Selasa, Mei 29, 2012

Masuk Kelas Tuisyen

Setelah memantau perkembangan pendidikan anak-anak, aku dan Ida sepakat untuk mendaftarkan anak-anak memasuki kelas tuisyen. Kali terakhir kami 'menyibukkan' diri ialah pada tahun lepas sewaktu Ifa membuat persiapan menghadapi UPSR. Boleh dikatakan setiap malam, selepas solat Maghrib, aku akan segera menghantar Ifa ke kelas tuisyen di Jad Ansar, Bukit Baru.

Bulan Februari lepas, Alim dan Miza tidak dapat meneruskan Kelas Pengajian Tahfiz di Masjid Al-Azim kerana lambat mendaftar walaupun borang pendaftaran kami serahkan sebelum tarikh akhir.

Sesi mengaji Al-Quran Alim dan Miza dengan atuknya, Haji Ayup ditangguhkan juga kerana persiapan untuk majlis perkahwinan pada bulan April. Hanya Arif sahaja yang memulakan kelas Bahasa Arab pada pagi hari Sabtu mulai Mei 2012.

Seperti biasa Alim dan Miza menghadiri kelas Bahasa Cina (Speed Reading) di rumah Cikgu Koh di Taman Dahlia, Bukit Beruang pada setiap petang Jumaat.

Mulai 19 Mei 2012, bagi memantapkan pelajaran, Alim kami daftarkan tuisyen di Jazim Motivation Group di Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah. Kelas tuisyennya pada hari Sabtu, jam 11.30 pagi dan Ahad, 8.30 pagi.

Bagi Miza pula, kami daftarkan di Jad Ansar, Bukit Baru. Kelasnya pada sebelah petang hari Sabtu dan Ahad.

Pada sebelah petang hari Sabtu juga, Miza dan Alim akan menghadiri kelas seni di Global Art, Bukit Baru. Kelas ini dipinta sendiri oleh Alim kerana cemburukan lukisan Miza yang lebih cantik. Miza sebelum ini pernah belajar di Global Art bersama Ifa tetapi menangguhkan sebentar dari menghadiri kelas ini kerana Ifa memberikan fokus kepada UPSR.

Untuk Ifa, kami daftarkan kelas Bahasa Arab bersama Ustaz Fazly pada pagi hari Ahad.

Dengan mendaftarkan anak-anak pada kelas tuisyen ini, sekurang-kurangnya masa anak-anak terisi dengan pelajaran. Kalau seharian di rumah, pastinya anak-anak akan mengisi masa dengan menonton TV, melayari internet dan bermain-main.

Duit boleh dicari tetapi masa tidak. Kejayaan tidak datang bergolek tetapi perlu dengan usaha dan doa. Bagi kami, banyak masa kami akan berada di atas jalan. Harapan kami semoga apa yang dirancangkan ini berhasil.

Amin!

1 ulasan: