Selasa, Januari 04, 2011

Majlis Perkahwinan Shahrul-Noraidah

Sabtu, 1 Januari 2011. Jam 12.30 tengah hari aku, Ida dan Ifa bersiap-siap untuk bertandang ke rumah pengantin perempuan di Kampung Pulau, Belimbing Dalam, Durian Tunggal. Jiran sebelah rumah, Pak Hamid atau nama sebenarnya Pak Kasim mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya, Shahrul dan menjemput kami sekeluarga.

Petang Jumaat, 31 Disember 2010, aku bersama rombongan pengantin lelaki singgah di Masjid Durian Tunggal untuk menyaksikan majlis pernikahan Shahrul bersama pasangannya Noraidah di masjid tersebut. Malam Sabtu, kami dijemput juga untuk menghadiri majlis berinai besar di rumah pengantin perempuan.

Kami tiba di Kampung Pulau jam 1.30 petang. Setelah semua ahli rombongan sampai, pengantin lelaki diarak dengan kompang dan disertai oleh ahli rombongan di belakang. Kedua mempelai disatukan dan dibawa ke pelamin. Setelah majlis menepung tawar pengantin selesai, semua ahli rombongan bersama mempelai dibawa ke khemah untuk jamuan.

Sambil menjamu selera, ada pula dendangan lagu melalui karaoke oleh penduduk tempatan. Bagi rombongan dari Alai ini, memang tidak sah kalau Pak Mahad tidak mendendangkan satu atau dua lagu. Fuh, kalau dengar suara Pak Mahad ini, macam artis 60-an.

Pukul 2.45 petang, setelah selesai jamuan, masing-masing meminta diri untuk pulang. Petang itu sewaktu dalam perjalanan pulang, singgah di Batu Berendam untuk pekena coconut shake. Memang lazat...
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan