Sabtu, Januari 22, 2011

Majlis Perpisahan Pelajar Praktikal UiTM

Satu majlis perpisahan ringkas untuk pelajar yang menjalani latihan praktikal di Perpustakaan UTeM telah diadakan di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan pada 21 Januari 2011. Majlis ini bertujuan meraikan Norazizah Md. Tahir dan Noor Eznyza Khalid yang tamat menjalani latihan praktikal setelah dua bulan menimba pengalaman di sini. Ianya dijalankan selepas bacaan tahlil mingguan yang dihadiri oleh semua staf perpustakaan.

Kedua pelajar Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat daripada Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Shah Alam ini mula melaporkan diri di perpustakaan pada 22 November 2010 dan menjalani latihan di Unit Pentadbiran, Unit Automasi, Unit Perolehan Buku, Unit Perolehan Jurnal, Unit Hadiah dan Pertukaran, Unit Pengindeksan, Unit Sirkulasi dan Media serta Unit Rujukan.

Di dalam ucapannya, Norazizah Md Tahir mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf perpustakaan yang sudi memberikan tunjukajar kepada mereka berdua. Bagi Noor Eznyza Khalid pula, beliau yang sebelum ini bercadang untuk menukar profesion sebagai pustakawan kini mempertimbangkan semula cadangannya setelah mendapat pengalaman yang berguna di Perpustakaan UTeM. Beliau juga berterima kasih kepada beberapa orang staf perpustakaan yang bersungguh-sungguh membantu beliau dalam meningkatkan kefahamannya tentang ilmu kepustakawanan.

Cenderahati daripada kedua pelajar berupa sebuah replika kapal diterima oleh wakil Ketua Pustakawan, Azman Hj. Ayup untuk disimpan di Unit Pentadbiran manakala kedua pelajar ini juga menerima dua beg cenderahati daripada pegawai tersebut.

Majlis yang bermula pukul 9.50 pagi itu tamat sejam kemudian.

Bagi pihak perpustakaan, aku mengucapkan terima kasih di atas segala bantuan yang diberikan oleh kedua pelajar ini.

Semoga perjalanan hidup Norazizah Md. Tahir dan Noor Eznyza Khalid untuk mencapai segulung ijazah akan tercapai hendaknya.

Amin!!!

Noor Eznyza Khalid (kiri) dan Norazizah Md. Tahir (kanan)







Tiada ulasan:

Catat Ulasan