Ahad, Oktober 21, 2012

Majlis Konvokesyen Ke-8 UTeM Di Media



Anak Peniaga Terima Anugerah Pelajaran Diraja - Berita Minggu, 21/10/2012



Nabilah (kiri) bersama S Loganesh selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja di Kampus Induk Durian Tunggal.

Melaka Tengah: Anak seorang peniaga muncul antara dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Kelapan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, Khairul Nabilah Zainul Ariffin, 24, dari Kajang, Selangor menerima anugerah itu bersama graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian), S Loganesh, 25, dari Bangsar, Kuala Lumpur. Penyampaian anugerah disempurnakan Canselor UTeM, Tun Mohd Khalil Yaakob dan disaksikan Pro Canselor, Tan Sri Dr Johari Mat; Naib Canselor, Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Didorong minat

Khairul Nabilah yang pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak empat semester sepanjang empat tahun pengajiannya di UTeM, menyifatkan kejayaan itu didorong minat dan ketekunan mendalami pelbagai cabang ilmu ditawarkan dalam program diikuti.

Anak ketiga daripada empat beradik ini ketika ditemui berkata, sentiasa fokus terhadap sesuatu subjek yang sukar hingga benar-benar memahaminya adalah antara resipi kejayaan beliau.

“Apa yang penting, fokus sepenuhnya ketika sesi kuliah bagi memastikan tiada perkara tertinggal di samping menguruskan masa belajar dan aktiviti sampingan dengan baik.

"Saya terkejut dan menangis apabila melihat surat yang dihantar pihak universiti. Kejayaan ini saya tujukan kepada ayah, Zainul Ariffin Ali, 55, dan ibu, Rosnah Othman, 53, selain rakan dan pensyarah yang banyak membantu pencapaian akademik,” katanya yang memperoleh Nilai Purata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.70.



Pelajar UTeM Berdaya Saing - Kosmo - 21/10/2012

 SEBAHAGIAN graduan UTeM meraikan kejayaan menamatkan pengajian selepas majlis konvokesyen UTeM ke-8 di Melaka semalam.

 MELAKA – Sejumlah 72 peratus pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka tamat pengajian.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kadar peratusan berkenaan membuktikan pelajar UTeM berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.

“Walaupun kadar peratusan ini tinggi, kita menyasarkan ia terus meningkat sehingga mencecah kadar lebih 80 peratus.

“Pelbagai inisiatif telah diambil bagi mencapai sasaran ini antaranya, program Pusat Penempatan Pekerjaan dengan beberapa industri di negara ini, menjemput wakil-wakil industri ke universiti dan mendedahkan para pelajar tahun akhir dengan kemahiran insan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen ke-8 UTeM di Kampus Induk Durian Tunggal di sini semalam.



Jumlah Graduan UTeM Melonjak 24 Peratus - Mingguan Malaysia, 21/10/2012

SERAMAI 30 orang graduan pelbagai fakulti dan kursus meraikan kegembiraan selepas dianugerahkan sebagai graduan cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Kelapan UTeM di Durian Tunggal, Melaka, semalam.

MELAKA 20 Okt. - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya melonjakkan bilangan graduannya yang menerima anugerah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Kelapan UTeM hari ini sebanyak 24 peratus tahun ini iaitu 1,862 berbanding 1,502 graduan pada tahun lalu.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,365 merupakan graduan ijazah sarjana muda, 317 graduan diploma, 178 graduan Sarjana dan dua merupakan graduan doktor falsafah (Ph.D).

Menurutnya, ia merupakan satu pencapaian yang tinggi bagi sebuah universiti yang baru berusia 11 tahun dan masih menitikberatkan kualiti pencapaian akademik pelajar yang memasukinya.

"Pencapaian tersebut secara tidak langsung membuktikan peranan penting UTeM sebagai universiti teknikal di negara ini dalam melahirkan golongan industri profesional," katanya dalam sidang akhbar sempena majlis konvokesyen UTeM di Durian Tunggal di sini hari ini.

Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pro Canselor UTeM, Tan Sri Dr. Johari Mat; Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Ahmad Zaidee Laidin.

Majlis konvokesyen selama dua hari bermula hari ini turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Selain itu, Ijazah Kehormat Doktor Pembangunan Pendidikan Teknologi Maklumat dianugerahkan kepada Rektor Universitas Dian Nuswantoro, Dr. Edi Noersasongko dan Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan dianugerahkan kepada Pengerusi Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh.

Sementara itu, Ahmad Yusoff berkata, UTeM turut menunjukkan sambutan memberangsangkan dalam kemasukan sesi pengajian 2012/2013 bagi kemasukan pelajar program Sarjana iaitu seramai 728 dan 181 pelajar program doktor falsafah (Ph.D).

Katanya, pengambilan pelajar yang ramai bagi kedua-dua program itu adalah selaras dengan hasrat UTeM dalam meningkatkan bilangan pasca siswazah yang merupakan salah satu komitmen mereka ke arah universiti penyelidikan dan inovasi yang gemilang pada masa hadapan.

Jelasnya, UTeM menyasarkan lebih daripada 80 peratus pelajarnya memperoleh pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian pada tahun depan berbanding 72 peratus pada tahun ini.

"UTeM telah menjalankan pelbagai usaha dalam memastikan pelajar mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan pencapaian akademik mereka termasuk melalui program Pusat Penempatan Pekerjaan dengan beberapa industri di negara ini," tambahnya.

Pada majlis itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian, Khairul Nabilah Zainul Ariffin, 24, muncul sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, S. Loganesh, 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian dengan Kepujian) yang kini sudah bekerja sebagai seorang Eksekutif Teknologi Maklumat di ibu negara.



Graduan UTeM meningkat 24 peratus - Bernama, 21/10/2012

MELAKA 20 Okt. - Bilangan graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meningkat 24 peratus tahun ini apabila 1,862 menerima ijazah dan diploma masing-masing pada konvokesyen kali ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr. Ahamd Yusoff Hassan berkata, angka itu meliputi 1,365 penerima ijazah sarjana muda, 317 diploma, 178 sarjana dan dua menerima ijazah doktor falsafah (PhD).

"Ini merupakan pencapaian yang tinggi walaupun UTeM hanya berusia 11 tahun dan kita masih menitikberatkan kualiti pencapaian akademik kepada pelajar yang ingin memasuki universiti ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-8 UTeM di sini hari ini.

Beliau berkata, pengambilan pelajar ijazah lanjutan sesi akademik 2012/2013 juga memberangsangkan dengan 728 mengikuti pengajian peringkat sarjana dan 181 PhD

Pengambilan yang ramai itu selaras dengan hasrat UTeM yang mahu meningkatkan bilangan pelajar pascasiswazah dan penyediaan ke arah universiti penyelidikan dan inovasi cemerlang pada masa depan. - BERNAMA



Jadi Pakar Macam Ibu - Harian Metro, 21/10/2012

MELAKA: Bercita-cita menjadi pakar penyelidik seperti ibunya, seorang graduan Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) membuktikan minat dan kesungguhan mampu menghasilkan kejayaan.

Khairul Nabilah Zainul Ariffin, 24, muncul seorang daripada dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-8, di sini, semalam.

Anak ketiga pasangan Zainul Ariffin Ali, 55, dan Rosnah Othman, 53, yang asalnya pelajar jurusan Sains Tulen di sekolah berkata, dia menanam minat mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan dengan impian menjadi pakar penyelidik seperti ibunya.

“Saya hanya menumpukan sepenuh perhatian sewaktu kuliah dan sering bertanya pensyarah jika ada kemusykilan.

“Bagi saya, setiap apa dilakukan perlu ditanamkan minat dan ikhlas supaya mudah melaksanakannya. Syukur, dengan usaha dan diiringi doa serta dorongan ibu bapa, saya menerima anugerah ini dan mendapat Anugerah Dekan empat kali sebelum ini,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan kepujian itu.

Menurutnya, bagi mencapai cita-citanya, berbekalkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.7, dia kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektronik (Sistem Telekomunikasi) di UTeM.

Majlis konvokesyen itu disempurnakan Canselor UTeM, Yang Dipertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, S Loganesh, 25, berkata dia yang memegang jawatan sebagai Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2009-2010 dan aktif dalam kokurikulum tetap menjadikan pelajaran sebagai keutamaan.

Anak tunggal pasangan S Sivabalan, 61, dan S Rathineswari, 57, dari Bangsar, Kuala Lumpur itu menamatkan pengajian dengan PNGK 3.45 dan kini bekerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat di sebuah syarikat terkemuka negara.

Pada konvokesyen itu, Mohd Khalil turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Pengerusi Petronas yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Selain itu, Ijazah Kehormat Doktor Pembangunan Pendidikan Teknologi Maklumat dianugerahkan kepada Rektor Universitas Dian Nuswantoro, Dr Ir Edi Noersasongko dan Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan dianugerahkan kepada Pengerusi Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Seramai 1,862 graduan membabitkan dua graduan doktor falsafah, sarjana (178), ijazah (1,365) dan diploma (317) diraikan dalam majlis konvokesyen itu yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan