Sabtu, Disember 17, 2011

Kursus 'Talent Management'

Pada 14 dan 15 Disember 2011, aku berpeluang menghadiri kursus bertajuk 'Effective & Systematic Talent Management For Organisational Success' anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, UTeM. Kursus ini dihadiri seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dalam pentadbiran di UTeM. Ianya diadakan di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Fasilitator kursus ini ialah Datuk Hj. Fauzi bin Md. Said dari Irshad HR Consulting.

Objektif kursus ini ialah mendedahkan peserta dengan konsep dan kepentingan pengurusan bakat, juga dari segi rangka kerjanya dan bagaimana pengimplementasiannya dalam organisasi hingga berjaya. Ia juga berkait rapat dengan pendekatan secara holistik pembangunan bakat seseorang itu di dalam organisasi.

Bakat merupakan kualiti yang ada pada seseorang dari segi keupayaannya secara khusus. Setiap orang mempunyai bakat tetapi berbeza dari segi kemampuan yang ditunjukkannya. Sebenarnya bakat lebih penting daripada pengalaman, kuasa akal dan kudrat. Kepentingan pengurusan bakat ialah ia difokuskan kepada manusia dan lebih fleksibel.

Selain ceramah daripada fasilitator, para peserta juga dibahagikan kepada dua kumpulan untuk membincangkan satu artikel bertajuk, 'pengurusan bakat, peranan masa depan IPT' yang pernah diterbitkan dalam akhbar Berita Harian pada 8 Januari 2011. Kemudian hasil perbincangan dibentangkan kepada fasilitator dan juga para peserta kursus.

Apapun kursus ini memang amat bermanfaat tetapi bergantung juga kepada penerimaan dan pelaksanaannya di UTeM.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan