Selasa, April 26, 2011

Mesyuarat Agung PIBG SMKA Sultan Muhammad

Hujung minggu lalu aku berpeluang menghadiri Mesyuarat Agung PIBG SMKA Sultan Muhammad. Mesyuarat agung kali ke-34 ini diadakan pada hari Sabtu, 23 April 2011 di Dewan Ibnu Batutah. Aku sampai ke majlis tersebut pada jam 8.45 pagi setelah menghantar anak-anak ke Kelas Pengajian Tahfiz di Masjid Al-Azim.

Setelah mendaftar, aku dan Ida terus duduk di kerusi yang disediakan. Majlis bermula pada jam 9.00 pagi. Setelah ucapan aluan daripada pengacara majlis, diadakan persembahan nasyid dan hafazan daripada para pelajar.

Majlis diteruskan dengan ucapan Pengetua, Tuan Hj. Ariffin Omar. Di dalam ucapannya, beliau berhasrat meletakkan sasaran tahun 2015 sebagai tahun di mana SMKA Sultan Muhammad menjadi sekolah berprestasi tinggi. Beliau juga turut merumuskan pencapaian PMR dan SPM 2010 sebagai memberangsangkan. Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama sekolah dengan pihak Infineon bakal membuka lembaran baru dari segi hubungan dengan syarikat korporat dari segi kerjasama sosial.

YDP PIBG, Encik Jamaludin Johar pula di dalam ucapannya berharap kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah penting bagi memastikan keselesaan dan pendidikan yang diterima anak-anak lebih sempurna. Menurut beliau, cara menangani masalah disiplin di kalangan pelajar kini sudah berubah. Mengenai perancangan sekolah menjadi sekolah berprestasi tinggi, beliau mengalu-alukan hasrat sekolah untuk mencapai penarafan tersebut dan kerjasama dengan pihak korporat boleh menjadi salah satu peluang mempercepatkan matlamat tersebut.

Ucapan perasmian oleh Dr. Khatijah Jumangat, Head of Department Safety, Health and Environment, Infineon mengambil masa hampir 30 minit menyebabkan tetamu sedikit gelisah. Barangkali dah terbiasa memberikan ceramah agaknya...Ucapan Dr. Khatijah berkisar kepada perkembangan sosial masa kini khususnya gejala sosial yang semakin menular di kalangan umat Islam khususnya remaja.

Pergaulan bebas di kalangan muda mudi akhirnya menyumbang kepada gejala sosial seperti penagihan dadah, pembuangan bayi, murtad dan sebagainya. Beliau turut berjanji akan berbincang dengan pengurusan syarikat bagi tujuan sumbangan komputer dan kepakaran ICT.

Pukul 10.30 pagi, majlis berhenti rehat. Sebaik selesai jamuan, majlis diteruskan. Mesyuarat Agung PIBG bermula. Laporan aktiviti-aktiviti tahun 2010 dibentangkan berserta penyata kewangan. Banyak usul dan cadangan daripada ibu bapa disuarakan bagi tujuan penambahbaikan aktiviti yang bakal dijalankan pada tahun ini. Antaranya ialah bayaran tambahan persekolahan tahun 2012 oleh Tuan Pengetua.

Memikirkan semua perkara memerlukan kos, tidak salah jika ibu bapa menyokong cadangan tersebut memandangkan ianya untuk kebaikan anak-anak mereka sendiri.

Di akhir majlis, cabutan bertuah diadakan bertujuan menghargai komitmen ibu bapa yang sanggup menunggu sehingga majlis selesai. Rasanya kalau tidak ada hamper, ramai dah balik. Satu demi satu nombor bertuah dibacakan. Dah akhirnya nombor 157 iaitu nombor pada buku program disebut. Ida ke depan mengambil hadiah.

Mesyuarat Agung PIBG SMKA Sultan Muhammad Kali ke-34 berakhir pada jam 2.15 petang. Aku menjemput Arif pulang ke rumah setelah mendapat kebenaran pihak warden. Arif diminta membawa hamper tersebut ke dalam kereta.

Semoga SMKA Sultan Muhammad terus maju...









Tiada ulasan:

Catat Ulasan