Rabu, Februari 29, 2012

Latihan Pangkalan Data

Rabu, 29 Februari 2012. Hari ini Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan UTeM menganjurkan satu latihan pangkalan data bertempat di Bilik Pangkalan Data, Perpustakaan UTeM. Seramai 30 orang peserta hadir dalam latihan terdiri daripada pustakawan, staf akademik dan pelajar.



Sesi latihan bermula pada jam 10.00 pagi dan terbahagi kepada dua sesi. Sesi pertama ialah penerangan daripada Encik Mohd Redzha, wakil daripada Taylor & Francis Group.

Beliau menerangkan tentang pangkalan data Taylor & Francis. Maklumat boleh diakses di sini http://www.tandfonline.com

Taylor & Francis ditubuhkan pada tahun 1798 merupakan salah sebuah penerbit bahan-bahan akademik yang terkemuka di dunia. Penerbit ini menerbitkan lebih 1,350 jurnal dalam 19 bidang perkara meliputi Matematik, Sains, Kesenian dan Sains Sosial. Pangkalan data ini menyimpan bahan arkib yang boleh diakses kandungannya secara teks penuh dari tahun 1997 hingga kini.

Sesi kedua pula bermula jam 10.45 pagi. Tiga orang wakil Bernama hadir memberikan demonstrasi latihan yang diketuai oleh Puan Raj Anila dan Encik Mohd Noor Atan. Bernama Library & Infolink Service atau BLIS http://blis.bernama.com



BLIS merupakan perpustakaan elektronik yang menyediakan berita dan informasi mengenai Malaysia. Maklumat di dalam BLIS terkandung dalam 11 modul iaitu Bernama News, Archival News, Foreign News, Info Providers, Who's Who, Speeches, Sectoral Reports, Databank, Facts & Figures, Directory dan Calendar of Event.

Sesungguhnya dengan latihan yang disediakan, ia akan dapat meluaskan penggunaan pangkalan data yang dilanggan oleh universiti serta dapat meningkatkan kefahaman pengguna dalam pencarian maklumat.

Sesi latihan berakhir pada jam 1.00 tengah hari.






Orang Baru Keluarga Azilah

Selasa, 28 Februari 2012. Hari ini aku menerima perkhabaran gembira bila mana adikku Azilah selamat melahirkan seorang puteri. Beliau bersalin melalui kaedah pembedahan kerana anak dalam kandungan dalam kedudukan melintang.

Azilah dan suaminya, Nizam pernah kehilangan seorang anak lelaki, Arsyad pada 29 Disember 2011. Namun begitu, hari ini Allah SWT mengurniakan pasangan ini dengan seorang anak perempuan buat menceriakan kehidupan mereka sekeluarga.

Maka bertambahlah seorang lagi 'orang baru' dalam keluarga besar Hj. Ayup dan Mak Bedah.

Tahniah diucapkan kepada Azilah dan Nizam sekeluarga dengan kedatangan si comel ini. Sehingga entri ini ditulis, nama anak kecil ini masih belum diberikan lagi secara rasmi melainkan khabarnya Aini sahaja.

Selasa, Februari 21, 2012

Pesanan Imam Al-Ghazali



Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya:

1. Pertama, Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?.

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah mati. Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah Ali Imran 185)

2. Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah masa lalu. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

3. Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. Apa yang paling besar di dunia ini?

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah nafsu.

Justeru nafsu yang menguasai diri, menyebabkan manusia gagal menggunakan akal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah SWT. untuk hidup berlandaskan kebenaran. Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api Neraka Jahanam.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al A'araaf 179)

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

4. Pertanyaan keempat adalah, apa yang paling berat di dunia ini?

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah memegang amanah.

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Surah Al Ahzaab 72)

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya.

5. Pertanyaan yang kelima adalah, apa yang paling ringan di dunia ini?.

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara bermesyuarat kita tinggalkan solat.

6. Lantas pertanyaan keenam adalah, apakah yang paling tajam di dunia ini?.

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Fikir-fikirkanlah...

Allahyarham Mohd Efendi Dalam Kenangan (1984-2012)

Setiap yang hidup pasti akan mati. Itulah hakikatnya kehidupan.

Allahyarham Mohd Efendi mula bertugas di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada pertengahan tahun 2006 sebagai Pembantu Perpustakaan di Perpustakaan UTeM.

Arwah pernah ditempatkan di Unit Rujukan, Unit Pentadbiran Am dan yang terbaru ditukarkan ke Unit Sirkulasi dan Media.

