Sabtu, November 06, 2010

Bengkel Pengkatalogan Deskriptif

Pada 3 dan 4 November 2010, Perpustakaan UTeM telah menganjurkan Bengkel Pengkatalogan Deskriptif dan Aplikasi Format MARC 21 Untuk Monograf. Bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kecekapan peserta dalam pendokumentasian bahan supaya pengaksesan dapat dilakukan dengan cepat dan tepat di samping merupakan satu pendedahan dan latihan bagi meningkatkan kompetensi staf dalam pendokumentasian bahan perpustakaan.

Bengkel yang diadakan di Aras 2, Bangunan Perpustakaan UTeM ini dihadiri seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada 33 orang staf Perpustakaan UTeM dan 12 orang peserta daripada agensi luar. Penyertaan peserta daripada agensi luar terdiri daripada Kolej Pengajian Islam Johor (3 orang), Melaka Manipal Medical (2 orang), Micost (1 orang), Southern College (1 orang), Kolej RISDA Melaka (1 orang), Unikl Micet (2 orang), Kolej Teknologi Yayasan Alor Gajah (1 orang) dan Kolej Negeri Kampus Chedang (1 orang).

Bengkel Pengkatalogan Deskriptif dan Aplikasi Format MARC 21 Untuk Monograf ini dikendalikan oleh Cik Salmah Hj. Salleh, iaitu Training Consultant di Wisdom Synergy Enterprise. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pengkatalogan menggunakan segala kepakarannya untuk membantu peserta yang rata-rata terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang kepustakawanan untuk memantapkan pengetahuan mereka dengan perkongsian maklumat semasa bengkel.

Di antara topik yang dibentangkan pada hari pertama ialah berkaitan asas pengkatalogan, pengkatalogan deskriptif - deskripsi monograf dan contoh-contoh serta pemilihan punca-punca akses.

Pada hari kedua, topik yang dibicarakan ialah berkaitan bentuk tajuk - nama orang perseorangan, nama badan korporat, nama persidangan dan nama geografi. Di samping itu, penceramah juga menerangkan tentang aplikasi format MARC 21 untuk monograf dan bagi memastikan peserta faham topik-topik yang dibentangkan, penceramah menyediakan latihan dan jawapan dibincangkan secara bersama.

Di akhir sesi, peserta dapat bersoal jawab dengan penceramah dan ini dapat meningkatkan kefahaman peserta serta dapat menyelesaikan segala kekusutan semasa diaplikasikan ke dalam pekerjaan peserta kelak.

Bengkel yang bermula pada jam 8.30 pagi tamat pada jam 5.00 petang. Bengkel diakhiri dengan aktiviti penyampaian sijil oleh Ketua Pustakawan kepada peserta dan penceramah.

Secara keseluruhan, Bengkel Pengkatalogan Deskriptif dan Aplikasi Format MARC 21 Untuk Monograf ini berjaya mencapai matlamatnya dan sesungguhnya penganjuran bengkel sebegini dapat merapatkan hubungan di antara perpustakaan dan secara tidak langsung meningkatkan bidang kepustakawanan di mata masyarakat.













































Tiada ulasan:

Catat Ulasan