Ahad, Disember 04, 2011

Hari Terakhir Bertugas Di UTeM

Hari ini, Khamis, 17 November 2011 bersamaan 21 Zulhijjah 1432H merupakan hari terakhir Cik Siti Noor Kiah binti Syed Abdul Malek bertugas di Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (S52) bakal menamatkan perkhidmatan dan bersara wajib pada 6 Disember 2011. Namun begitu, sebelum bersara, beliau akan bercuti rehat.

Setelah 8 tahun menabur jasa, Cik Siti Noor Kiah atau panggilan mesranya Cik Siti di kalangan staf akan membawa haluannya sendiri sebaik bersara. Beliau yang sebelum ini bertugas di Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Skudai, Johor sebenarnya memulakan perkhidmatan di Perpustakaan UTeM (dahulunya KUTKM) pada 13 Ogos 2003 sebagai Timbalan Ketua Pustakawan pada gred S48. Nombor staf Cik Siti ialah 00969.

Cik Siti Noor Kiah Syed Abdul Malek dilahirkan pada 6 Disember 1953 di Kg Manjoi, Lenggong, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lenggong, Perak (1960–1965), Sekolah Kebangsaan Lenggong, Perak (1960–1965), Sekolah Menengah Dato’ Ahmad Said, Lenggong, Perak (1966–1971) dan Sekolah Menengah Anderson, Ipoh (1972–1973).

Seterusnya Cik Siti Noor Kiah melanjutkan pengajiannya ke peringkat Ijazah di Institut Teknologi Mara dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perpustakan (1975-1978).

Cik Siti Noor Kiah memulakan langkah kerjayanya dalam bidang kepustakawanan di Kementerian Kemajuan Tanah & Kemajuan Wilayah (Jun 1979–31 Mac 1982) selama 4 tahun seterusnya berkhidmat sebagai Pustakawan di Perpustakaan Sutanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM ) dari April 1982 hingga 12 Ogos 2003 iaitu selama 21 tahun. Beliau mengakhiri karienya di Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) setelah berkhidmat selama 8 tahun iaitu dari 13 Ogos 2003 hingga 17 November 2011.

Cik Siti Noor Kiah juga seorang yang aktif dalam aktiviti berpersatuan. Antara penglibatan beliau dalam persatuan ialah menjadi ahli Persatuan Pustakawan Malaysia PPM), ahli PRAKTIS, ahli BAKUTEM, ahli Kelab Staf Perpustakaan (Listac) dan ahli Sri Kesidang.

Di Perpustakaan UTeM, beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Peringkat Perpustakaan dan terkenal dengan kelantangannya menegur staf dari segi disiplin.

Pukul 5.00 petang, kebanyakan staf telah berkumpul di tempat 'touch card' untuk memberi sokongan kepada Cik Siti Noor Kiah ketika beliau menyentuh kad stafnya buat kali terakhir secara rasmi di Perpustakaan UTeM sebelum bersara.

Suasana sedih dan syahdu menyelubungi sekelian staf yang menunggu di 'touch card'. Bagi staf lelaki, mereka mengucapkan terima kasih dan memohon keampunan semasa bersama manakala staf wanita, mereka bersalaman sambil mengalirkan air mata.

Cik Siti Noor Kiah merupakan seorang yang lemah lembut tetapi tegas, mudah dibawa berbincang dan sentiasa terbuka dalam menerima dan memberi pendapat dan cadangan daripada staf.

Warga Perpustakaan UTeM mengucapkan selamat bersara dan selamat maju jaya buat Cik Siti Noor Kiah Syed Abdul Malek. Segala jasa bakti yang telah beliau curahkan akan sentiasa kekal di hati dan dikenang oleh setiap staf perpustakaan.

Selamat Bersara....





































Tiada ulasan:

Catat Ulasan