Arwah telah diijabkabulkan dengan Norhaslieza Mohd Yaakob pada 19 Julai 2008 di Felda Palong 7, Negeri Sembilan. Hasil perkahwinannya, arwah dikurniakan seorang anak lelaki, Faris yang berusia 2 tahun. Isterinya kini sedang mengandung anak kedua arwah dan dijangka bersalin pada bulan Mac 2012.

Allahyarham seorang yang senang bergaul dan mesra dengan rakan-rakan sepejabat. Adakalanya arwah akan bergurau dengan rakan-rakan bagi membuatkan suasana lebih ceria. Semasa hayatnya, arwah juga suka menolong rakan-rakan apabila diperlukan.

Kenangan manis bersama arwah ialah semasa perpustakaan mengadakan Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri Dan Organisasi pada 23 hingga 25 Jun 2006 di Cameron Highlands.

Namun begitu, kesihatan arwah tidak begitu baik. Arwah pernah menjalani pembedahan jantung pada pada tahun 2009. Beberapa tahun kemudian, masalah kekurangan darah merah pada tubuhnya pula menjadi masalah tambahan sehinggakan kerap keluar masuk hospital.

Dikhabarkan beberapa hari selepas keluar hospital, arwah bersama isteri ditemani bapa saudara dan ibu saudaranya ke sebuah pusat rawatan di Bangi bagi mendapatkan rawatan alternatif. Malangnya, itulah usaha terakhir arwah sehinggakan arwah meninggal dunia jam 1.30 pagi, 20 Februari 2012.

Pada usia 28 tahun, arwah mengikut jejak ayah kandungnya menyahut panggilan Illahi pada usia muda. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Sesungguhnya mati itu benar, alam kubur itu benar, kebangkitan di Padang Mahsyar itu benar, hari perhitungan itu benar, syurga dan neraka itu benar.

Bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kepada keluarga beliau, takziah diucapkan dan semoga tabah dengan ujian Allah SWT.

Al-Fatihah...


Bersama arwah (dalam bulatan) semasa Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri Dan Organisasi di Cameron Highlands


Latihan luar Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri Dan Organisasi.


Latihan indoor.


Arwah turut sama membaca Yasin semasa perpindahan ke bangunan perpustakaan baru.


Arwah yang sentiasa ceria.


Perkahwinan arwah pada 21 Julai 2008.


Saat-saat manis arwah bersama keluarga.


Arwah turut sama menjayakan Majlis Eidulfitri Peringkat Universiti tahun lalu.

Isnin, Februari 20, 2012

Mohd Efendi Meninggal Dunia

Sebelum ke tempat kerja pagi ni, aku sempat melihat mesej di telefon bimbit. Tiga mesej semuanya daripada rakan-rakan sekerja. Berita memaklumkan bahawa Mohd Efendi bin Rajali telah kembali ke rahmatullah jam 1.30 pagi ini.

Sebaik sampai di tempat kerja, kelihatan staf perpustakaan masih terkejut dengan berita sedih yang diterima dan masing-masing berbincang kaedah untuk menziarahi jenazah. Khabarnya, jenazah sudah dibawa pulang dari Bangi ke Palong 7, Negeri Sembilan pagi tadi.

Pukul 8.30 pagi, rombongan melawat mula bergerak dari Perpustakaan UTeM. Sebuah van dan sebuah kereta Proton Inspira yang dinaiki oleh Ketua Pustakawan bersama beberapa orang staf melalui pekan Selandar-Gemencheh- Pasir Besar dan terus ke Palong 7. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Oleh kerana sukar mendapat tambahan kenderaan jabatan, staf perpustakaan mengambil inisiatif menggunakan kenderaan masing-masing untuk melawat jenazah rakan sekerja mereka.

Pukul 10.05 pagi, kami sampai di Palong 7. Sewaktu kami sampai, jenazah sedang dimandikan. Memandangkan kawasan Felda mengalami tekanan air yang rendah, sebuah lori pengangkut air digunakan untuk menyalurkan air ke tangki terbuka untuk memandikan jenazah.



Aku dan rakan-rakan lain dijemput oleh ahli keluarga arwah untuk melihat proses memandikan jenazah di sebalik tirai yang dipasang di beranda rumah. Alhamdulillah, aku lihat arwah tenang seperti sedang tidur sewaktu dimandikan.

Sebaik dimandikan, jenazah dikafankan. Kemudian seorang ahli keluarga arwah menjemput hadirin yang ingin menatap jenazah buat kali terakhir di ruang dalam beranda. Ramai sanak-saudara dan rakan-rakan berbuat demikian dan ada yang menitiskan air mata.



Tiba-tiba, isteri arwah, Norhaslieza Mohd Yaakob yang mendukung anaknya yang berusia 2 tahun hampir rebah tetapi sempat disambut oleh ahli keluarga yang lain. Beliau dipapah masuk ke bahagian tengah rumah untuk membolehkan solat jenazah dijalankan. Norhaslieza Mohd Yaakob dikatakan sedang mengandung anak kedua arwah dan bakal melahirkannya pada bulan hadapan.



Pukul 10.30 pagi, solat jenazah diimamkan oleh seorang imam di kawasan tersebut dengan empat saf tetamu. Sebaik selesai, jenazah diangkat masuk ke dalam van jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan yang letaknya lebih kurang 2 km dari rumah ibu arwah. Seorang wakil tuan rumah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para tetamu dan memohon dihalalkan segala apa yang pernah dilakukan oleh arwah semasa hidupnya.



Perlahan-lahan van jenazah bergerak ke tanah perkuburan sambil diekori tetamu dengan kenderaan masing-masing. Pukul 11.10 pagi, jenazah dimasukkan ke liang lahad dan kemudian ditimbus dengan tanah. Sejurus kemudian, talkin dibacakan oleh imam dan kemudian diteruskan dengan tahlil. Pukul 11.40 pagi, urusan pengkebumian selesai.



Ibu arwah, Puan Zainab mengucapkan terima kasih kepada kami dan lain-lain rakan sekerja dari UTeM yang sudi melawat jenazah arwah.

Mengikut catatan pada daftar kematian, arwah meninggal dunia pada jam 1.30 pagi, 20 Februari 2012 di Desa Mahkota, Bangi, Selangor. Arwah dilahirkan pada 4 Januari 1984 dan baru sahaja mencapai umur 28 tahun. Dan mengikut catatan lagi, punca kematian arwah disebabkan oleh anemia.

Pada 21 Disember 2011 yang lalu, kami pernah ke Palong 7 melawat keluarga Puan Zainab yang kematian suami keduanya juga bapa tiri kepada arwah yang meninggal dunia akibat terjatuh daripada sebatang pokok.



Bersama-sama kita sedekah Al-Fatihah kepada arwah semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kepada keluarga beliau, takziah diucapkan dan semoga tabah dengan ujian Allah SWT.



Al-Fatihah...

Ifa Terima Plak Dari Sekolah Lama

Ahad, 19 Februari 2012. Seperti yang dipinta oleh Ifa, anak perempuan aku, pagi ni aku menghantarnya ke SJK (C) Keh Seng. SJK (C) Keh Seng merupakan sekolah rendah tempat di mana Ifa belajar dari darjah 1 hingga 6.

Pagi ini juga SJK (C) Keh Seng mengadakan Mesyuarat PIBG. Ifa dan rakan-rakannya dijemput dan diminta berada di sekolah pada jam 8.30 pagi.



Aku tidak menghadiri Mesyuarat PIBG ini kerana hampir keseluruhan perjalanan mesyuarat dibuat dalam Bahasa Mandarin. Jadi aku sekadar menunggu Ifa di dalam kenderaan sambil membaca akhbar.



Pukul 10.30 pagi, Ifa menunjukkan plak dan wang RM35 yang diterimanya daripada pihak sekolah. Plak dan wang ini merupakan sumbangan PIBG melalui pihak sekolah kepada para pelajar sekolah yang mendapat keputusan baik di dalam UPSR tahun lepas.

Apapun tahniah sekali lagi buat Ifa...

Sabtu, Februari 18, 2012

Law Kana Bai Na Na

Lau Kana Bai na na Habib bermaksud seandainya ada kekasih Allah di antara kita. Kekasih Allah itu merujuk kepada Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wasallam. Andai Rasulullah bersama anda sekarang, apa yang akan anda katakan? Hayati lagu ini...



Lirik dalam Bahasa Arab dan Melayu

Kalau Kekasih (Nabi) di kalangan kita : لو كان بيننا الحبيب
Akan datang kepada kita yang jauh dan yang dekat : لدينا القاصى والقريب
Dari Taibah sebelum Magrib : من طيبة قبل المغيب
Berkehendakkan dekat dengan Kekasih : طالبا قرب الحبيب

Dengan dekat dengannya hati menjadi tenang : بقربه نفس تطيب
Dan berdoalah kepada Allah, akan dijawabNya : فتدع الله يجيب
Cahayanya mekar takkan padam : انوار طاح لا تغيب
Sampaikanlah pertemuan kami wahai yang Maha Menjawab : بلغنا لقاه يا مجيب

Untukmu kuserahkan diri aku wahai Kekasih : فدتك روحي يا حبيب
Muhammad yang memuliakan orang asing : محمد مكرم الغريب
Dengan dekat denganmu hati menjadi tenang : بقربك الروح تطيب
Wahai rahmat sekelian alam : يا رحمة للعالمين

Englsih Subtitle / Translation

If the beloved (saw) were among us
Those from far & near will come to him (saw)
Hoping to see the sun of goodness before it sets
Desiring to be near to Him (saw)

In this company the soul feels great
On that moment If it prays to Allah, Allah will surely answer
The light of Taha (saw) will not cease to exist
Oh Ya Allah who answers prayer, please fulfill our hope to meet him (saw)

I am willing to sacrifice my life for you
Oh beloved (saw) Muhammad saw honor of strangers
In your company the soul feels great
Oh mercy to all the worlds (saw)

Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal



Dari Anas r.a katanya: “Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu?” Pemuda itu menjawab: “Aku berharap kepada (rahmat) Allah, Ya Rasulullah! dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosaku.”

Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti.” Anas r.a

Huraian:

» Apabila menghadapi ‘sakratul maut’ setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut.

» Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripadaNya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah SWT malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

Semoga dapat kita beramal dengan hadis ini. Dipetik daripada blog: http://hadis.feryco.com/

Dj Abdul Razak Arbain Dalam Kenangan

Khamis, 16 Februari 2012. IKIMfm menerima berita yang menyedihkan di awal pagi apabila penyampainya Dj Abdul Razak Arbain telah menyambut panggilan Ilahi. Beliau dikatakan terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggangi oleh jirannya. Difahamkan menjadi rutin arwah untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap pagi dengan motosikalnya. Beliau meninggal dunia dalam usia 46 tahun.



Allahyarham dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Taman Lembaga LTAT, Bukit Jalil sewaktu kemalangan. Kejadian berlaku di Jalan Bukit Jalil Indah 1, Bukit Jalil dan jirannya dikatakan turut kritikal. Jenazahnya dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Arwah yang merupakan Juruhebah Sambilan di IKIMfm telah berkhidmat sejak 3 Julai 2006. Sebelum berkhidmat di IKIMfm, beliau merupakan anggota tentera dan pernah ditempatkan di beberapa kem tentera seperti di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Rasah, Kem Wira Waja Janda Baik dan lain-lain. Beliau juga pernah bertugas sebagai juruhebah Radio Kementah (Mindef) di Cawangan Perhubungan Awam(PR).



Arwah Razak cukup disenangi peminat kerana begitu mesra melayan setiap panggilan dan permintaan pendengar. Beliau seorang yang tidak lokek senyum dan amat mesra dengan setiap orang ditemui. Di kalangan rakan sekerja, beliau merupakan rakan yang suka menolong dan membantu orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan diri beliau sendiri. Setiap kali pertolongan diperlukan dari beliau, jarang beliau membantah atau memberi alasan tidak mampu melaksanakannya melainkan beliau menghulurkan bantuan dengan sepenuhnya. Ini diakui sendiri oleh Pengarah Radio IKIMfm, Encik Nik Roskiman Abdul Samad, bahawa arwah adalah antara rakan sekerja yang terbaik dan sentiasa mudah mengikut arahan.



Arwah juga sentiasa ikut serta turun padang bersama para penyampai IKIMfm yang lain. Terbaharu dan terakhir ialah apabila beliau bersama dalam program Bonanza Amal Hope 2 Walk di Muzium Negara, program anjuran Islamic Aid Malaysia dan IKIMfm dalam mencari dana membantu adik Annur yang mengidap Celebral Palsy.

Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar untuk IKIMfm dan bukan sahaja ditangisi oleh rakan sekerja tetapi oleh ribuan pendengar setia IKIMfm dan peminat beliau yang sentiasa ternanti-nanti kemunculan beliau di ruang udara. Arwah sebelum ini menjadi penyampai untuk slot Dinihari, setiap hari Selasa dan Rabu dari jam 2.00 hingga 6.00 pagi.



Beliau yang dilahirkan pada 13 Mac 1966 meninggalkan seorang balu, Rosnani binti Haji Dali dan tiga orang anak, 2 perempuan dan seorang lelaki. Mereka ialah Noor Farah Wahida, 19, Mohd Isma Zainal, 16 dan Noor Shahirah Aina, 10 tahun.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Puchong selepas Zuhur. Allahyarham berasal dari Parit Buntar, Perak.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Abdul Razak Arbain dan menempatkan rohnya bersama orang-orang solihin. Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah untuk almarhum.

Antara gambar terakhir Arwah Dj Abdul Razak Arbain (kanan sekali) yang dirakamkan ketika beliau turut serta dalam program Bonanza Hope 2 Walk yang diadakan di Muzium Negara pada 4 Februari lalu anjuran Islamic Aid Malaysia (AIM) dan IKIMfm. Kelihatan dalam gambar ialah Dj Fairuz, Dj Erwan dan adik Annur Mohd Affandi, yang mengidap lumpuh otak (cerebral palsy).

Jumaat, Februari 17, 2012

Kelahiran Yang Dinanti

Selasa, 14 Februari 2012. Hari ini merupakan hari yang paling gembira dalam hidup seorang rakan sekerja, Zaidi Saad dan isterinya, Roslina Salim. Menerusi laman facebooknya, Zaidi memaklumkan kepada rakan-rakan bahawa isteri beliau selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.95 kg sekitar jam 3.40 petang di Putra Specialist Hospital, Melaka.



Allahhuakbar!
Allahhuakbar!
Allahhuakbar!
Alhamdullilah..segala puji pada Allah SWT penguasa sekalian alam.
Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasullullah.
Isteri saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki.Umat Rasullullah SAW.




Begitulah catatan gembira beliau di wall facebooknya setelah beberapa hari menunggu di kamar hospital. Catatan-catatan beliau kemudian mendapat komen balas daripada rakan-rakan dan saudara-mara yang antara lain mengucapkan tahniah di atas kelahiran ini. Bayi ini dinamakan Muhammad Haaris Zafran Zaidi.



Menyorot kembali sejarah, pasangan ini pernah dikurniakan zuriat pada tahun 2010 tetapi meninggal dunia ketika dilahirkan. Apapun Allah SWT Maha Adil. Pasangan ini diuji dan akhirnya penantian untuk mendapat seorang cahayamata menjadi realiti.



Setiap pasangan akan merasa bahagia apabila dikurniakan anak. Namun di sebalik kebahagiaan ini tersimpan tanggungjawab yang amat berat yang harus dipikul. Anak amat bererti pada ibu bapa, antaranya:

1. Anak sebagai rahmat Allah SWT.
2. Anak sebagai amanat Allah SWT.
3. Anak sebagai harta yang tergadai.
4. Anak sebagai penguji keimanan.
5. Anak sebagai alat untuk beramal.
6. Anak sebagai saham di akhirat.
7. Anak sebagai sumber kebahagiaan.
8. Anak sebagai tempat bergantung di hari tua.
9. Anak sebagai penyambung cita-cita.
10. Anak sebagai makhluk yang harus diberi pendidikan.


Mempunyai pasangan dan anak-anak merupakan suatu nikmat yang tidak dimiliki oleh semua orang. Justeru bersyukurlah dengan segala nikmat pemberian Allah SWT seperti mana ayat 13 surah Al-Rahman iaitu, "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?".

Buat Zaidi Saad dan isterinya, Roslina Salim, diucapkan tahniah di atas kelahiran Muhammad Haaris Zafran Zaidi. Semoga kehidupan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran si kecil ini...

Selasa, Februari 14, 2012

Penjelasan JAKIM Tentang Hari Valentine

Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Februari tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.



Inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.

Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day pada Jumaat.

Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.

“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.

Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.

“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.

Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.

“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim dengan amalan maksiat,” katanya.

Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.

Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.

“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah,” jelasnya.

Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.

“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain. Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak ada masalah.

“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut Hari Natal,” katanya.

“Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Ia adalah sepanjang hayat,” kata Wan Mohamad.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:

من تشبه بقوم فهو منهم

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”(Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Sambutan Hari Valentine Haram, Perlu Dijauhi

Hari ini seluruh dunia sekali lagi dilanda fenomena berkasih sayang. Sana sini kedai bunga pasti sibuk menyediakan jambangan bunga sebagai hadiah paling istimewa sebagai menyambut ‘Hari Valentine’ atau hari kasih sayang. Sudah pasti, sejak lewat malam ini, kebanyakan kelab malam dan hotel bersedia dengan pesta kasih sayang dengan pelbagai konsep tersendiri.



Lewat malam ini juga, pasti kelihatan gelagat anak muda berpasangan berpelukan dengan penuh keasyikan, kononnya diulit rasa romantik sebagai tanda kasih sayang yang terbina selama ini ditambah erat pada hari penuh istimewa bagi mereka itu. Lena diulit intan, ramai pasangan bercinta menghabiskan sisa malam Valentine di ranjang, tanda kasih sayang termeterai walaupun tanpa ikatan pernikahan.

Bagi yang menganggap sambutan di kelab malam sehingga ke ranjang sesuatu yang keterlaluan, mereka mungkin sekadar memilih sambutan sederhana seperti makan malam ditemani lilin atau sekadar membeli hadiah sebagai tanda mereka mengingati hari yang kononnya begitu istimewa itu.

Jika tiada hadiah dibeli, khuatir nanti pasangan mencebik dan merajuk dengan tuduhan pasangannya tidak romantik dan lupa kepada hari istimewa itu. Mulalah pasangan lain dijadikan contoh betapa mereka sayang pasangan mereka dengan sekurang-kurangnya memberikan bunga dan mengucapkan: “Happy Valentine Day, sayang...”

Persoalannya, begitu pentingkah sambutan Valentine Day atau Hari Valentine ini dalam hidup kita dan sesuaikah umat Islam turut meraikannya, sedangkan sering kali setiap tahun orang agama menasihat dan memperingatkan bahawa sambutan hari kasih sayang itu tidak ada dalam Islam, malah sudah ada yang mengatakannya haram.

Hakikatnya, kita sering lupa konsep sambutan hari kasih sayang itu kebanyakannya bercanggah dengan ajaran Islam. Halalkah ciuman bagi bukan muhrim pada hari itu? Adakah Islam membenarkan pasangan kekasih berpimpin tangan, menari di kelab malam, berpelukan dan meneguk ‘air syaitan’ semata-mata untuk menunjukkan rasa sayang pada kekasihnya.

Larangan sudah jelas. Namun, pada kala ia ditegaskan betapa sambutan ini tidak dibenarkan dalam Islam, ada pula suara daripada bukan Islam yang memperlekehkan larangan ini dengan alasan sambutan sebegini adalah hak peribadi, tidak boleh diganggu dan terpulang pada individu itu sendiri. Kononnya, ini negara demokrasi.

“Haiwan itu ciptaan Allah dan haiwan juga hidup dalam peraturannya sendiri. Jelas dikatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi jika kita tidak mematuhi hukum Islam dan sewenang-wenangnya melanggar larangannya, manusia itu layak dianggap lebih hina daripada haiwan.

“Memang negara kita negara demokrasi. Ada hak kebebasan itu kepada rakyat kita, tetapi perlu diingat betapa haiwan juga tidak bebas berbuat apa disukainya. Jika manusia bebas buat apa dia suka, dianggap ia tidak masuk dalam agama. Jika sedar diri itu Islam, ikut cara dan undang-undang dalam agama ini.

“Jangan hidup dalam masyarakat jika mahu semuanya bebas. Jangan hidup beragama jika tidak tahu menghormati dan mematuhi hukum beragama. Jangan sampai dikatakan lebih hina daripada haiwan.”

Itu kenyataan tegas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Hussin, yang jelas menolak konsep sambutan Hari Valentine terutama oleh umat Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya. Bagi beliau, sambutan sebegitu lebih kepada menggalakkan perlakuan maksiat, sekali gus menjadikan sambutannya sebagai haram meskipun secara kecil-kecilan.

Malah, katanya, sambutan Valentine lebih kepada mengagungkan perayaan bukan Islam, selain menggalakkan maksiat. Secara terang-terangan ia diharamkan dalam Islam kerana menggalakkan perlakuan sumbang, terutama remaja yang gemar melakukan perkara dilarang termasuk maksiat.

“Kasih sayang penting dalam Islam dan menunjukkan kasih sayang tidak semestinya perlu ada hari khusus. Kita perlu saling mengasihi sesama kita. Islam mengajak umatnya mengasihi haiwan, apa lagi sesama manusia. Sayangi ibu bapa dan manusia lain, tetapi tidak perlu hari khusus.

“Sejarah Valentine tidak langsung menunjukkan membantu umat Islam meningkatkan amalan dan imannya. Malah, sejarah sambutan itu lebih banyak membawa kepada kerosakan akhlak. Oleh kerana itulah, Islam melarang dan jelas ia haram. Kebebasan adalah sesuatu yang sangat subjektif.

“Ada orang yang beranggapan menari dan minum sedikit itu sambutan kecil dan biasa. Ada yang anggap pegang dan peluk itu biasa. Soalnya, apa saja yang mereka buat itu bercanggah daripada hukum Islam dan sewajarnya dicegah. Agama lain tidak wajar masuk campur dalam urusan agama kita, sama seperti apa yang kita praktikkan,” katanya.

Beliau ternyata kurang senang apabila ada orang bukan Islam secara terang-terangan menyalahkan umat Islam yang melarang sambutan Hari Valentine dengan alasan ia adalah hak individu. Baginya, campur tangan sebegitu tidak wajar berlaku kerana setiap agama ada hukumnya sendiri dan perlu dipatuhi penganutnya.

“Untuk kamu agama kamu dan untuk kami agama kami.” Jelas dinyatakan dalam ayat akhir surah Al-Kafirun yang menunjukkan betapa Islam tegas dalam hal ini. Jaga agama kamu sendiri dan jangan sibuk dengan urusan hukum agama lain. Begitu juga kami (orang Islam) tidak sibuk dengan urusan agama kamu.

“Dalam Islam, sambutan Valentine haram dan perlu dijauhkan. Siapa yang mungkar dan tetap menyambutnya walaupun secara kecil tetap menempah dosa kerana ia jelas bercanggah dengan Islam. Jadi, itu hukum dalam agama Islam dan tidak wajar agama lain masuk campur dalam hal ini,” katanya lagi.

Jumaat, Februari 10, 2012

Alkisah Sebuah Jam

Alkisah, seorang pembuat jam tangan berkata kepada jam yang sedang dibuatnya. “Hai jam, apakah kamu sanggup untuk berdetik paling tidak 31,104,000 kali selama setahun?”

“Ha?,” kata jam terperanjat, “Mana sanggup saya?”

“Bagaimana kalau 86,400 kali dalam sehari?” tanya si pembuat jam lagi.

“Lapan puluh enam ribu empat ratus kali? Dengan jarum yang ramping-ramping seperti ini?” jawab jam penuh keraguan.

“Bagaimana kalau 3,600 kali dalam satu jam?” cadang si pembuat jam.

“Dalam satu jam harus berdetik 3,600 kali? Banyak tu..” tetap saja jam ragu-ragu dengan kemampuan dirinya.

Tukang jam dengan penuh kesabaran kemudian berkata lagi kepada si jam. “Kalau begitu, sanggupkah kamu berdetik satu kali setiap detik?”

“Oh, kalau begitu, aku sanggup!” kata jam dengan penuh semangat.

Maka, setelah selesai dibuat, jam itu berdetik satu kali setiap detik. Tanpa terasa, detik demi detik terus berlalu dan jam itu sungguh luar biasa kerana ternyata selama satu tahun penuh dia telah berdetik tanpa henti. Dan tanpa disedari jam itu telah berdetik sebanyak 31,104,000 kali.

Apakah moral daripada cerita ini? Moralnya ialah adakalanya kita ragu-ragu dengan kemampuan diri kita. Adakalanya kita tidak yakin dengan segala tugas dan pekerjaan yang hendak kita lakukan kerana terasa berat. Namun sebenarnya kalau kita sudah menjalankannya, kita ternyata mampu melakukannya sungguhpun yang dianggap mustahil.

Khamis, Februari 09, 2012

K.I.S.S.

Falsafah KISS kerap digunakan dalam mencari penyelesaian secara sederhana sehinggakan sesiapa sahaja dapat melakukannya.

KISS merupakan akronim kepada prinsip yang dicipta oleh Kelly Johnson iaitu "Keep it simple, Stupid". Variasinya termasuklah "keep it short and simple", "keep it simple sir", "keep it simple or be stupid", "keep it simple and straightforward" atau "keep it simple and sincere."

Prinsip KISS menyatakan bahawa kebanyakan sistem akan berfungsi dengan lebih baik jika dilaksanakan dengan mudah. Oleh itu kesederhanaan merupakan kunci utama dalam membuat sesuatu pekerjaan dan kerumitan yang tidak sepatutnya perlu dielakkan.

Cuba susun jalan penyelesaian yang paling sederhana dan memungkinkan untuk penyelesaian masalah yang sedia ada. Kita harus belajar fokus kepada penyelesaian masalah berbanding fokus kepada masalah.

Bila kita melihat pada apa yang tidak kita punya di dalam hidup kita, kita sememangnya tidak memiliki apa-apa. Tetapi bila kita melihat pada apa yang ada di tangan kita, kita memiliki segala-galanya.

Selasa, Februari 07, 2012

Kisah Tikus Dan Perangkap Tikus

Dalam sebuah kampung, tinggal seorang petani bersama isterinya. Rumah mereka terletak di hujung kampung berdekatan dengan hutan. Petani itu memelihara binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing dan lembu.



Suatu hari, petani pulang dari pasar selepas membeli keperluan harian. Dia membeli berbagai barang termasuklah perangkap tikus. Sang Tikus yang berada di atas bumbung rumah terkejut bukan kepalang bila melihat perangkap tikus yang dibawa oleh petani itu. Tanpa berlengah, Sang Tikus berlari ke kandang ternakan dan berteriak,

“Ada perangkap tikus di rumah!.. di rumah sekarang ada perangkap tikus!!” jerit Sang Tikus.

Sang Tikus berjumpa dengan ayam dan berkata,“Ada perangkap tikus”

“Oh Tikus…aku turut bersedih, tapi itu tidak ada kaitan terhadap diriku” kata ayam dengan selamba.

Sang Tikus lalu pergi pula menemui seekor kambing sambil berteriak, “Tuan rumah dah beli perangkap tikus!”

Lalu Sang Kambing pun berkata,“Aku turut bersimpati.. . tapi maaf, tidak ada yang boleh aku lakukan”.

Sang Tikus berlari pula menemui Sang Lembu dan berkata, “ Dalam rumah sekarang sudah ada perangkap tikus”.

“Maafkan aku..tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali” jawab Sang Lembu.

Tanpa putus asa, Sang Tikus berlari ke hutan dan bertemu Ular dan berkata perkara yang sama.

“Ahhh…Perangkap Tikus yang kecil tidak akan mencelakai aku” jawab Sang Ular dengan sombongnya.

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah bahawa dia akan menghadapi bahaya itu bersendirian.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun apabila mendengar bunyi kuat dari perangkap tikusnya.

“Hah..perangkap aku dah mengena” kata tuan rumah itu memberitahu isterinya.

Namun dia terkejut ketika melihat perangkap tikusnya, rupanya seekor ular berbisa telah terkena perangkap itu. Ekor ular yang tersepit membuatnya semakin ganas dan menyerang isteri petani itu. Walaupun si Suami dapat membunuh ular tersebut, namun ular itu sempat mematuk kaki isterinya. Bisa ular itu telah menjalar dalam tubuh isterinya.

Setelah beberapa hari di hospital, sang isteri sudah boleh pulang. Namun selang beberapa hari kemudian si isteri telah demam dan suhu badannya tak turun-turun juga. Atas cadangan saudara maranya, dia membuatkan isterinya sup ayam untuk menurunkan demamnya.

Semakin hari bukannya semakin sembuh, tetapi semakin tinggi demam isterinya. Seorang jirannya menyarankan supaya makan hati kambing. Si Suami lalu menyembelih kambing tersebut untuk diambil hatinya.

Malang sungguh, isterinya masih tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.
Ramai sekali orang datang menziarahi isterinya sehingga ia harus menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang datang.

Dari kejauhan sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi di rumah itu.

Apakah moral cerita tersebut? Moralnya ialah sekiranya kita mendengar seseorang sedang dalam kesusahan atau kesulitan, kalaulah kita menganggap itu bukan urusan kita, maka fikirkanlah sekali lagi. Sikap mementingkan diri sendiri lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Kenduri Aqiqah Keluarga Ikbar

Isnin, 6 Februari 2012. Hari ini merupakan hari cuti iaitu cuti gantian sempena Maulidur Rasul yang jatuhnya pada hari Ahad.

Pagi ini aku mengambil kesempatan untuk mengisi masa lapang dengan membuat beberapa kerja. Selepas meracun rumput di halaman rumah, aku menanam anak-anak keladi di belakang rumah. Begitu begini sudah Zuhur.

Pukul 2.45 petang, kami sekeluarga bergerak ke rumah keluarga Mohd Ikbar di Lorong Haji Ahmad, Durian Daun Dalam, Melaka. Lokasi rumah berhampiran Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka.

Pukul 3.00 petang, kami sampai. Beberapa orang staf perpustakaan juga turut hadir bersama kami antaranya Mohd Mawardi, Asmadi, Zaidi bersama isterinya, Mohd Afiz, Noor Rahman sekeluarga, Shazley dan ramai lagi.

Kami bersalaman dan kemudian dijemput untuk menikmati hidangan yang telah disediakan. Antaranya iala nasi beriani dan sup serta kuih muih dan buah-buahan.

Menurut Mohd Ikbar, kenduri aqiqah ini merupakan majlis bersama untuk meraikan kelahiran anak-anak beliau, abang dan kakaknya.

Sambil makan, Mohd Ikbar memperkenalkan aku kepada ibu dan bapanya yang sedang menjamu selera di meja bersebelahan. Kami berbual-bual. Aku sebenarnya berasal dari kampung yang sama dan bila kami berbual-bual tentang salasilah keluarga, ceritanya menjadi lebih panjang.

Hampir jam 4.00 petang, kami sekeluarga meminta diri untuk beredar. Setelah bersalaman dengan abangnya dan Mohd Ikbar, kami meneruskan destinasi ke rumah Mak Bedah.

Buat Mohd Ikbar, ayahnya Encik Abdul Jabbar dan ibu beliau, Puan Ramlah, terima kasih di atas jemputan kenduri ini. Kami amat menghargainya. Semoga majlis ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.