Sabtu, Ogos 18, 2012

Meriah Malam Raya

Sabtu, 18 Ogos 2012. Hari ini merupakan hari terakhir umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Di mana-mana kelihatan orang sibuk membuat persiapan terakhir sebelum menjelang Syawal.

Di Kampung Alai, Melaka ceritanya sama sahaja. Selepas Maghrib, anak-anak sudah tidak sabar untuk bersuka-ria. Rakan-rakan dari kota sudah pulang ke kampung untuk beraya. Suasana menjadi lebih ceria.



Seperti lazimnya, di rumah Mak Munah akan diadakan kenduri ringkas. Tahun ni Pak Khalil dijemput untuk memandu bacaan tahlil dengan beberapa orang jemaah surau.

Pelita sudah dipasang di halaman rumah. Di sana-sini kelihatan anak-anak memegang bunga api dan bermain-main sambil menjerit kegirangan. Sesekali ibu bapa akan keluar memantau bagi memastikan tiada kemalangan yang terjadi kepada anak-anak mereka.



Di seberang sana, bunyi mercun berdentum-dentam. Berbagai ragam bunyi dapat didengar. Tidak kurang juga percikan bunga api berwarna-warni di udara menghiasi suasana malam Aidilfitri.

Suasana hari raya semakin terasa. Malam ini yang pasti di kampung ini akan diadakan bacaan takbir dari rumah ke rumah bagi memuji kebesaran Ilahi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan