Selasa, November 23, 2010

Membina 'Syurga' Dunia Dan Akhirat

Sesungguhnya rumah tangga yang menjadi impian dan harapan setiap daripada kita ialah rumah tangga yang di dalamnya bersemarak suasana sakinah (ketenangan), mawaddah dan rahmah.

Setiap pasangan yang akan, sedang dan sudah mendirikan rumah tangga tentunya mendambakan sebuah institusi perkahwinan yang dibina dengan disirami kasih sayang yang berpanjangan, harmoni dan sejahtera yang tiada tepian.

Pada masa yang sama, kita terpaksa berusaha mengemudi bahtera perkahwinan itu agar tidak musnah, waima dilanda ombak dan badai dalam kehidupan.

Ini kerana, kejayaan mengharungi pahit manis alam rumah tangga akan menjadikan suami isteri itu bertambah matang, sekali gus lebih menghargai pasangan hidup masing-masing serta mendapat reda Allah SWT.

Lantaran itu, terpulang kepada suami isteri itu sendiri bagaimana untuk mencorakkan rumah tangga mereka agar selaras dengan konsep rumahku syurgaku atau baiti jannati.

Suatu masa, pasangan dikurniakan cahaya mata. Amanah Allah untuk membesar, memelihara dan mendidik anak-anak turut terpikul di bahu ibu dan bapa.



Pokok pangkalnya, perlu ada ilmu, kemahiran dan aspek paling penting ialah pegangan agama yang kukuh. Barulah hubungan suami isteri itu bukan sekadar hubungan untuk memudahkan naluri manusia, hubungan tubuh atau sebagai wahana untuk melahirkan keturunan. Hakikat sebenarnya adalah hubungan atau ikatan yang wujud atas dasar cinta, kasih sayang, kesenangan dan ketenangan.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan jadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al-Rum: 21)

Bahawasanya, cinta suami isteri adalah jauh lebih mulia berbanding di antara cinta sepasang kekasih. Ini kerana perkahwinan adalah satu ikatan yang terlalu suci dan menjadi landasan terbaik untuk menjalin kasih sayang antara lelaki dan wanita yang halal berkahwin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan