Selasa, Julai 05, 2011

Program Penerangan Isu-isu Semasa

Selasa, 5 Julai 2011. Hari ini warga UTeM diwajibkan hadir ke Dewan Besar untuk satu aktiviti yang telah diaturkan oleh oleh pihak universiti iaitu Program Penerangan Isu-isu Semasa Berkaitan Keselamatan Negara. Program ini rangka oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Biro Tata Negara (BTN).



Program bermula pada jam 10.00 pagi. Sebelum sesi taklimat bermula, bacaan doa telah dipimpin oleh wakil dari Pusat Islam. Kemudian wakil BTN yang juga pensyarah daripada UiTM Melaka, Tuan Hj. Jasmi Ismail naik ke pentas dan memulakan taklimat.

Di dalam taklimat selama sejam setengah ini, Tuan Hj. Jasmi telah menerangkan erti kebebasan bersuara mengikut Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

Artikel 10.

Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan.

(1) Tertakluk kepada fasal (2), (3) dan (4);

(a) Tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;

(b) Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata;

(c) Semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.

(2) Parlimen boleh dengan undang - undang menggunakan:

(a) Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan;

(b) Ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam;

(c) Ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai buruh atau pelajaran.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasa (2) (a) , Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.


Beliau juga turut mengaitkan perancangan dan motif demonstrasi Bersih 2.0 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011.

Menurut beliau, Bersih 2.0 adalah kesinambungan perhimpunan Bersih yang pernah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Gabungan ini menuntut beberapa perkara untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam pilihanraya seperti membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh masa berkempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Berdasarkan sejarah pilihanraya yang lalu, berlaku penentangan dan demonstrasi orang-orang Melayu yang diketuai oleh Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 sewaktu Malaya di bawah pentadbiran kerajaan Inggeris. Mereka inginkan negara merdeka dan menjalankan pemerintahan sendiri. Akhirnya Malayan Union dibubarkan.

Pada tahun 1969 berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 beberapa hari selepas pihak pembangkang memenangi banyak kerusi di parlimen sedangkan parti pakatan yang memerintah goyah.

Pada tahun 1998 pula berlaku reformasi akibat pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu sebelum pilihanraya 2009. Pada tahun 2007 diadakan Demonstrasi Bersih kali pertama yang turut disertai oleh Hindraf di mana kesannya pada pilihanraya 2008 ialah 5 negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Menurut Tuan Hj. Jasmi, sekiranya berlaku Demonstrasi Bersih 2.0 pada tahun 2011, kita tidak dapat menjangka apakah keputusan yang bakal berlaku pada pilihanraya yang akan datang. Untuk membentuk kerajaan, mereka memerlukan dua pertiga ahli dewan tidak kira dari parti mana sekalipun. Dengan adanya kuasa, mereka boleh meminda Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain akta yang ada.



Berdasarkan keputusan undian dalam pilihanraya lepas, undi orang-orang Melayu dari UMNO dan Barisan Nasional beralih arah kepada pembangkang sedangkan undi dari parti komponen Barisan Nasional yang lain kekal. Dengan adanya pergolakan antara parti-parti dalam Barisan Nasional sudah tentu parti tersebut menjadi tidak stabil dan memberikan kesan kepada pemerintahan negara.

Beliau juga menjelaskan terdapat anasir-anasir luar negara seperti National Democratic Institute (NDI) dan individu serta NGO dalam negara yang turut sama bersekongkol merancang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Di akhir penerangan, beliau membacakan beberapa bait puisi yang dihasilkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu 'Perjuangan Yang Belum Selesai' bagi mengingatkan warga UTeM bahawa masih banyak yang perlu dilaksanakan bagi memertabatkan bangsa agar tidak terus dihina.

Pukul 11.30 pagi, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM Melaka mengambil tempat di pentas. Beliau menerangkan apakah tindakan-tindakan polis mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan dengan perhimpunan haram Bersih 2.0.



Menurut beliau, polis memandang serius kenyataan seorang pemimpin pembangkang iaitu "kalau tak boleh nak gulingkan kuasa secara pilihanraya, maka gulingkan secara jalanraya!" kerana ini berunsur hasutan. Dari Perlembagaan Persekutuan, artikel 10 berkaitan kebebasan bersuara, beliau menyenaraikan beberapa akta lain yang boleh digunakan oleh polis untuk menghalang perhimpunan ini.

Beliau berkata, antara undang-undang yang boleh digunakan oleh polis ialah Seksyen 27(5) Akta Polis iaitu percubaan untuk mengadakan perhimpunan haram. Polis akan menahan sesiapa sahaja yang mempamerkan apa-apa perkataan atau lambang yang menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram.

Selain Akta Polis, Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574) juga boleh dikenakan kepada peserta perhimpunan haram. Seksyen 145 Kanun Keseksaan memperuntukkan ke atas kesalahan menggunakan kekerasan dan ingkar terhadap arahan polis supaya bersurai.



Strategi PDRM menurut beliau ialah mengumpul intelligen, mengadakan penerangan dan kerjasama, pencegahan dan tangkapan, penyiasatan dan juga mengadakan operasi pada hari kejadian.

Di akhir penerangannya beliau menjelaskan bahawa ketenteraman awam dan keselamatan negara adalah tanggungjawab PDRM dan sekiranya PDRM tidak dapat melaksanakannya, pihak tentera akan mengambilalih peranan tersebut. Apa-apapun katanya, security is above democracy.



Sesi taklimat ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Turut hadir di dalam program ini ialah Dato' Profesor Dr. Mohd Nor Husain, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Engr. Profesor Dr. Marizan Sulaiman dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Semoga kesempatan menghadiri program ini akan dapat meningkatkan kefahaman isu-isu semasa yang sedang berlaku di dalam negara.

Semoga Malaysia terus aman...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan