Ahad, Disember 04, 2011

Majlis Makan Malam Persaraan TKP

Khamis, 17 November 2011. Malam ini diadakan Majlis Makan Malam Sempena Persaraan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Cik Siti Noor Kiah. Majlis ini dianjurkan oleh Kelab Staf Perpustakaan UTeM (Listac) dan telah diadakan di Restoran Tom Yam Klasik, Sungai Putat, Melaka.

Majlis makan malam ini bermula pada jam 8.15 malam sebaik semua jemputan tiba di lokasi. Bagi memberkati majlis, bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Azman Amir yang juga salah seorang AJK Listac.

Seterusnya ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Listac yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusinya, Encik Zaidi bin Saad. Sebaik selesai, ucapan oleh Ketua Pustakawan, Puan Hajah Faridah binti Mohd Amin selaku Penaung Listac.

Ucapan terakhir dan dinantikan oleh semua yang hadir pada malam itu ialah ucapan daripada individu yang diraikan iaitu Cik Siti Noor Kiah binti Syed Abdul Malek, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan.

Memulakan ucapannya, Cik Siti Noor Kiah mengucapkan syukur kerana dapat berada di dalam majlis ini. Beliau amat terharu dengan majlis yang diadakan khas untuk beliau dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur majlis iaitu Listac.

Beliau mengimbau kembali detik-detik awal memulakan perkhidmatan di Perpustakaan KUTKM pada 13 Ogos 2003, di mana ketika itu perpustakaan beroperasi di rumah kedai. Katanya beliau bertuah dapat melihat perkembangan universiti khususnya peningkatan gunatenaga di perpustakaan yang ketika itu jumlah staf hanya 32 orang iaitu 9 orang pustakawan dan 23 staf sokongan.

Katanya lagi dengan jumlah tersebut, perpustakaan terus memainkan peranan penting dalam mencapai misi dan visi universiti menjadi universiti teknikal yang kreatif dan inovatif di dunia.

Jelas Cik Siti Noor Kiah lagi, bilangan staf perpustakaan bertambah kepada 39 orang sewaktu Perpustakaan KUTKM berpindah ke Kampus Industri (CUBIC) pada 5 September 2005 dan dengan perpindahan ke Perpustakaan Kampus Induk pada 8 Ogos 2009, gunatenaga semakin bertambah. Sehingga kini katanya lagi, bilangan staf sudah menjangkau kepada 76 orang.

Cik Siti Noor Kiah mengimbau kenangan bersama UTeM di mana tempoh hampir 8 tahun beliau bertugas, banyak asam garam yang telah dilalui. Daripada sebuah perpustakaan yang kecil bilangan koleksinya, kini bilangan koleksi sudah bertambah selaras dengan pertambahan fakulti dan kursus yang ditawarkan UTeM.

"Kata orang, banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan persaraan. Ada yang indah berwarna-warni, tetapi ada juga yang pedih dan menyakitkan. Sesekali persaraan mengingatkan kita kepada realiti bahawa kita telah banyak menyumbang bakti dan menabur budi. Persaraan mengingatkan kita betapa kita turut bersama membangun dan melakar sejarah universiti agar setaraf dengan kemajuan IPTA lain di Malaysia." katanya.

Beliau percaya pengurusan perpustakaan yang ada pada masa kini mampu menggalas cabaran yang diamanahkan oleh universiti pada masa depan. Beliau berharap kerjasama berpasukan dapat diperkukuhkan agar segala cabaran dapat diserap dan dijana supaya perpustakaan dapat bergerak ke hadapan.

Sebelum menamatkan ucapannya, Cik Siti Noor Kiah menyampaikan tiga rangkap pantun:


Pulau Pandan Jauh Ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga.

Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung.

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan kami tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Pukul 9.00 malam, majlis makan malam bermula. Majlis diselangselikan dengan acara memotong kek dan juga cabutan nombor bertuah. Hampir kesemua staf mendapat hadiah.

Bagi mereka yang ingin bergambar kenangan, foto-foto mereka sama ada secara individu, berkeluarga dan juga berkumpulan bersama Cik Siti Noor Kiah telah diabadikan pada malam itu.

Semoga Majlis Makan Malam Sempena Persaraan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan ini menjadi sesuatu yang manis untuk dikenang pada masa hadapan.

Majlis tamat pada jam 10.30 malam.







































































































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan