Rabu, Julai 27, 2011

Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan

Unit Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar telah menganjurkan Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan pada 25 Julai 2011 di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan UTeM. Bengkel ini dihadiri kira-kira 50 orang staf perpustakaan dari pelbagai unit yang bertujuan untuk meningkatkan strategi mempromosi penggunaan perpustakaan di kalangan pengguna.

Bengkel disampaikan oleh Encik Mohd Fathrulrizam Said.

Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan dikendalikan oleh Encik Mohd Fathrulrizam Said, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Fakulti Pengajian Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, mengambil pengkhususan dalam bidang Pengurusan Pusat Sumber Maklumat dan pernah bertugas di salah sebuah kolej swasta di Kedah, Perpustakaan Negara Malaysia dan Kementerian Penerangan Malaysia sebelum ke JPM.

Bengkel bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucapan pengenalan dari Cik Norlian Mohd Najib, selaku urusetia kursus. Kemudian sebagai pengenalan, Encik Mohd Fathrulrizam Said menyampaikan ceramah bertajuk 'Kaitan Membaca dan Fungsi Perpustakaan'. Selepas minum pagi, ceramah kedua bertajuk 'Strategi Menarik Minat Staf dan Pelajar Ke Perpustakaan' disampaikan oleh beliau. Pada sesi ini, staf dibahagikan kepada lima kumpulan dan masing-masing duduk di dalam kumpulan.

Pada sebelah petang, Encik Mohd Fathrulrizam Said menyampaikan ceramah bertajuk, 'Strategi Mempromosi Perkhidmatan Dan Kemudahan Perpustakaan'. Pada sesi ini para peserta bersama ahli kumpulan masing-masing berbincang untuk menyediakan pelan pemasaran perkhidmatan perpustakaan berdasarkan tajuk-tajuk yang disediakan.

Setiap kumpulan harus membincangkan audit pemasaran, SWOT dan environmental analysis, kajiselidik pemasaran, strategi pemasaran, pelan tindakan dan kaedah pengimplementasian. Empat perkara yang perlu dilihat ialah dari segi product, price, place dan promotion.

Tajuk-tajuk bagi kumpulan adalah seperti berikut:

Kumpulan 1 - Meningkatkan Penggunaan Kelas Pendidikan Pengguna.
Kumpulan 2 - Mempromosi Keahlian Luar.
Kumpulan 3 - Menggalakkan Pengguna Ke Perpustakaan.
Kumpulan 4 - Menggalakkan Penggunaan Pangkalan Data
Kumpulan 5 - Pemasaran Kemudahan Perpustakaan.

Di akhir sesi, semua kumpulan membentangkan dapatan daripada perbincangan kumpulan kepada semua peserta.

Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan tamat pada jam 5.00 petang setelah sesi pembentangan setiap kumpulan selesai. Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Ketua Pustakawan Perpustakaan UTeM menyampaikan cenderahati kepada Encik Mohd Fathrulrizam Said di penghujung sesi.

Semoga dengan adanya bengkel tersebut, diharapkan staf dapat menggunakan segala ilmu yang diterima dan hasil perbincangan kumpulan untuk mempromosikan perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna agar lebih ramai pengguna mengunjungi perpustakaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan