Rabu, Julai 20, 2011

Majlis Perasmian Penutup SUKUM Ke-36

Setelah sembilan hari berkampung di UTeM, akhirnya Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-36 melabuhkan tirainya pada petang Ahad, 17 Julai 2011 di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka.



Seawal jam 2.00 petang, semua 21 kontinjen berkumpul di Dewan Besar UTeM manakala para jemputan dan dif-dif kehormat memenuhi dewan pada jam 2.30 petang.

Pukul 2.45 petang, Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia tiba disambut dan diiringi oleh Naib Canselor UTeM ke dalam dewan. Kemudian, lagu Negaraku dimainkan.

Sebagai pembuka majlis, diadakan persembahan kebudayaan berupa tarian selamat datang, pentomin dan tarian zapin daripada mahasiswa dan mahasiswi UTeM. Penonton yang hadir memberikan tepukan gemuruh terhadap persembahan tersebut.

Memulakan acara, Ustaz Aswandee Abbidin Zainal dari Pusat Islam, UTeM memimpin bacaan doa. Kemudian lampu dipadamkan bagi persembahan montaj sepanjang berlangsungnya SUKUM Ke-36.

Meneruskan majlis, Y.Bhg. Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan aluannya. Naib Canselor UTeM menyatakan penglibatan dalam bidang sukan menyumbang kepada tubuh badan yang sihat dan berkait rapat dengan fikiran yang sihat. Bersukan juga membolehkan manusia membina semangat juang yang tinggi, cekal serta melatih mendisiplinkan diri dan membentuk peribadi.

Majlis kemudian menjemput Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman, TKSU (Pengurusan), KPT untuk menyampaikan ucapan majlis penutup SUKUM Ke-36. Di dalam ucapannya, beliau berharap kesungguhan dan semangat kesukanan yang tinggi yang dipamerkan oleh setiap atlet dalam mencapai kemenangan perlu dilihat sebagai satu motivasi diri yang sangat positif yang jika dikekalkan momentumnya ketika menjalankan tugas di dalam organisasi pasti akan dapat membantu IPTA di Malaysia melangkah lebih jauh sebaris dengan kemajuan universiti-universiti terkemuka yang lain.

Di akhir ucapannya, Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman menyampaikan ucapan tahniah kepada UTeM di atas penganjuran SUKUM Ke-36 yang telah berlangsung dengan jayanya. Beliau kemudian melafazkan perasmian penutup Sukan Staf Universiti Malaysia Ke-36 diikuti dengan tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

Majlis kemudian menjemput Y.Bhg. Engr. Profesor Dr. Marizan Sulaiman, Penolong Naib Canselor HEPA UTeM untuk menyampaikan Piala Pusingan SUKUM Ke-36 bagi acara-acara seperti berikut:

Acara Karom Lelaki - Universiti Malaya
Acara Karom Wanita - Universiti Malaya
Acara Dart Terbuka - Universiti Malaysia Sabah
Acara Olahraga Lelaki - Universiti Malaysia Perlis
Acara Olahraga Wanita - Universiti Malaysia Perlis
Acara Sepaktakraw Pegawai Kanan - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Acara Berbasikal Lelaki Senior - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Acara Berbasikal Lelaki Veteran - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Y.Bhg. Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM kemudian dijemput naik ke pentas untuk menyampaikan Anugerah Khas Sukan SUKUM Ke-36. Anugerah ini bertujuan meningkatkan semangat kesukanan dan hubungan silaturahim di samping menggalakkan penyertaan bagi tujuan kesihatan dan kecergasan sepanjang hayat. Anugerah khas tersebut ialah:

1. Anugerah Kontinjen Terbesar - Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
2. Anugerah Atlet Veteran Teramai - Universiti Teknologi Malaysia.
3. Anugerah Kontinjen Berkarisma dan Sihat Cergas - Universiti Malaysia Perlis
4. Anugerah Semangat Sukan Tertinggi (Kategori Gelanggang) - Universiti Sains Malaysia
5. Anugerah Semangat Sukan Tertinggi (Kategori Padang) - Universiti Teknologi MARA
6. Anugerah Kontinjen Semangat Sukan Tertinggi - Universiti Malaya.

Y.Bhg. Datuk Omar Abdul Rahman kemudian dijemput untuk menyampaikan hadiah bagi johan keseluruhan SUKUM Ke-36. Johan SUKUM Ke-36 dinobatkan kepada Universiti Malaysia Perlis yang mendapat 6 pingat emas, 1 perak dan 4 gangsa. Tempat kedua ialah Universiti Sains Malaysia yang mendapat 3 pingat emas, 4 perak dan 1 gangsa. Tempat ketiga ialah Universiti Malaya yang mendapat 3 emas, 1 perak dan 1 gangsa. Universiti Teknikal Malaysia Melaka mendapat tempat keempat dengan 2 emas, 3 perak dan 2 gangsa manakala tempat kelima ialah Universiti Malaysia Terengganu dengan 2 emas, 3 perak dan 1 gangsa.

Sementara itu, atlet wanita Universiti Malaysia Perlis, Norhaslinda Md Husin dinobatkan sebagai atlet wanita terbaik.

Sebaik selesai, majlis kemudian menjemput Encik Mohd Akhir Haji Yusof, Pendaftar Universiti Utara Malaysia ke pentas bagi acara penyerahan bendera Kejohanan Sukan Staf Universiti di mana Universiti Utara Malaysia akan menjadi tuan rumah SUKUM ke-37 tahun depan. Ia diiringi dengan persembahan multimedia daripada Universiti Utara Malaysia sebagai tuan rumah.

Di akhir Majlis Penutup SUKUM Ke-36, Nurfarahana Abdul Aziz, pelajar UTeM bersama Kombo Orkestra UTeM menyampaikan tiga buah lagu iaitu 'Cinta Sempurna', 'What Do You Want From Me' dan 'lagu SUKUM 2011'.

Majlis selesai pada jam 4.30 petang.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan