Isnin, Ogos 27, 2012

Sesi Dialog Bersama TNC (P&I) - Part 1

Jam 9.00 pagi tadi, telah diadakan Sesi Dialog Bersama Timbalan Naib Canselor (P&I) Bersama Pejabat Perpustakaan. Program ini diadakan di Bilik Tayangan Aras 2, Perpustakaan dan dihadiri seramai 32 orang staf perpustakaan dari pelbagai jawatan.

Prof. Ir. Dr. Mohd. Jailani Mohd Nor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) hadir mengendalikan sesi dialog yang antara lain membincangkan permasalahan kerja yang ada serta meningkatkan motivasi staf perpustakaan. Beliau mengharapkan perbincangan dijalankan secara santai agar tiada tekanan dalam mengeluarkan pandangan.

Memulakan dialog, Puan Hajah Faridah Md. Amin, Ketua Pustakawan memperkenalkan satu persatu staf yang hadir. Kemudian, Prof. Ir. Dr. Mohd. Jailani Mohd Nor pula membacakan serangkap pantun berupa pantun raya bagi menceriakan suasana.

Dalam amanatnya, TNC (P&I) UTeM ini menyatakan sejak memulakan tugasnya di UTeM pada tahun 2009, beliau melihat akan keperluan 4 pejabat iaitu Pejabat TNC (P&I), CRIM, Perpustakaan dan Pusat Komputer untuk bekerja sebagai satu pasukan yang merupakan entiti penting dalam domain penyelidikan dan inovasi. Menurut beliau, PTj merupakan peneraju (drivers) dalam penyelidikan dan inovasi serta mempunyai agenda besar di universiti.

Beberapa perkara diutarakan dalam mewujudkan kerjasama di antara keempat PTj ini:

1. Silo Mentality
Staf tidak boleh hanya menjaga ruang lingkup (territory) mereka sahaja. Mereka perlu ada KPI sendiri dan yang lebih besar ialah KPI UTeM. Staf perlu meruntuhkan 'tembok' PTj dan bekerja dalam satu irama dan satu sinergi. Katanya kita tidak mahu 'win the battle but lost the war'. Maksudnya kita menang dalam satu perjuangan yang kecil tetapi kalah dalam satu pertarungan yang besar. Katanya lagi, tidak ada yang handal dalam semua perkara sebaliknya jika benar, kita perlu mengiktiraf kehandalan orang lain.

2. Mesra Pengguna
Staf perlu ada nilai-nilai murni semasa menjalankan perkhidmatan kaunter seperti memberikan senyuman dan ramah. Mereka harus belajar mengambil tugas itu sebagai satu tugas murni yang mana ada nilai kepada orang lain. TNC (P&I) UTeM ini mengucapkan tahniah kepada Perpustakaan UTeM kerana berjaya mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2008. Menurut beliau, dalam bekerja mesti ada kualiti. Customers, they can smell the quality... Beliau berharap CRIM juga perlu memperolehi ISO. Kerjasama dan bantuan di pihak perpustakaan juga diharapkan bagi membantu CRIM. Menurut beliau, jika kita berjaya memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita.

3. Pendekatan Bersistem
Kita perlu melihat suasana yang ada pada organisasi kita secara menyeluruh secara bersistem atau system approached. Katanya di perpustakaan, infrastruktur seperti kerusi dan meja sudah ada, bilangan staf seramai 73 orang sudah cukup dan fungsi perpustakaan juga sudah difahami. Yang akan memberikan nafas ialah orang-orang di dalam perpustakaan sendiri.

4. Pembaikan Berterusan
TNC (P&I) UTeM berharap agar semua program yang dilaksanakan di universiti yang mana melibatkan staf, pelajar dan masyarakat sekeliling diwujudkan, dipantau, dinilai dan dibaiki. Di sini perlu ada elemen penambahbaikan hasil daripada maklumbalas (feedback) dan peningkatan iatu continuous quality improvement. Katanya lagi continuous quality improvement hanya akan terhenti bila manusia tidak wujud lagi atau meninggal dunia.

Katanya lagi, kewujudan UTeM di Negeri Melaka ini penting. Kewujudan ini mestilah bak kata orang 'kehadirannya dirasai, ketiadaannya dirindui.' Jika kewujudannya tidak dirasai, ia merupakan sesuatu yang silap. Beliau mengajak staf untuk bekerja bersama dan katanya sesuatu itu terjadi memang sudah suratan. Yang pasti ada hikmah terhadap sesuatu kejadian dan terus memberikan sumbangan berterusan kepada UTeM.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan