Selasa, Mei 29, 2012

Arif Dapat Laptop

Isnin, 28 Mei 2012. Hari ini aku, Arif dan Ida singgah di salah sebuah kedai komputer di AEON Bandaraya Melaka untuk membeli sebuah komputer riba untuk Arif.

Semalam, secara kebetulan kami ke Jaya Jusco, AEON Bandaraya Melaka untuk membeli barang-barang keperluan harian. Sewaktu menunggu Miza dan Alim selesai bermain di taman permainan berbayar, aku dan Arif singgah di kedai-kedai komputer di kompleks membeli-belah tersebut untuk melihat jenama dan model komputer riba terbaru.

Apabila kami masuk ke sebuah kedai komputer yang menjual bukan sahaja peralatan IT malah aksesori fotografi, kami disapa oleh jurujual, seorang remaja yang memang mahir tentang pasaran barangan IT.



Setelah berbincang, akhirnya kami setuju untuk membeli sebuah komputer riba jenama Asus. Memandangkan kedai sudah hampir ditutup, jurujual meminta kami meletakkan deposit sebagai tanda jadi. Menurut jurujual, jika setuju, kami diminta datang keesokan harinya kerana beliau perlu membuat instalasi beberapa perisian dan gajet ke dalam komputer riba sebelum kami membawa pulang ke rumah.

Petang tadi, secara kebetulan Ida bertugas di ruang legar AEON Bandaraya Melaka kerana ada perasmian perpustakaan AEON Bandaraya Melaka oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Selepas pejabat, aku segera ke kedai komputer bersama Arif.

Komputer riba jenama Asus model A43SD-VX419V W7HP didatangkan dalam 4 warna iaitu hitam, putih, biru dan merah. Arif memilih komputer riba berwarna biru.

Selain komputer riba, Arif juga mendapat mouse, peningkatan RAM, mouse pad, beg notebook Asus, headset, vacuum, notebook lock dan keyboard protector. Kami juga mendaftarkan komputer riba Arif dengan bayaran tambahan agar jika terkena jangkitan virus atau pertambahan perisian, ia boleh dilakukan dengan percuma.

Selepas membayar harga komputer riba tersebut, kami singgah di KFC untuk membasah tekak. Petang itu, Arif balik dengan gembira kerana berjaya mendapat sebuah komputer riba.

Sebenarnya komputer riba merupakan hadiah istimewa buat Arif yang berjaya dengan cemerlang di dalam PMR tahun lalu. Semasa berjaya dalam UPSR tiga tahun lepas, Arif mendapat hadiah PSP dan mengerjakan umrah.

Sewaktu mengumumkan kami akan menghadiahkan beliau sebuah komputer riba, Arif kelihatan terkejut tetapi penuh mengharap agar impiannya menjadi kenyataan.

Kami mengharapkan dengan hadiah ini, ianya akan meningkatkan motivasi Arif untuk berjaya di dalam pelajaran dan peperiksaan SPM yangbakal diduduki tahun hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan