Ahad, Mei 08, 2011

Mandi-manda Di Kolam Air Gunung Dan Air Panas

Sebaik pulang dari bersarapan pagi, anak-anak segera mencari pakaian mandi. Setelah siap menukar pakaian, kami beberapa keluarga terus membawa anak-anak ke kolam air gunung dahulu. Waktu ketika itu menunjukkan jam 10.30 pagi. Pengunjung ke kolam air gunung semakin ramai. Ada yang membawa bekalan masing-masing untuk berkelah di sekitar kolam tersebut.

Setelah mandi di kolam air gunung, anak-anak terasa lapar. Ada yang ingin menikmati burger, ada juga yang inginkan ais krim dan bermacam lagi. Apabila bilangan pengunjung semakin bertambah, kolam mandian menjadi sesak. Akhirnya kami merancang ke kolam air panas.

Dalam perjalanan ke kolam air panas, kami singgah di kawasan air bersuhu tinggi untuk melihat para pengunjung merebus telur. Di sini, 5 butir telur dijual pada harga RM2.00 dan ada juga pengunjung yang membawa telur yang dibeli dari luar kawasan resort ini.

Pukul 11.30 pagi, kami sudahpun beberapa di kolam air panas yang terletak hanya beberapa meter dari tempat merebus telur. Di sini pun pengunjung masih ramai. Siap bawa bekalan, berkumpul beramai-ramai dan makan-makan. Kami sempat merendamkan badan dalam air suam. Semakin dekat dengan punca air, semakin panas.

Kemudian kami ke kawasan di mana disediakan kolam air panas bagi tujuan merendamkan kaki. Memang panas. Aku merendamkan kaki dan sesekali mengangkatnya semula kerana tidak tahan dengan kepanasan air tersebut.

Akhirnya pukul 4.30 petang, kami berjalan kaki balik ke villa untuk mengisi perut. Anak-anak pula menyambung mandian mereka di jacuzzi di kawasan villa tersebut.

Sebelah malam tiada aktiviti kecuali berehat setelah makan malam.

























Tiada ulasan:

Catat Ulasan