatkan nasihatnya dan pastikan anda sentiasa memberi laporan perkembangan ke atas projek yang sedang dilaksanakan bersamanya."

Dengan cara ini, bos anda tidak berupaya mengkritik kerja anda kerana ia adalah berdasarkan kerjasama dia dan anda. Bukankah ini menyelamatkan diri anda?

3 ulasan: