Jumaat, November 23, 2012

Tazkirah: Hikmah Doa

Pagi ini telah diadakan tazkirah bulanan kali ke-11 bagi tahun 2012 pada jam 8.30 pagi di Bilik Tayangan Perpustakaan. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ali Janas, Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Masjid dan Penerbitan, Masjid Sayyidina Abu Bakar. Tajuk tazkirah kali ini ialah 'Hikmah Doa' dan dihadiri oleh staf Perpustakaan UTeM.


Menurut Ustaz Muhammad Ali, doa ialah permohonan seorang hamba kepada Allah SWT. dan merupakan suatu ibadah. Doa yang dipanjatkan perlulah ikhlas, tertib dan tawaduk.

Untuk berdoa, seseorang itu perlu mengikut peraturan agar doanya diterima Allah SWT. Di antaranya ialah mengangkat kedua -dua tangan dan bermohon atau berharap kepada Allah SWT. dengan rasa rendah diri serta sangat berhajat kepada Allah SWT. bagi menyelesaikan sesuatu masalah agar doanya dimakbulkan.

Firman Allah SWT. tentang berdoa ada disebut dalam Surah Al-Mu'minun, Ayat : 109

Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat”.

Di antara adab-adab berdoa menurut Ustaz Muhammad Ali ialah:

1. Membuka doa dengan Alhamdullillah iaitu puji-pujian kepada Allah SWT. dan salawat ke atas Nabi. Ia menjadi penguat agar doa termakbul.

2. Sentiasa mengakui dosa dan sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Maksiat merupakan punca utama manusia jauh daripada rahmat Allah dan disarankan sentiasa memohon keampunanNya agar dosa diampunkan dan bertaubat (menyesal perbuatan maksiat).

3. Bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sentiasa khusyuk dan menangis semasa berdoa agar hati menjadi tenang dan doa mudah diterima Allah SWT.

4. Disarankan berwuduk dan mengadap Qiblat serta mengangkat tangan semasa berdoa.

5. Sentiasa bersih daripada hadas besar atau kecil.

6. Sewaktu berdoa, kita hendaklah merendah diri dan merendah suara dan berdoa dalam keadaan tenang.

7. Berdoa tidak melampaui batas seperti bersyair.

8. Tidak memohon pertolongan Allah untuk perkara-perkara yang haram.

9. Jangan sesekali berputus asa dalam berdoa walaupun belum termakbul.

10. Berdoa waktu senang dan susah contohnya setiap kali selepat solat.

Untuk memboleh doa termakbul, Ustaz Muhammad Ali menjelaskan bahawa elakkan daripada memakan makanan yang haram atau syubhah kerana ia akan menjadi darah daging.

Waktu yang paling afdal untuk berdoa ialah:

1. Waktu Subuh - di mana kita boleh memohon keampunan untuk ahli keluarga, anak-anak juga seluruh umat Islam.

2. Hari Jumaaat - sewaktu menunggu Khatib.

3. Bulan Ramadhan - doa dan ibadah dipertingkatkan untuk ketaqwaan pada sepuluh malam terakhir.

4. Hari Arafah.

5. Antara azan dan iqamah - khususnya di masjid.

Hikmah doa:

1. Ia menjadi pelindung kepada orang Mukmin untuk mengelak daripada hasutan syaitan dan mengelak daripada azab neraka.

2. Ia meningkatkan ketaqwaan iman.

3. Berdoa dan meminta kepada Allah SWT. bukan kepada manusia seperti bomoh.

4. Dengan berdoa akan mententeramkan jiwa.

5. Doa juga merupakan ubat penyembuh kepada semua jenis penyakit (dengan rawatan yang betul).

6. Ia juga merupakan tali penghubung anak dan ibu bapa (terutama yang telah meninggal dunia).

7. Berdoa akan membuka pintu rahmat.

8. Doa menjadi penghubung atau mengikat tali persaudaraan sesama mukmin - contohnya di Palestin.

9. Berdoa akan meningkatkan keimanan dan keyakinan.

Di akhir tazkirah, Ustaz Muhammad Ali menyatakan bahawa dengan berdoa, mudah-mudahan kita lebih dekat kepada Allah SWT. dan sentiasa tenang hati dan diri. Semoga kita dapat memperbaiki diri untuk kebaikan dan doa diterima serta dirahmati Allah SWT. Beliau juga menyatakan bahawa doa merupakan senjata orang Mukmin yang paling mujarab.

Sesi tazkirah berakhir pada jam 9.30 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan