Jumaat, Februari 17, 2012

Kelahiran Yang Dinanti

Selasa, 14 Februari 2012. Hari ini merupakan hari yang paling gembira dalam hidup seorang rakan sekerja, Zaidi Saad dan isterinya, Roslina Salim. Menerusi laman facebooknya, Zaidi memaklumkan kepada rakan-rakan bahawa isteri beliau selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.95 kg sekitar jam 3.40 petang di Putra Specialist Hospital, Melaka.



Allahhuakbar!
Allahhuakbar!
Allahhuakbar!
Alhamdullilah..segala puji pada Allah SWT penguasa sekalian alam.
Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasullullah.
Isteri saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki.Umat Rasullullah SAW.




Begitulah catatan gembira beliau di wall facebooknya setelah beberapa hari menunggu di kamar hospital. Catatan-catatan beliau kemudian mendapat komen balas daripada rakan-rakan dan saudara-mara yang antara lain mengucapkan tahniah di atas kelahiran ini. Bayi ini dinamakan Muhammad Haaris Zafran Zaidi.



Menyorot kembali sejarah, pasangan ini pernah dikurniakan zuriat pada tahun 2010 tetapi meninggal dunia ketika dilahirkan. Apapun Allah SWT Maha Adil. Pasangan ini diuji dan akhirnya penantian untuk mendapat seorang cahayamata menjadi realiti.



Setiap pasangan akan merasa bahagia apabila dikurniakan anak. Namun di sebalik kebahagiaan ini tersimpan tanggungjawab yang amat berat yang harus dipikul. Anak amat bererti pada ibu bapa, antaranya:

1. Anak sebagai rahmat Allah SWT.
2. Anak sebagai amanat Allah SWT.
3. Anak sebagai harta yang tergadai.
4. Anak sebagai penguji keimanan.
5. Anak sebagai alat untuk beramal.
6. Anak sebagai saham di akhirat.
7. Anak sebagai sumber kebahagiaan.
8. Anak sebagai tempat bergantung di hari tua.
9. Anak sebagai penyambung cita-cita.
10. Anak sebagai makhluk yang harus diberi pendidikan.


Mempunyai pasangan dan anak-anak merupakan suatu nikmat yang tidak dimiliki oleh semua orang. Justeru bersyukurlah dengan segala nikmat pemberian Allah SWT seperti mana ayat 13 surah Al-Rahman iaitu, "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?".

Buat Zaidi Saad dan isterinya, Roslina Salim, diucapkan tahniah di atas kelahiran Muhammad Haaris Zafran Zaidi. Semoga kehidupan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran si kecil ini...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan