Sabtu, Februari 18, 2012

Dj Abdul Razak Arbain Dalam Kenangan

Khamis, 16 Februari 2012. IKIMfm menerima berita yang menyedihkan di awal pagi apabila penyampainya Dj Abdul Razak Arbain telah menyambut panggilan Ilahi. Beliau dikatakan terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggangi oleh jirannya. Difahamkan menjadi rutin arwah untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap pagi dengan motosikalnya. Beliau meninggal dunia dalam usia 46 tahun.



Allahyarham dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Taman Lembaga LTAT, Bukit Jalil sewaktu kemalangan. Kejadian berlaku di Jalan Bukit Jalil Indah 1, Bukit Jalil dan jirannya dikatakan turut kritikal. Jenazahnya dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Arwah yang merupakan Juruhebah Sambilan di IKIMfm telah berkhidmat sejak 3 Julai 2006. Sebelum berkhidmat di IKIMfm, beliau merupakan anggota tentera dan pernah ditempatkan di beberapa kem tentera seperti di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Rasah, Kem Wira Waja Janda Baik dan lain-lain. Beliau juga pernah bertugas sebagai juruhebah Radio Kementah (Mindef) di Cawangan Perhubungan Awam(PR).



Arwah Razak cukup disenangi peminat kerana begitu mesra melayan setiap panggilan dan permintaan pendengar. Beliau seorang yang tidak lokek senyum dan amat mesra dengan setiap orang ditemui. Di kalangan rakan sekerja, beliau merupakan rakan yang suka menolong dan membantu orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan diri beliau sendiri. Setiap kali pertolongan diperlukan dari beliau, jarang beliau membantah atau memberi alasan tidak mampu melaksanakannya melainkan beliau menghulurkan bantuan dengan sepenuhnya. Ini diakui sendiri oleh Pengarah Radio IKIMfm, Encik Nik Roskiman Abdul Samad, bahawa arwah adalah antara rakan sekerja yang terbaik dan sentiasa mudah mengikut arahan.



Arwah juga sentiasa ikut serta turun padang bersama para penyampai IKIMfm yang lain. Terbaharu dan terakhir ialah apabila beliau bersama dalam program Bonanza Amal Hope 2 Walk di Muzium Negara, program anjuran Islamic Aid Malaysia dan IKIMfm dalam mencari dana membantu adik Annur yang mengidap Celebral Palsy.

Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar untuk IKIMfm dan bukan sahaja ditangisi oleh rakan sekerja tetapi oleh ribuan pendengar setia IKIMfm dan peminat beliau yang sentiasa ternanti-nanti kemunculan beliau di ruang udara. Arwah sebelum ini menjadi penyampai untuk slot Dinihari, setiap hari Selasa dan Rabu dari jam 2.00 hingga 6.00 pagi.



Beliau yang dilahirkan pada 13 Mac 1966 meninggalkan seorang balu, Rosnani binti Haji Dali dan tiga orang anak, 2 perempuan dan seorang lelaki. Mereka ialah Noor Farah Wahida, 19, Mohd Isma Zainal, 16 dan Noor Shahirah Aina, 10 tahun.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Puchong selepas Zuhur. Allahyarham berasal dari Parit Buntar, Perak.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Abdul Razak Arbain dan menempatkan rohnya bersama orang-orang solihin. Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah untuk almarhum.

Antara gambar terakhir Arwah Dj Abdul Razak Arbain (kanan sekali) yang dirakamkan ketika beliau turut serta dalam program Bonanza Hope 2 Walk yang diadakan di Muzium Negara pada 4 Februari lalu anjuran Islamic Aid Malaysia (AIM) dan IKIMfm. Kelihatan dalam gambar ialah Dj Fairuz, Dj Erwan dan adik Annur Mohd Affandi, yang mengidap lumpuh otak (cerebral palsy).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan