Rabu, Jun 27, 2012

Melawat Zamry di Hospital Pantai

Petang semalam sewaktu menjemput Ifa balik dari sekolah, aku menerima perkhabaran daripada Zamry. Beliau memaklumkan dimasukkan ke Hospital Pantai, Melaka kerana slipped disc.

Banyak sudah aku mendengar tentang slip disc. Tapi apa itu slipped disc? Cari punya cari di dalam internet, dapatlah aku maksudnya.

Slipped disc secara ringkas bermaksud tulang belakang yang “teralih” atau “menggelongsor dari kedudukan asal. Ini disebabkab oleh gel antara tulang yang berfungsi menyerap tekanan telah bocor seterusnya mengakibatkan alihan. Apabila ini terjadi, tulang akan menekan pula saraf-saraf yang mengawal anggota badan seperti kaki, tangan dan leher. Kesakitan melampau menyebabkan anggota badan menjadi kebas pergerakan akan terbatas.

Penyakit ini berisiko kepada mereka yang gemar melakukan sukan lasak seperti ragbi dan gusti yang banyak menggunakan otot badan. Ia juga boleh berlaku kepada orang yang aktif sukan kemudian berhenti daripada bersukan pada waktu yang lama.

Penyakit tulang belakang ini boleh berlaku kepada mereka yang pernah terjatuh sama ada masa zaman kanak-kanak, remaja mahupun dewasa serta mengambil mudah kesan penyakit ini. Bagi orang yang sering melakukan kerja berat seperti mengangkat benda-benda berat, kekerapan melakukan tugas begini menyebabkan tulang belakang tidak dapat menampung beban tugas tersebut. Begitu juga mereka yang mempunyai masalah berat badan, tulang belakang tidak mampu berat badan mereka dan inilah salah satu punca berlakunya slipped disc.

Jam 1.30 petang tadi, aku dan rakan setugas, Arman sempat melawat Zamry di Hospital Pantai. Setelah mendapat nombor bilik daripada jururawat di kaunter, kami berdua segera ke Bilik 310.

Kesian juga. Seorang diri. Pelbagai perkara kami bincangkan tentang kesan daripada slipped disc dan langkah-langkah yang disyorkan oleh doktor. Lebih kurang 15 minit berbual, kami meminta diri kerana waktu rehat sudahpun berakhir dan kami harus pulang ke tempat kerja semula.

Masih mencari maklumat tentang slipped disc ini. Apa simptom penyakit ini? Simptom penyakit ini ialah sakit yang teramat sangat dan tiba-tiba sahaja berlaku. Biasanya di bahagian bawah belakang tetapi boleh juga terjadi di bahagian tengkuk ataupun bahu.

Kalau di bahagian bawah belakang, ia boleh sakit sampai ke kaki dan tapak kaki, terasa seperti menyucuk-nyucuk dan terbakar. Kalau terjadi seperti ini segera berjumpa doktor. Jika dibiarkan dikhuatiri melarat sehingga boleh menjadi lumpuh .

Beberapa kaedah rawatan disyorkan. Antaranya ialah:

1) Fisioterapi – menjalani sesi dengan pakar yang menunjukkan kaedah senaman yang betul untuk menguatkan otot. Ini termasuklah sesi rawatan menggunakan tuala panas pada bahagian sakit.
2) Stereoid – Untuk kesakitan biasa, suntikan stereoid dapat menguatkan otot belakang dan mengurangkan kesakitan.
3) Pembedahan – Ini adalah langkah terakhir di mana bahagian tulang dan disc yang terkeluar akan dikikis. Untuk kes yang lebih serius, kepingan besi akan dimasukkan untuk menyokong tulang belakang.

Aku dimaklumkan bahawa doktor mengesyorkan Zamry untuk menjalani proses fisioterapi. Aku berdoa semoga beliau cepat sembuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan