Selasa, Disember 04, 2012

Arif Hadiri Kem 'Easy Math'

Petang tadi kami sekeluarga menjemput Arif pulang dari menghadiri Kem 'Easy Math' di UKM Bangi. Kami sampai jam 3.00 petang.


Sabtu lalu, kami menghantar Arif ke Kolej Keris Mas untuk pendaftaran kem tersebut. Bayaran untuk menghadiri program ini biasanya dibayar secara online dan peserta hanya perlu mengesahkan penyertaan dengan bukti pembayaran yang telah dibuat sebelum program bermula.

Kem 'Easy Math' anjuran Easy Technic merupakan satu program yang dirangka khusus untuk pelajar yang bakal menghadapi PMR dan SPM pada tahun 2013. Untuk program ini, ianya diadakan dari 1 hingga 4 Disember 2012. Yuran bagi 'Easy Math' PMR ialah RM280.00 manakala bagi SPM ialah RM290.00. Semasa kem, semua peserta dikehendaki berpakaian kemas. Waktu program berlangsung ialah dari jam 7.00 pagi hingga 11.00 malam.

Objektif program antara lain memberikan kemahiran kaedah penyelesaian masalah matematik dengan cara yang paling mudah mengikut tajuk-tajuk dalam sukatan melalui kaedah 'Easy Math'. Ia juga mengubah minda peserta dari mengatakan matematik itu susah kepada mudah.


Dari pemantauan, Arif kelihatan sedikit lemah dalam subjek Sains dan Matematik. Jadi dengan adanya kem ini, sedikit-sebanyak beliau mendapat tips-tips berguna untuk diaplikasikan dalam pembelajaran di sekolah nanti.

Kem 'Easy Math' anjuran Easy Technic ini selain menganjurkan program berkaitan Matematik Tambahan, ia juga mengadakan kem untuk subjek sains seperti biologi dan kimia.


Bagi tahun 2013, kedua kem matematik tambahan dan biologi dan kimia akan diadakan di beberapa lokasi seperti UKM Bangi, Johor Bahru dan Kuantan. Tarikh kem anjuran Easy Technic seterusnya ialah pada bulan Mac 2013 untuk subjek biologi dan kimia manakala Kem 'Easy Math' pula akan diadakan sekali lagi pada bulan Mei 2013.

Diharapkan Arif mendapat tips-tips berguna di dalam Kem 'Easy Math' yang dihadirinya selama 4 hari dan dapat meningkatkan markah serta pencapaiannya dalamn subjek-subjek sains dan matematik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan