Selasa, Ogos 28, 2012

Selamat Bersara Abang Hassan

Hari ini merupakan hari terakhir Abu Hassan Shamsudin, Pembantu Perpustakaan Kanan, Perpustakaan UTeM bertugas di perpustakaan. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Abang Hassan di kalangan rakan-rakan menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan pada usia 55 tahun.


Swipe kad staf buat kali terakhir.

Abang Hassan dilahirkan pada tahun 1958 dan berasal dari Negeri Sembilan. Beliau pernah bertugas sebagai Pembantu Perpustakaan berjawatan tetap di Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Skudai. Pada 6 November 2001, beliau mendapat tawaran bertugas sebagai Pembantu Perpustakaan di UTeM (dulu KUTKM) dan memegang nombor 00097 sebagai nombor staf.


Swipe kad sambil diiringi teman-teman sekerja sebagai tanda sokongan.

Sebagai staf yang berpengalaman, beliau adalah di antara perintis dan penggerak di perpustakaan dalam menjana kecemerlangan UTeM. Berbekal pengalaman sedia ada juga, beliau memberi tunjukajar kepada staf-staf baru agar mereka mahir dalam selok-belok kerja-kerja di perpustakaan.

Pada 12 Jun 2002, beliau dinaikkan pangkat kepada Pembantu Perpustakaan Kanan (S22). Sepanjang perkhidmatannya di UTeM, beliau pernah bertugas di Perpustakaan Kampus Induk dan juga di Cawangan Kampus Industri.


Aku bersama Abang Hassan dan rakan-rakan sekerja perpustakaan.

Sebagai orang berpengalaman, beliau sentiasa sabar dengan kerenah pengguna khususnya pelajar dan juga staf. Beliau sentiasa patuh arahan yang diberikan pihak pengurusan perpustakaan tanpa memberikan banyak alasan.

Pada 30 Ogos 2012, beliau akan mula bersara setelah menghabiskan baki cuti rehat yang dipohonnya. Beliau kini menetap di Tanjung Bidara bersama keluarga tercinta.

Petang tadi, beliau berjumpa dengan rakan-rakan sekerja di Kampus Induk. Dan kesempatan itu kami ambil untuk bersalaman dan mengucapkan selamat bersara kepada beliau. Semoga Abang Hassan dapat mengisi masa lapang setelah bersara dengan aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkannya.

Selamat Bersara Abang Hassan....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan