Ahad, Disember 04, 2011

Ucapan TPM Semasa Majlis SIRIM-INDUSTRI 2011

UCAPAN YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN, TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMASA MERASMIKAN MAJLIS SIRIM-INDUSTRI 2011 DI KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE PADA 21 NOVEMBER 2011.

















YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui,
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,

Datuk Hj. Faddilah Mohd. Yusof,
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,

YBhg. Dato’ Madinah Mohamad
Ketua Setiausaha, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,

YBhg. Datuk Hajah Jamaliah Kamis,
Pengerusi SIRIM Berhad,

Yg. Brs. Dr. Haji Zainal Abidin Mohd Yusof,
Pemangku Presiden & Ketua Eksekutif SIRIM Berhad,

Para penerima sijil dan wakil industri dan agensi,

Wakil-wakil media, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera kepada semua yang hadir pada majlis ini.

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana dijemput ke majlis yang penuh bermakna pada malam ini, iaitu Majlis SIRIM-Industri 2011 serta pelancaran Program Pelabelan Eko Kebangsaan dan Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga.

2. Sebagai sebuah agensi kerajaan yang hampir 40 tahun berkecimpung dalam bidang penyelidikan perindustrian, SIRIM adalah suatu nama yang tidak asing lagi dikalangan industri tempatan dalam aspek Research & Development serta sinonim dengan pengstandardan dan kualiti dikalangan sektor awam mahupun swasta.

Tuan Tuan dan Puan Puan,

3. Program Pelabelan dan Pensijilan sebegini merupakan satu lagi bentuk “market driven governance” yang sangat dialukan-alukan oleh kerajaan Malaysia sebagai satu model kerjasama antara sektor swasta dan awam dalam membentuk pasaran bebas yang lebih matang. Migrasi ke arah rejim “self-regulatory” ini dapat dilihat dengan penggunaan Ecolabel di European Union dan Energy Star Label di Amerika Syarikat (AS) yang bertujuan untuk mengalakkan entiti perniagaan memenuhi kriteria kualiti mesra alam yang tinggi. Malah label Eko juga mula digunakan untuk produk laut, pembalakan dan sebagainya.

4. Kini produk Hijau tidak lagi merupakan cuma satu “niche market”. Contohnya, jualan Compact Flourescent Lamp (CFL) yang pada mulanya berjumlah cuma 5 peratus daripada jualan mentol lampu di AS pada 2005, telah menyumbang 20 peratus daripada semua jualan mentol lampu AS dalam masa dua tahun sahaja. Pertumbuhan pesat segmen pasaran ini dipacu oleh pengguna yang kini lebih arif dan sensitif terhadap kesan dan punca perubahan iklim serta sanggup membayar nilai premium untuk produk mesra alam.

5. Mengikut satu anggaran McKinsey Quarterly, 33 peratus pengguna Amerika Syarikat kini sanggup membayar nilai premium untuk produk ekolabel sebegini. Lebih penting lagi, imej syarikat yang memenuhi syarat mesra alam akan dapat mengekalkan kesetiaan pengguna untuk produk dan perkhidmatan mereka. Malah menurut The Reputation Institute, nilai pasaran saham sesebuah syarikat semakin tertakluk kepada reputasi sesuatu entiti sebagai “corporate citizen”. Dengan evolusi rejim pengawalseliaan mesra alam yang semakin ketat, sesebuah syarikat yang tangkas memenuhi kriteria regulasi baru akan dapat mempertahankan syer pasaran daripada pesaing yang masih kurang mesra alam.

6. Pelancaran Program Pelabelan Eko Kebangsaan merupakan langkah awal kepada Dasar Perolehan Hijau Negara. Selaras dengan initiatif-initiatif tersebut, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), SIRIM QAS International dan Malaysian Green Technology Corporation telah diberi tanggungjawab untuk memperincikan draf cadangan pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan. Saya difahamkan dibawah dasar ini, adalah dicadangkan agar produk dan perkhidmatan yang telah memperolehi label eko akan diberikan keutamaan dalam perolehan kerajaan. Memandangkan pihak kerajaan merupakan pengguna terbesar di sesebuah negara, pelaksanaan Perolehan Hijau oleh pihak kerajaan dijangka dapat meningkatkan permintaan pasaran dan menyemarakkan lagi pertumbuhan Industri Hijau. Initiatif sebegini telahpun dilaksanakan di kebanyakan negara maju seperti Korea Selatan, Jepun, China, Jerman, Amerika Syarikat dan Australia.

Tuan tuan dan Puan Puan,

7. Tahap penggunaan intensiti tenaga negara pada 2007 adalah 34 peratus lebih tinggi berbanding negara serantau seperti yang dilaporkan didalam Pelan Tindakan ETP (Economi Tranformation Program). Menurut Pusat Tenaga Malaysia, intensiti tenaga negara dalam tahun tersebut (berdasarkan Metric Tons of Oil Equivalent (MTOE) / GDP), telah mencecah 0.326 berbanding dengan Singapura dan Brunei yang masing-masing hanya mencecah 0.100 dan 0.151. Ini menunjukkan pengunaan tenaga yang tidak efisien dalam aktiviti ekonomi dan bukti negara perlu mengamalkan kecekapan tenaga supaya dapat mengurangkan kos keperluan tenaga berlebihan.

8. Sejajar dengan ini, Malaysia berazam untuk mengurangkan emisi karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020, berbanding tahap yang dicatatkan pada tahun 2005. Menurut pelan tindakan ETP, pengunaan tenaga yang lebih efisien akan menghasilkan penambahan pendapatan sebanyak RM3.2 billion dalam Gross National Income ataupun Pendapatan Negara Kasar menjelang 2020.

9. Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga ini adalah tepat pada waktunya, lebih lebih lagi dalam konteks permintaan tenaga dunia yang dijangka meningkat secara mendadak, yang dipacu keperluan dan aspirasi baru pembangunan masyarakat. Ini adalah lebih ketara di rantau ASEAN kerana pertumbuhan ekonomi dan perubahan demografi.

10. Mengikut anggaran ASEAN Energy Outlook, untuk membolehkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau meningkat pada kadar purata kira-kira 5 peratus setiap tahun, permintaan tenaga ASEAN akan meningkat hampir 3 kali ganda daripada 343 MTOE pada tahun 2005 kepada 901 MTOE pada 2030. Ini akan melibatkan peningkatan penggunaan tenaga dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 3.9 peratus. Ini adalah lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan penggunaan tenaga dunia sebanyak 1.8 peratus dalam masa yang sama. Keperluan penggunaan tenaga yang lebih efisien merupakan satu “window of opportunity” untuk pihak industri tempatan mengadaptasikan Teknologi Hijau dalam amalan perniagaan dan memperolehi kelebihan faktor kos dalam bersaing dengan negara jiran.

Tuan Tuan dan Puan Puan,

11. Saya ingin menyeru semua agensi kerajaan dan entiti swasta yang terbabit agar bekerjasama mengembeleng tenaga untuk mendidik dan meninggikan kesedaran mesra alam para pengguna. Entiti-entiti perniagaan perlu mendakapi standard dan kualiti sebagai teras utama strategi perniagaan untuk membina keyakinan terhadap barangan mesra alam buatan Malaysia. Disini, pengiktirafan pihak SIRIM melalui Program Pelabelan dan Skim Pensijilan adalah kunci untuk mendapatkan kepercayaan pengguna yang lebih meluas.

12. Dalam pada masa yang sama, SIRIM harus mengambil initiatif untuk mengadakan “stakeholders engagement” yang sewajarnya bagi melebarkan penerimaan industri terhadap piawaian SIRIM. Dalam era ASEAN Free Trade Area (AFTA) ini, pihak SIRIM juga harus cemerlang memainkan peranannya dalam menyelaraskan standard barangan ASEAN serta membina satu rangka kerja bersama untuk tujuan “mutual recognition of standards”.

13. Persepsi kualiti barangan Malaysia haruslah menjadi “centrepiece” untuk membina satu jenama kebangsaan. Satu tinjauan pada 2010 oleh South Korean Presidential Council on Nation Branding menunjukkan pembeli untuk barangan yang sama di Jepun, Eropah dan AS akan mengurangkan harga sebanyak 30 peratus jika diberitahu ia adalan barangan Korea tetapi sanggup membayar harga premium yang dipaparkan jika diberitahu ia adalah barangan Jepun. Ini jelas menunjukkan kesediaan pengguna untuk memberi nilai premium untuk label “Made in Japan.”

14. Piawaian SIRIM haruslah menjadi the “stamp of approval” untuk label “Made in Malaysia” dan secara tidak langsung menjadi logo kualiti negara dipersada antarabangsa dalam masa terdekat ini. Pendek kata, piawaian SIRIM haruslah menjadi simbol yang mengilhamkan keyakinan pengguna bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh pelosok dunia.

Tuan Tuan dan Puan Puan,

15. Saya amat berharap bahawa Program Pelabelan dan Skim Pensijilan yang akan dilancarkan pada malam ini menjadi titik tolak peningkatan daya saing industri tempatan kita ke peringkat global.

16. Akhir kata, sekali lagi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua syarikat yang menerima pengiktirafan dan pensijilan pada malam ini. Dengan lafaz Bismillahirrahminirrahiim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majis SIRIM Industri 2011 dan melancarkan Program Pelabelan Eko Kebangsaan serta Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga. Terima Kasih.

Wabillahittaufikwalhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan