Isnin, Oktober 29, 2012

Lawatan Kerja Staf Perpustakaan UiTM Sarawak

Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi menerima pelawat dan kali ini dari Bumi Kenyalang.

Pada 29 Oktober 2012, seramai 25 orang staf Perpustakaan UiTM Sarawak yang diketuai oleh Encik Arifin Hj. Jamaluddin, Timbalan Ketua Pustakawan mengadakan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan UTeM. Rombongan ini terdiri daripada 3 orang pustakawan dan 21 orang staf sokongan.


Di antara tujuan lawatan ini ialah untuk berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan perpustakaan yang disediakan di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kedua perpustakaan ini.

Selain Perpustakaan UTeM, rombongan ini juga dijangka akan berkunjung ke Perpustakaan UiTM Lendu, UTM Skudai dan beberapa buah perpustakaan lain di sekitar Kuala Lumpur.

Rombongan pelawat ini tiba di Perpustakaan UTeM pada jam 10.45 pagi. Mereka disambut oleh Cik Rasida Abu Bakar, Pustakawan Kanan dan Puan Mez Zelina, Pustakawan dari Bahagian Rujukan dan dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama.

Ucapan alu-aluan dan taklimat perpustakaan disampaikan oleh Encik Azman Hj. Ayup, Timbalan Ketua Pustakawan (Memangku) mewakili Ketua Pustakawan. Turut hadir Encik Arman Mohammad, Pustakawan Kanan, Bahagian Perolehan.

Sebaik selesai taklimat perpustakaan, diadakan sesi soal jawab di antara kedua pihak dan ternyata sesi ini begitu mesra dan terbuka. Satu sesi pertukaran cenderamata diadakan bagi menghargai kerjasama di antara kedua pihak atas inisiatif lawatan yang dirangkakan.

Pukul 11.30 pagi, rombongan ini dibawa melawat ke bahagian-bahagian perpustakaan seperti Bahagian Perolehan, Bahagian Pengindeksan, Bahagian Rujukan, Bahagian Sirkulasi dan juga ruang-ruang perkhidmatan di perpustakaan.

Di akhir lawatan, satu sesi bergambar diadakan di ruang galeri untuk tujuan kenang-kenangan.

Lawatan berakhir pada jam 2.00 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan