Jumaat, Ogos 31, 2012

Sekitar Sambutan Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Melaka

Hari ini aku berkesempatan merakamkan beberapa keping foto semasa sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka.

Secara kebetulan, Ida meminta aku menghantarnya menguruskan pasukan Perpustam yang turut mengambil bahagian di dalam perbarisan pagi itu. Jadi aku ambillah kesempatan yang terhidang ini dengan merakamkan foto menggunakan kamera SLR aku ni.

Kami turut membawa bersama Miza dan Alim bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 2012.

Selain perbarisan peserta daripada pelbagai jabatan dan organisasi, kenderaan jabatan kerajaan seperti ATM, PDRM, Kastam dan lain-lain kenderaan turut serta di dalam perbarisan tersebut. Berikut beberapa keping foto yang sempat dirakamkan pagi itu.

Salam Kemerdekaan 2012.


Peserta di Dataran Pahlawan.


Bersiap-sedia.


Alim, Ida dan Miza.


Peserta daripada UTeM.


VIP di pentas kenamaan.



Peserta Perpustam.



Petronas.


JPAM.




Peserta UTeM.
























Ida dan anak-anak.


Aku bersama anak-anak.

Lagu Tema - Janji Ditepati


Lagu tema Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55, 'Janji Ditepati'.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55

Sempena tarikh keramat ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan terus berjuang mengekalkan keamanan dan kemerdekaan yang kita nikmati dengan bekerjasama mendukung hasrat pemimpin negara yang bijaksana.



Marilah kita terus memupuk semangat kemerdekaan dengan mempertahankan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin negara yang terdahulu serta mengekalkan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-55, 'Janji Ditepati'.

Khamis, Ogos 30, 2012

Petua Untuk Hilangkan Mengantuk di Pejabat

Beberapa petua yang boleh diamalkan bagi mengelakkan rasa mengantuk sewaktu bekerja di pejabat. Berikut adalah petua-petuanya:



1. Bau-bauan - Anda tidak perlu minum kopi. Bau aroma akan membantu anda untuk berasa segar. Aroma minyak boleh membantu - eucalyptus atau mint. Setiap aroma yang kuat sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk beberapa waktu membuat anda tetap terjaga.

2. Urut - Ada beberapa teknik untuk sistem tubuh anda kembali segar. Urut di bahagian telapak tangan, muka dan kepala. Dalam masa beberapa sahaja, anda akan berasa segar dan aktif semula.

3. Cahaya – Ketika keadaan gelap di sekeliling anda, satu isyarat akan membawa ke otak anda bahawa tidur adalah pilihan yang baik. Pastikan ada cukup cahaya di bilik atau pejabat anda. Pergi ke tempat terang atau banyak cahaya matahari untuk beberapa minit. Jika pejabat anda tidak ada jendela, pastikan cahaya di sekeliling cukup terang. .

4. Jangan duduk terlalu lama di kerusi anda. - Mengubah kerusi atau banyak berjalan akan mengaktifkan anda semula.

5. Makanan - Jangan biarkan diri anda lapar. Jangan makan terlalu banyak. Makanan ringan lebih baik. Jika perut anda sudah penuh, dan kepala anda berkabut dari tidur tidak cukup, ini suatu alasan untuk rasa hendak tidur.

6. Muzik - Muzik boleh membuat anda tetap terjaga. Mainkan muzik yang mempunyai rentak “up-beat”, supaya anda lebih segar dan bermotivasi positif.

7. Berjalan-jalan - Jika anda tidak boleh pergi ke luar, anda boleh berjalan-jalan di kawasan pejabat anda sambil berinteraksi dengan rakan-rakan sepejabat.

8. Air - Minum air suam selalu untuk menyegarkan minda dan tubuh anda.

9. Bersihkan meja - Jika anda masih tidak dapat menumpukan perhatian pada pekerjaan anda, buat sesuatu kerja yang bermanfaat seperti membersihkan meja. Dengan cara ini anda tidak akan hanya duduk diam sahaja. Meja yang bersih dan teratur mencerminkan imej positif. Anda sendiri akan berasa puas dan selesa. yang dapat menggembirakan.

Selamat mencuba!

Selawat Badar



Sesekali melayan lagu nasyid pun baik juga. Alunan Selawat Badar oleh Zulkarnain Mohd Noor secara petikan gitar sesekali menyentuh perasaan.

Layanlah video klip daripada TV Al Hijrah ini...

Rabu, Ogos 29, 2012

Tasbih Kifarah

"Kita sudahi majlis kita dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asr." Begitulah yang sering dibaca di akhir sesuatu majlis. Tasbih Kifarah ialah doa penutup bagi sesuatu majlis.



"Subhanakallah humma wabihamdika Asyadu an la ilaha illa anta astaghfiruka waatubu illaik"

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sesiapa yang duduk dalam satu majlis dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut ‘-Ayat Tasbih Kifarah-‘ maka diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”

Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa apabila baginda bangun daripada majlis, baginda akan membaca: ‘-Ayat Tasbih Kifarah-‘ Saya bertanya: kenapa tuan sering membaca doa ini? Baginda menjawab:

"Sesiapa yang membaca doa ini pada penutup majlis maka akan diampunkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam majlis tersebut."

Semoga kita semua dapat mengamalkan doa ini di setiap penghujung majlis ilmu agar segala kesilapan dan dosa kita di sepanjang majlis akan diampunkan dan ilmu yang diperoleh adalah diberkati Allah.

Membaca Surah Al-Asr sebelum mengakhiri suatu majlis mungkin diambil dari amalan para sahabat Nabi SAW ini:

At-Thabrani telah menyebutkan daripada Ubaidillah bin Hafs berkata:

“Dua orang sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa, mereka tidak pernah berpisah melainkan salah seorang membaca Surah Al-Asr sehingga akhirnya, kemudian mereka saling memberi salam antara satu sama lain”.

Selasa, Ogos 28, 2012

Selamat Bersara Abang Hassan

Hari ini merupakan hari terakhir Abu Hassan Shamsudin, Pembantu Perpustakaan Kanan, Perpustakaan UTeM bertugas di perpustakaan. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Abang Hassan di kalangan rakan-rakan menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan pada usia 55 tahun.


Swipe kad staf buat kali terakhir.

Abang Hassan dilahirkan pada tahun 1958 dan berasal dari Negeri Sembilan. Beliau pernah bertugas sebagai Pembantu Perpustakaan berjawatan tetap di Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Skudai. Pada 6 November 2001, beliau mendapat tawaran bertugas sebagai Pembantu Perpustakaan di UTeM (dulu KUTKM) dan memegang nombor 00097 sebagai nombor staf.


Swipe kad sambil diiringi teman-teman sekerja sebagai tanda sokongan.

Sebagai staf yang berpengalaman, beliau adalah di antara perintis dan penggerak di perpustakaan dalam menjana kecemerlangan UTeM. Berbekal pengalaman sedia ada juga, beliau memberi tunjukajar kepada staf-staf baru agar mereka mahir dalam selok-belok kerja-kerja di perpustakaan.

Pada 12 Jun 2002, beliau dinaikkan pangkat kepada Pembantu Perpustakaan Kanan (S22). Sepanjang perkhidmatannya di UTeM, beliau pernah bertugas di Perpustakaan Kampus Induk dan juga di Cawangan Kampus Industri.


Aku bersama Abang Hassan dan rakan-rakan sekerja perpustakaan.

Sebagai orang berpengalaman, beliau sentiasa sabar dengan kerenah pengguna khususnya pelajar dan juga staf. Beliau sentiasa patuh arahan yang diberikan pihak pengurusan perpustakaan tanpa memberikan banyak alasan.

Pada 30 Ogos 2012, beliau akan mula bersara setelah menghabiskan baki cuti rehat yang dipohonnya. Beliau kini menetap di Tanjung Bidara bersama keluarga tercinta.

Petang tadi, beliau berjumpa dengan rakan-rakan sekerja di Kampus Induk. Dan kesempatan itu kami ambil untuk bersalaman dan mengucapkan selamat bersara kepada beliau. Semoga Abang Hassan dapat mengisi masa lapang setelah bersara dengan aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkannya.

Selamat Bersara Abang Hassan....


Isnin, Ogos 27, 2012

Sesi Dialog Bersama TNC (P&I) - Part 2

Pada sesi dialog bersama Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (P&I)UTeM, Encik Mahadir Che Ali bertanyakan kepada beliau petua untuk mewujudkan persekitaran yang seronok. Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani memberikan beberapa tips antaranya keseronokan boleh diwujudkan melalui 2 pendekatan iaitu secara pengurusan dan juga secara rohaniah. Katanya niat penting dalam bekerja memandangkan kerja adalah satu ibadah.

Dalam bekerja niat mestilah kerana Allah SWT bukan sebab gaji atau ganjaran kerana gaji atau ganjaran merupakan elemen keduniaan. Tips seterusnya ialah mestilah bersemangat untuk pergi bekerja. Dalam bekerja, katanya mestilah bekerja secara professional. Belajar bekerja sebagai satu pasukan. Ciri-ciri profesionalisme menurut beliau ialah boleh menerima kelemahan orang lain. Dalam mesyuarat contohnya, kita perlu bercakap apa yang patut dinyatakan secara beradab. Jika tidak sehaluan, boleh 'attack' idea orang lain khususnya perlaksanaannya bukan peribadi orang itu sendiri.

Tambah beliau lagi, kita perlu sentuh idea orang. Bagaimana? Kena belajar. Tidak perlu balas jika tidak berani berhujah dan sedia terima kritikan. Katanya, perubahan bermula pada diri sendiri. Jangan pandai bercakap sebaliknya lihatlah pada diri sendiri. Beliau memberikan contoh Mahatma Gandhi yang sanggup berjalan kaki pulang sewaktu habis mesyuarat bila mana anaknya lambat menjemput beliau pulang. Beliau menyalahkan dirinya bukan anaknya. Cara bercakap dengan anaknya juga memberi kesan yang mendalam sehingga memberikan kesedaran dalam diri anaknya itu. Katanya rahsia untuk berubah ada pada diri sendiri.

Encik Zaidi Saad pula bertanyakan bagaimana caranya merealisasikan frasa 'kehadiran UTeM dirasai, ketiadaannya dirindui'. Menurut Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani, perlu ada engagement. Katanya perpustakaan perlu buat program dan libatkan PTj atau masyarakat sekeliling. Tambah beliau lagi bila buat program, jangan sesekali ada kepentingan peribadi. Kerja sebagai satu ibadah, jadi semuanya Allah SWT yang tanggung, kita hanya melaksanakan sahaja perancangan. Nasihat beliau, apa yang kita buat, Allah SWT nampak dan kita perlu yakin dengan rezeki yang Allah SWT berikan. Katanya jika bukan rezeki kita, sudah masuk mulutpun boleh keluar balik. Nasihat beliau lagi, dalam bekerja kita buat apa yang perlu, bukan apa yang kita suka buat. Jangan utamakan kepentingan diri. Itu asasnya.

Encik Salleh Mohd Nor pula bertanyakan bagaimana mewujudkan percambahan idea melalui constructive arguments dalam satu program bagi meningkatkan kerjasama di antara 4 PTj. Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani menekankan dalam constructive arguments, kita tidak boleh memandang orang lain sebagai 'personal attack' dan jangan berdendam dengan mereka. Di dalam perbincangan boleh bercanggah pendapat sebaliknya di luar masih boleh bersama.

Encik Salleh mencadangkan agar pihak TNC dapat mengadakan satu program untuk memecahkan silo mentality ini. TNC (P&I) mencadangkan supaya diadakan satu program yang bersistem tidak kiralah sama ianya berbentuk pertandingan. Beliau mencadangkan agar bercakap dengan seseorang(orang baru) dalam PTj kerana ianya mampu memberi rangsangan yang lebih baik.

Selain daripada itu, PTj boleh mengadakan aktiviti mingguan atau bulanan seperti mengadakan bacaan Yassin, tazkirah dan lain-lain lagi. Tambah TNC (P&I) lagi, sesuatu ganjaran itu bukan hanya pada destinasi sahaja malah ganjaran juga boleh diperolehi dalam perjalanan ke destinasi tersebut. Semuanya ada hikmah dan inilah hikmah yang dikutip dalam kehidupan.

TNC (P&I) mengingatkan staf supaya menjadi satu pasukan yang terbaik dalam menuju ke arah kecemerlangan. Struggle itu penting dan berikan jiwa. Apa yang dirancang tetap dilaksanakan walaupun seorang. Tambahnya, hak kita ialah usaha dan jangan difikirkan sama ada dapat atau tidak ganjaran. Itu hak Allah SWT untuk memberi.

Beliau menyarankan agar sesuatu aktiviti itu tidak perlu besar skalanya tetapi berterusan dan berkala serta dibuat secara continuous quality improvement (CQI). Bila aktiviti sudah ada, penghayatan menjadi penting dan proses mengubah diri harus berlaku. Yang penting mesti tahu tugas dan peranan masing-masing.

Mengenai sesuatu data yang diperolehi daripada pangkalan data seperti ISI dan Scopus, beliau akan menilai sejauh manakah pentingnya data tersebut. Katanya setiap data yang diperolehi mestilah reliable, accurate dan valid. Data mesti boleh diperolehi pada bila-bila masa, tepat dan sama walaupun dari sumber yang berbeza.

Beliau menyatakan bahawa mesti ada pengukuran dalam penilaian. Perlu mencari perbezaan dan melihat kedudukan kita di mana. Itu dinamakan gap analysis dan dari sana baru boleh dibuat plan activity. Dalam membuat strategic planning, perlu ada strategic data untuk melihat kedudukan organisasi kita. Beliau menyarankan agar mengukuhkan pangkalan data dan sentiasa professional dalam kerja. Katanya lagi, tiada kompromi dalam hal-hal kualiti.

Beliau mengucapkan tahniah di atas kejayaan Perpustakaan UTeM menerima anugerah dari ScienceDirect dan Emerald dari segi jumlah tertinggi dalam pengaksesan pangkalan data tersebut.

Puan Siti Saluwa Jamal ingin tahu bagaimana untuk memecahkan tembok pemisah di antara 4 PTj ini bagi mengelakkan terjadinya silo mentality. Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani mencadangkan supaya kita mengubah diri sendiri terlebih dahulu. Menggunakan frasa, 'seek first to understand, then to be understood', beliau menyarankan supaya fahami diri sendiri sebelum difahami orang lain. Katanya dalam kejuruteraan, istilah yang sering digunakan ialah action and reaction. Tambahnya positive action akan mendapat positive reaction dan kita mesti sentiasa memikirkan bagaimana untuk menjadikan sesuatu situasi itu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani secara peribadi terkilan dengan mindset pelajar dan kaedah pembelajaran dalam sistem persekolahan yang sedia ada yang menekankan latihtubi khususnya untuk lulus dalam peperiksaan. Kaedah ini akhirnya terbawa-bawa sehingga ke peringkat universiti dan menjadi budaya. Ia mengambil masa yang lama untuk diubah dan disesuaikan dengan persekitaran univesiti dan pelajar sepatutnya diterapkan dengan teknik kemahiran belajar.

Ada juga sesetengah pelajar beranggapan bila sudah sampai di universiti atau puncak keilmuan, itulah masanya mereka turun dari destinasi dan seolah-olah masih berbulan madu. Kadangkala mereka menyalahgunakan pinjaman yang diterima untuk membeli telefon dan juga motosikal. Prinsip beliau ialah 'biar membara di dada, dingin di kepala' iaitu sentiasa bersemangat dalam membuat sesuatu pekerjaan.

Di akhir sesi, Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani menasihatkan semua staf agar peka dengan persekitaran dan mesti tahu menyusun keutamaan (priority). Mereka perlu sedarkan rakan-rakan daripada lalai kerana katanya penyakit lalai lebih teruk daripada mabuk. Lalai boleh menjadi kita tidak sedar dalam tempoh yang panjang sebaliknya jika mabuk, bila tersedar, kita akan terus bertaubat. Oleh itu, katanya mesti sedarkan dahulu rakan-rakan sebelum membuat sesuatu program. Beliau menekankan sekali lagi tentang membentuk pendekatan bersistem yang mesti dibentuk oleh perpustakaan.

Sesi dialog bersama Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani, TNC (P&I) UTeM berakhir jam 11.00 pagi. Di akhir pertemuan, beliau sempat melihat kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan sebelum menandatangani dalam buku pelawat.

Lawatan Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani sebenarnya memberikan banyak mesej mendalam dalam mengubah minda staf yang akan melakukan perubahan pada diri sendiri sebelum perubahan berlaku pada organisasi.