Ahad, Disember 04, 2011

Majlis SIRIM-Industri 2011

Isnin, 21 November 2011. Sehingga jam 1.00 tengah hari tadi, baru diumumkan senarai terakhir mereka yang terlibat dengan Majlis SIRIM-Industri 2011. Hati berbelah bahagi kerana malam ini ada siaran langsung perlawanan akhir bolasepak Sukan SEA bagi penentuan pingat emas dan perak di antara Malaysia dan Indonesia.

Pukul 1.30 petang, aku segera menjemput Arif dari sekolah dan pulang ke rumah untuk persiapan ke majlis berkenaan.

Pukul 5.00 petang, menggunakan van jabatan yang dipandu oleh Muaat Muji, kami seramai 10 orang bertolak ke Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Selain Hajah Faridah Md. Amin, Ketua Pustakawan dan Muaat, ahli rombongan kami ialah Rasida Abu Bakar, Wizana Abd. Jalil, Arman Mohammad, Mahadir Che Ali, Ahmad Abu Bakar, Ahmad Tarmizi Abdul Hadi dan Khairul Faiz Zainal. Kami sampai pada jam 7.55 malam.

Kami duduk di meja bernombor 25 iaitu meja yang dikhaskan kepada Perpustakaan UTeM. Acara bermula pada jam 8.00 malam dengan ketibaan wakil Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia. Kemudian kehadiran YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia disusuli dengan bacaan doa. Timbalan Perdana Menteri kemudian dijemput untuk menyampaikan ucapan perasmian serta melancarkan dan menyampaikan sijil penghargaan kepada Kumpulan 1 dalam kelompok National Eco-Labelling Scheme dan Energy Management System Certification Scheme.

Pukul 9.00 malam, majlis diteruskan dengan jamuan makan malam serta penyampaian sijil penghargaan kepada Kumpulan 2 oleh Datuk Hajah Jamaliah Kamis, Pengerusi SIRIM Berhad. Perpustakaan UTeM menerima sijil mengikut Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001).

Sambil makan, tetamu dihiburkan dengan persembahan hiburan iaitu nyanyian daripada penyanyi amatur. Dilayar sesekali dipaparkan siaran langsung perlawanan akhir bolasepak Sukan SEA. Tetamu ada kalanya menjerit serentak apabila bola yang ditendang oleh penyerang Malaysia hampir ke sasaran.

Oleh kerana kami akan bertolak balik ke Melaka, kami beredar daripada majlis sewaktu Kumpulan 3 menerima sijil daripada wakil Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

Kami kemudian mengadakan sesi foto di bahagian luar bilik jamuan sebelum rakan-rakan lain beredar menaiki van jabatan. Hati masih berbelah bahagi kerana perlawanan bolasepak masih berlangsung dan masuk kepada masa tambahan serta tendangan penalti. Mujurlah pasukan Harimau Muda menang malam itu.

Akhirnya kami sampai di Melaka pada jam 1.00 pagi.




































Berita mengenai Majlis SIRIM-Industri 2011 di Media (Bernama)

Agensi Kerajaan, Swasta Perlu Tinggikan Kesedaran Mesra Alam Pengguna - TPM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua agensi kerajaan dan entiti swasta bekerjasama mengembleng tenaga untuk mendidik dan meninggikan kesedaran mesra alam pengguna.

Beliau berkata entiti perniagaan pula perlu mendakap standard dan kualiti sebagai teras utama strategi perniagaan untuk membina keyakinan terhadap barangan mesra alam buatan Malaysia.

"Tahap penggunaan intensiti tenaga negara pada 2007 adalah 34 peratus lebih tinggi berbanding negara serantau seperti dilaporkan dalam Pelan Tindakan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Menurut Pusat Tenaga Malaysia, intensiti tenaga negara dalam tahun tersebut, berdasarkan tan metrik minyak setara (MTOE), telah mencecah 0.326 berbanding dengan Singapura dan Brunei, yang masing-masing hanya mencecah 0.100 dan 0.151.

"Ini menunjukkan pengunaan tenaga yang tidak efisien dalam aktiviti ekonomi dan bukti negara perlu mengamalkan kecekapan tenaga supaya dapat mengurangkan kos keperluan tenaga berlebihan," katanya ketika berucap pada majlis Sirim-Industri 2011 malam Isnin.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan Program Pelabelan Eko Kebangsaan dan Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga (ISO 50001).

Pelabelan Eko adalah satu kaedah untuk menyatakan faedah sesuatu produk kepada alam sekitar, sama ada kepada pengguna mahupun perniagaan, yang akan membolehkan mereka membuat keputusan pembelian berasaskan kepada faktor alam sekitar, manakala ISO 50001 adalah standard antarabangsa yang mampu membantu organisasi menjadi lebih efisien dalam aspek pengurusan tenaga.

Muhyiddin berkata pelancaran Program Pelabelan Eko Kebangsaan merupakan langkah awal kepada Dasar Perolehan Hijau Negara yang bakal memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan yang telah memperoleh label eko dalam perolehan negara.

"Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Sirim QAS International dan Malaysian Green Technology Corporation telah diberi tanggungjawab untuk memperincikan draf cadangan pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan.

"Memandangkan pihak kerajaan merupakan pengguna terbesar di sesebuah negara, pelaksanaan Perolehan Hijau oleh pihak kerajaan dijangka dapat meningkatkan permintaan pasaran dan menyemarakkan lagi pertumbuhan Industri Hijau," katanya. Beliau berkata pelancaran Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Tenaga pula tepat pada waktunya, lebih-lebih lagi dalam konteks permintaan tenaga dunia yang dijangka meningkat secara mendadak, dipacu keperluan dan aspirasi baru pembangunan masyarakat.

"Mengikut anggaran Asean Energy Outlook, untuk membolehkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau meningkat pada kadar purata kira-kira 5 peratus setiap tahun, permintaan tenaga Asean akan meningkat hampir 3 kali ganda daripada 343 MTOE pada tahun 2005 kepada 901 MTOE pada 2030.

"Keperluan penggunaan tenaga yang lebih efisien merupakan satu peluang untuk pihak industri tempatan mengadaptasikan Teknologi Hijau dalam amalan perniagaan dan memperoleh kelebihan faktor kos dalam bersaing dengan negara jiran," katanya.

Muhyiddin berkata Sirim harus mengambil initiatif mengadakan penglibatan pihak berkepentingan yang sewajarnya bagi melebarkan penerimaan industri terhadap piawaiannya, dan menjadi simbol yang mengilhamkan keyakinan pengguna bukan saja di Malaysia, tetapi di seluruh pelosok dunia.

"Dalam era Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta) ini, pihak Sirim juga harus cemerlang memainkan peranannya dalam menyelaraskan standard barangan Asean serta membina satu rangka kerja bersama untuk tujuan standard pengiktirafan bersama.

"Piawaian Sirim haruslah menjadi cop kelulusan untuk label 'Buatan Malaysia' dan secara tidak langsung menjadi logo kualiti negara di persada antarabangsa dalam masa terdekat ini," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan