Ahad, Mei 08, 2011

Program Administrative Talk Untuk Pentadbir Siri 2

Program Administrative Talk Untuk Pentadbir Siri 2 ini dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UTeM atau Praktis dengan kerjasama Pejabat Pendaftar dan telah diadakan pada 29 April 2011 di Auditorium UTeM, Aras 2, Bangunan Canselori. Tetamu kali ini ialah Dr. Hajah Zaharah Mokhtar, Pendaftar UiTM Shah Alam yang membentangkan ceramah bertajuk 'Peranan Pentadbir Dalam Mendokong Transformasi Kecemerlangan Universiti.'

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi dan dihadiri oleh peserta-peserta yang terdiri daripada ahli Praktis sendiri. Sebaik alu-aluan daripada Pengerusi Majlis dan bacaan doa, ceramah bermula.

Menurut biodata, Dr. Hajah Zahrah dilahirkan pada 11 November 1954 di Taiping, Perak. Beliau memperolehi pendidikan tinggi dari Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu. Kemudian beliau melanjutkan pengajian untuk memperolehi Certificate in Training & Human Resource Development. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia. Akhirnya Dr. Hajah Zahrah mengambil keputusan melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Pentadbiran Pendidikan.

Dari segi kerjaya, beliau bermula sebagai Penolong Pendaftar pada tahun 1977 sehingga 1983 di dalam pelbagai bidang seperti pengambilan kakitangan, cuti belajar, latihan dan biasiswa. Pengalaman luasnya telah melayakkan beliau dilantik memegang jawatan Timbalan Pendaftar, Ketua Timbalan Pendaftar dan akhirnya jawatan Pendaftar pada 18 Mei 2006 sehingga kini.

Banyak sumbangan beliau antaranya pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar-pendaftar IPTA, Ahli Jawatankuasa Mengkaji Tadbir Urus IPTA, Ahli Jawatankuasa Penggubal Statut Universiti Awam dan lain-lain jawatan penting di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi.

Di dalam ceramahnya, beliau menghuraikan erti kontrak hidup. Menurut Dr. Hajah Zaharah, kontrak hidup telah dimeterai sejak di alam roh lagi. Di dalam sembahyang juga kita ucapkan ayat ini berkali-kali iaitu sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Kontrak hidup juga merangkumi kontrak perkhidmatan bila mana seseorang menerima tawaran kerja, beliau mestilah menandatangani surat setuju terima yang mana akur terhadap kandungan surat tersebut yang pastinya tidak melanggar hukum Allah SWT.

Katanya, Allah SWT memberikan manusia pemberian paling agung iaitu akal yang menjadikan manusia menjadi lebih baik. Sambil menyentuh misi, visi dan juga strategy map UTeM 2010-2015, beliau cuba mengaitkan dengan transformasi. Dr. Hajah Zaharah mengingatkan peserta bahawa pernyataan-pernyataan di dalam misi, visi dan strategy map UTeM 2010-2015 itu bukanlah untuk organisasi sahaja sebaliknya staf perlu melihat transformasi pada diri sendiri.

Mempersoalkan peranan sebagai pentadbir universiti, Dr. Hajah Zaharah meminta peserta memilih apakah peranan yang mereka bawa sama ada sebagai pelaku utama atau pelakon tambahan. Jika menjadi pelaku utama, pentadbir akan menjadi watak penting dalam pembangunan universiti sebaliknya jika menjadi pelakon tambahan, mereka boleh digugurkan bila-bila masa atau menjadi tidak penting sama sekali.

Katanya, universiti adalah jantung besar yang berperanan membina tamadun dan kekuatan bangsa. Oleh itu, dari segi transformasi, pentadbir perlu bertukar dari bekerja secara biasa kepada luar biasa dengan meletakkan set minda yang besar dan hebat serta lebih strategik. Mereka juga perlu membuat serahan kuasa penuh, bertanggungjawab secara maksimum dan sentiasa berhijrah kepada yang lebih baik setiap hari.

Sambil mengaitkan apa yang berlaku di pejabat sebenarnya datang dari rumah, beliau menasihatkan para pentadbir agar tidak terlalu stress. Beliau juga mengingatkan pentadbir agar tidak melihat apa yang orang lain ada sebaliknya melihat apa yang tiada agar mereka akan sentiasa bersyukur.

"Be inspired to inspire your people and think what is your role?", pesan Dr. Hajah Zaharah lagi berkenaan beban tugas dan amanah yang digalas para pentadbir.

"People follow you because they have to. And they follow you because of what you have done. They follow you because they want to and finally they follow you because what you represents..." tambahnya lagi berhubung peringkat kepimpinan yang harus diketahui oleh para pentadbir sebagai pemimpin.

Di akhir ceramahnya, beliau menasihatkan para pentadbir supaya bersatu dalam mengatasi kelemahan perkhidmatan. Mereka perlu mempunyai nilai tambah pada diri masing-masing (kompetensi) dan sentiasa berdoa untuk kejayaan. Katanya lagi, tiada zon selesa kepada para pentadbir dari tahun 2011 hingga 2020 kerana negara akan menuju ke arah pencapaian wawasannya.

Ceramah Dr. Hajah Zaharah berakhir pada jam 11.20 pagi. Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Ketua Pustakawan menyampaikan cenderahati kepada Dr. Hajah Zaharah bagi pihak Praktis. Turut hadir ialah Encik Misdom Lan, Timbalan Pendaftar, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar merangkap Pengerusi PRAKTIS.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan