Selasa, April 05, 2011

Program 'Executive Talk' Untuk Pentadbir

Pada 28 Februari 2011 yang lalu, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UTeM (PRAKTIS) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Sumber Manusia telah menganjurkan ceramah eksekutif untuk para pentadbir UTeM dengan tajuk 'Peranan Pentadbir Dalam Merealisasikan Transformasi'. Ceramah ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme bagi membentuk pentadbir yang versatil dan dinamik.

Program ini diadakan di Auditorium Canselori, UTeM Kampus Induk, Durian Tunggal dan dihadiri kira-kira 100 orang pentadbir yang terdiri daripada pelbagai gred jawatan profesional. Majlis bermula pada jam 3.00 petang dan penceramah jemputan ialah Encik Hasan Sirun, Pendaftar UTeM.

Encik Hasan Sirun merupakan anak kelahiran Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di All Saint Primary School Taiping dan SRK Port Dickson telah melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysian (UKM) pada tahun 1980-1984.

Pengalaman beliau sebagai Pegawai Tadbir di UTM Jalan Semarak (1984-1989), UTM Skudai (1994), dipinjamkan ke Pusat Latihan Staf Politeknik Batu Pahat (PLSP) yang kini dinaiktaraf sebagai UTHM sehingga tahun 2000 diharap dapat dimanfaatkan oleh para pentadbir UTeM yang rata-rata merupakan golongan profesional muda.

Sebagai Pendaftar di UTeM, Encik Hasan telah banyak memberikan sumbangan idea dan pemikiran dengan menganggotai pelbagai jawatan di peringkat universiti seperti Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KIK, Setiausaha Lembaga Pengarah Universiti, Setiausaha Senat Universiti dan lain-lain jawatan penting sejak tertubuhnya UTeM.

Memulakan ceramahnya, Encik Hasan mempersoalkan peranan para pentadbir di universiti dan menyatakan peranan mereka hanya boleh dirasai oleh pengurusan dengan menjayakan misi dan visi universiti. Menurut beliau organisasi memerlukan pengurusan dan perlu kepada pengurusan sumber manusia.

Staf tahu fungsi jawatan dan peranan jawatan serta bergantung kepada keupayaan staf untuk melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing. Menurut beliau lagi, yang diingini daripada pentadbir ialah kecemerlangan, keberkesanan, kecekapan, tanggungjawab serta responsif yang membawa kepada pengurusan perubahan.

"Manusia sentiasa mencari kebahagiaan dan ingin menjadi produktif. Yang dituntut daripada pentadbir ialah kecemerlangan iaitu keberkesanan, kecekapan, tanggungjawab dan responsif.", ujar beliau.

Encik Hasan menyeru para pentadbir supaya menerokai ilmu kerana menurut beliau ilmu itu umpama jari yang dicelup di dalam lautan di mana air yang melekat pada jari itu diibaratkan ilmu yang diperkenan Allah SWT. Beliau juga memberikan satu kiasan kisah seekor singa dan kambing. Singa yang dibesarkan oleh kambing akan mempunyai mentaliti kambing di mana ia merupakan satu sindiran kepada manusia yang tiada jati diri.

Beliau menyarankan jika pentadbir inginkan perubahan, mereka haruslah mempunyai kejujuran dan keikhlasan. Mereka tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya mendahulukan perkhidmatan.

Program yang berlangsung hampir dua jam ini berakhir pada jam 5.00 petang. Encik Misdom Lan, Timbalan Pendaftar, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar merangkap Pengerusi PRAKTIS menyampaikan cenderahati kepada Encik Hasan Sirun. Turut hadir di dalam program ini ialah Encik Khairul Taib, Bendahari UTeM.

Semoga program begini dapat diadakan lagi pada masa depan demi mempertingkatkan keprofesionalan para pentadbir di universiti ini.













Tiada ulasan:

Catat Ulasan