Rabu, April 13, 2011

Singgah Bermalam di Taiping

Ahad, 14 Mac 2011, kami bergerak meninggalkan bandar Kangar pukul 10.00 pagi. Pukul 11.00 pagi kami sudahpun berada di sempadan Perlis dan Kedah dekat Jitra. Memandangkan masing-masing kelaparan, kami singgah di sebuah kedai mamak untuk menjamu selera.

Pukul 12.30 petang, kami bergerak memasuki Lebuhraya Utara-Selatan. Memandangkan Sharif tidak mampu memandu untuk perjalanan jauh, akhirnya kami mengambil keputusan untuk mencari homestay di Taiping. Sepanjang perjalanan, Ida menggunakan internet untuk mencari maklumat dan menghubungi beberapa orang pengusaha homestay bagi mendapatkan tempat penginapan yang selesa dan murah. Kami
memerlukan rumah sebuah kerana jumlah ahli keluarga ada melebihi 20 orang.

Pukul 4.15 petang, homestay yang kami cari akhirnya ditemui. Letaknya beberapa kilometer dari Plaza Tol Taiping dan mempunyai kemudahan memasak dan berehat. Sebenarnya perancangan ini dibuat secara spontan sahaja. Sharif bercadang untuk menikmati mee udang di Kuala Sepetang dan melawat Zoo Taiping pada waktu malam.

Pukul 6.00 petang, kami bergerak dengan 3 buah kenderaan menuju Kuala Sepetang. Letaknya 11 km dari bandar Taiping. Di sini makanan popular ialah mee udang. Ramai yang berniaga mee udang berdasarkan gerai-gerai yang terletak di kiri kanan jalan seperti Gerai Mak Uteh, Gerai Pak Hashim dan lain-lain lagi. Namun begitu destinasi yang kami cari ialah Gerai Mee Udang Mak Jah. Khabarnya gerai ini pernah dikunjungi krew Jalan Jalan Cari Makan TV3 suatu ketika dahulum.

Pukul 6.45 petang, kami sampai di Gerai Mee Udang Mak Jah. Sewaktu kami sampai, gerai ini penuh sesak dengan pelanggan yang ingin menikmati mee udang. Jadi kami terpaksa menunggu giliran. Hampir 20 minit menunggu, akhirnya mee udang yang kami pesan sampai. Rasa mee udang ini pada aku biasa sahaja, Kuahnya agak cair tetapi rasanya bolehlah tahan. Semangkuk mee udang mencecah RM11.00 jika saiz udang besar. Selain mee udang, ada juga makanan berasaskan udang seperti udang goreng dan lain-lain yang boleh dipesan pengunjung.

Setelah menikmati mee udang, kami bergerak ke Zoo Taiping pada pukul 8.00 malam. Letaknya memang di dalam bandar Taiping. Setelah membeli tiket, kami menaiki tram untuk melihat di sekitar kawasan zoo. Anak-anak teruja melihat haiwan-haiwan di dalam kawasan zoo tersebut. Pemandu tram akan memperlahankan kenderaan atau berhenti di beberapa tempat bagi memaklumkan nama haiwan ketika melalui tempat tinggal haiwan tersebut. Setelah sampai ke destinasi terakhir lawatan berpandu itu, semua penumpang akan turun di pintu masuk semula. Di sini pengunjung boleh membeli cenderamata di gerai cenderamata untuk kenang-kenangan.

Pukul 11.00 malam kami pulang semula ke homestay. Kami perlu berehat kerana keesokan harinya kami akan bergerak balik ke Melaka.


































Tiada ulasan:

Catat Ulasan