Khamis, April 14, 2011

Menziarahi Ida di INTAN Kluang

Sebaik meninggalkan majlis perkahwinan Nor Aini dan Mohd Shahron, kami lima beranak terus menuju Plaza Tol Ayer Keroh untuk ke destinasi seterusnya. Kami bercadang untuk melawat Ida yang sedang menjalani kursus induksi umum di INTAN Kluang dari 17 hingga 31 Mac 2011.

Anak-anak sudah tidak sabar untuk berjumpa ibunya terutama Alim yang sememangnya rapat dengan Ida. Mengikut perancangan awal kami bercadang untuk ke Kluang pada hari Ahad, 27 Mac 2011 tetapi disebabkan Arif dapat balik awal dari asrama, aku menukar rancangan. Pukul 4.50 petang, kami sudahpun melepasi Plaza Tol Ayer Hitam. Sepanjang perjalanan dari plaza tol ke bandar Kluang, tidak banyak perubahan dari segi pembangunan aku perhatikan.

Pukul 5.30 petang, kami sudahpun berada di INTAN Kluang bagi menjemput Ida ke bandar. Sebaik berjumpa, anak-anak terus memeluk ibu mereka. Kami sekeluarga ke Kluang Mall untuk bersiar-siar dan makan-makan. Alim nak makan KFC dan Miza juga begitu. Jadi kami memenuhi kemahuan anak-anak untuk makan bersama ibu mereka.

Pukul 6.45 petang, sebaik selesai menjamu selera, kami ke Pasar Raya Pacific untuk membeli barang-barang keperluan Ida. Sambil berjalan-jalan, kami berbual-bual. Aku lihat Ida juga dapat meredakan tension bila berbual dengan anak-anak.

Sedar tak sedar, hari sudahpun malam. Pukul 9.30 malam setelah membelikan makanan untuknya, kami lima beranak menghantar Ida ke apartment. Setelah bersalaman, kami bergerak balik ke Melaka. Kasihan aku melihatkan anak-anak yang terpaksa berpisah untuk sementara. Namun begitu sekurang-kurangnya rindu kepada ibu mereka sedikit terubat.

Anak-anak sudahpun melelapkan mata sebaik kenderaan yang aku pandu memasuki Lebuhraya Utara-Selatan. Akhirnya pukul 11.30 malam, aku sampai di rumah.

Sesekali berpisah, ada baiknya. Rindu menjadikan kami sekeluarga semakin bertambah sayang antara satu sama lain.












Foto Ida bersama rakan-rakan kursus di Kluang (tq Ina).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan