Jumaat, Mei 04, 2012

Lawatan Sambil Belajar FPM UiTM Kedah

Jumaat, 4 Mei 2012. Hari ini Perpustakaan UTeM menerima kunjungan seramai 34 orang pelajar dan pensyarah daripada Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kedah. Rombongan lawatan ini terdiri daripada pelajar semester 6 atau tahun 3, FPM yang diketuai oleh Encik Asmad Rizal Umar, pensyarah FPM.

Antara tujuan lawatan ini ialah bagi mendapatkan gambaran tentang aktiviti yang dijalankan oleh sesebuah perpustakaan khususnya perpustakaan akademik. Ia amat berguna kepada para pelajar di mana selama ini mereka hanya belajar secara teori sahaja manakala secara praktikalnya, ia perlu diperolehi di perpustakaan.

Pukul 10.00 pagi, sebaik rombongan ini tiba di Perpustakaan UTeM, mereka disambut oleh beberapa orang pustakawan daripada Perpustakaan UTeM dan dibawa ke Bilik Tayangan, Aras 2 untuk taklimat perpustakaan. Lawatan ini diuruskan oleh Encik Mohd Mawardi Badruddin, Pustakawan Unit Latihan dan Kualiti.

Pukul 10.05 pagi, taklimat perpustakaan telah disampaikan oleh Puan Mez Zelina Yusof, Pustakawan di Bahagian Rujukan. Antaranya ialah berkenaan latar belakang perpustakaan, koleksi, perkhidmatan dan projek pendigitalan koleksi perpustakaan. Pukul 10.30 pagi, sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan ahli rombongan mendapatkan maklumat yang lebih jelas tentang aktiviti Perpustakaan UTeM. Turut memberikan taklimat ialah Puan Nurul Akmar Mehat daripada Unit Automasi.

Pukul 11.00 pagi, sesi penyampaian cenderahati lawatan diadakan. Encik Asmad Rizal Umar menyampaikan cenderhati bagi pihak FPM, UiTM Kedah manakala cenderahati balasan disampaikan oleh wakil Perpustakaan UTeM, Encik Azman Hj. Ayup.

Pukul 11.05 pagi, rombongan pelajar UiTM Kedah ini dibawa melawat ke ruang-ruang perkhidmatan di perpustakaan dan juga ruang kerja seperti di Bahagian Rujukan dan Bahagian Sirkulasi/Media. Mereka dipandu oleh Encik Mohd Razif Dzulkipli, Pustakawan Bahagian Rujukan manakala penerangan di Bahagian Sirkulasi/Media disampaikan oleh Encik Mahadir Che Ali. Rombongan ini turut merakamkan foto lawatan berhampiran Galeri Perpustakaan.

Pukul 11.30 pagi, ahli rombongan dibawa melawat ke Bahagian Pengindeksan dan penerangan mengenai proses kerja di sini di sampaikan oleh Encik Harul Rizam Mohamed, Pustakawan Bahagian Pengindeksan.

Hampir setengah jam berada di Bahagian Pengindeksan, rombongan dibawa pula melawat Bahagian Perolehan di mana penerangan tentang proses kerja di bahagian ini disampaikan oleh Cik Hasliza Mohamed, Pustakawan Unit Perolehan Buku.

Sebelum bertolak pulang, ahli-ahli rombongan lawatan FPM UiTM Kedah ini dihidangkan dengan jamuan yang disediakan oleh pihak tuan rumah.

Ini merupakan lawatan kedua FPM, UiTM Kedah ke Perpustakaan UTeM. Tahun lepas, Encik Asmad Rizal Umar membawa rombongan pelajar seramai 17 orang yang terdiri daripada pelajar semester 3, FPM ke Melaka pada 18 November 2011.

Sesungguhnya dengan adanya lawatan sambil belajar begini ianya akan mengeratkan hubungan di antara IPT dan juga meningkatkan profesion kepustakawanan di mata masyarakat khususnya pelajar dalam bidang pengurusan maklumat.



























































Tiada ulasan:

Catat Ulasan