Sabtu, Oktober 01, 2011

Majlis Solat Hajat

Pada petang Khamis, 29 September 2011 aku dan Ida menghadiri Majlis Solat Hajat PMR, SPM dan STPM di SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam, Melaka.

Majlis Solat Hajat ini merupakan suatu program tahunan yang diadakan setiap kali menjelang peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Program ini juga melibatkan ibu bapa di mana ibu bapa menjadi pendorong kepada anak-anak dalam meningkatkan motivasi mereka dalam menghadapi peperiksaan.

Program bermula pada jam 6.15 petang dimulakan dengan selawat beramai-ramai. Kemudian hadirin yang memenuhi Surau Al-Islah memulakan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Tuan Hj. Ariffin Omar, Pengetua SMKA Sultan Muhammad. Ia kemudian disambung dengan Tahlil arwah dan sedikit tazkirah sebelum masuk waktu Maghrib.

Pukul 7.15 malam, para jemaah bersama-sama menunaikan Solat Maghrib. Selepas selesai, acara terpenting pada malam itu iaitu Solat Hajat Perdana. Jemaah menunaikan solat hajat dua rakaat secara beramai-ramai di samping memohon hajat masing-masing. Sudah tentu hajat mereka semua adalah sama iaitu agar para pelajar SMKA Sultan Muhammad yang menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun ini mendapat keputusan yang paling cemerlang.

Pukul 8.10 malam, ucapan daripada wakil pelajar berkumandang mengharapkan agar ibu bapa dan guru-guru mendoakan kejayaan mereka. Kemudian ucapan daripada Pengetua yang mengharapkan para pelajar dapat melakukan yang terbaik untuk sekolah. Ucapan terakhir ialah daripada YDP PIBG yang mengharapkan agar komitmen daripada ibu bapa akan berterusan dalam menyokong apa jua aktiviti yang diadakan oleh pihak sekolah.

Pukul 8.25 malam, semua jemaah di surau memenuhi saf untuk bersolat Isyak.

Pukul 8.45 malam, ibu bapa dijemput ke khemah yang disediakan bagi menjamu selera manakala para pelajar berbaris ke garaj bersebelahan untuk mendapatkan makanan yang diagihkan khas untuk mereka.



Sambil makan, kami berbual dan peluang ini kami gunakan untuk memberikan suntikan motivasi kepada Arif. Kami mengharapkan Arif dapat membuktikan sesuatu apabila keputusan PMR diumumkan kelak.

Pukul 10.00 malam, kami bergerak pulang ke rumah. Pertemuan ini diharapkan dapat membuahkan semangat yang tinggi dalam diri Arif dan aku mendoakan semoga anak sulung aku ini berjaya dengan cemerlang.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan