Sabtu, Disember 17, 2011

Temuduga Ulul Albab 2011

Rabu, 14 Disember 2011 merupakan hari di mana Ifa menghadiri temuduga Ulul Albab di MRSM Gemencheh. Pada tarikh yang sama aku juga menghadiri Kursus Pengurusan Strategik -'Talent Management' di Puteri Resort. Namun begitu peluang begini tidak harus dilepaskan, bukan kerana terlalu mengharapkan peluang kemasukan ke MRSM tetapi sekadar membantu Ifa mendapatkan pengalaman dalam temuduga yang diadakan itu.

Pukul 12.15 tengah hari, Ida dan Ifa sampai di parkir Perpustakaan UTeM. Dari sana kami bergerak melalui Jalan Kesang Pajak-Selandar-Batang Melaka dan terus ke Gemencheh. Tempoh masa perjalanan ke MRSM Gemencheh dari UTeM ialah lebih kurang 45 minit.

Sesampainya kami di sana, ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk proses temuduga ini. Masing-masing membawa fail berisi dokumen persekolahan. Selepas Solat Zuhur, aku, Ida dan Ifa ke bangunan pentadbiran MRSM Gemencheh untuk pendaftaran pada jam 2.00 petang. Kemudian proses seterusnya Ifa dan lain-lain pelajar melalui peringkat temuduga di Pusat Sumber seperti yang telah ditetapkan.
























1. Ujian Hafazan (25 minit)

Setiap calon akan diberi masa (kuarantin) selama 25 minit untuk persediaan menghafaz satu mukasurat.Bagi calon perempuan yang ma’zurah (uzur) akan diberikan hadis hafazan. Seterusnya peserta akan diuji bacaannya semasa proses temuduga (interview).

2. Temuduga (10 minit)

Di sini calon akan diminta memperdengarkan hafazan, membaca ayat tilawah dan diuji kemahiran tajwid. Calon akan dinilai dari aspek

a) Penampilan.
b) Kefasihan hafazan.
c) Kemahiran tajwid.
d) Minat.
e) Kemahiran komunikasi.
f) Mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.
g) Pengetahuan am.

3. Ujian Jawi (10 minit)

4. Ujian Matematik (35 minit)

5. Ujian Sains (30 minit)

6. Ujian Sikap (20 minit)


Semasa proses temuduga, ibu bapa atau penjaga diberi taklimat di Surau MRSM Gemencheh berkenaan Program Ulul Albab MRSM Gemencheh. Mereka boleh bertanyakan apa jua soalan mengenai hal yang berkaitan Program Ulul Albab.

Semasa taklimat, guru yang memberikan taklimat memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga bahawa Program Ulul Albab di MRSM Gemencheh merupakan satu program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran.



Program ini dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di mana misinya untuk melahirkan pelajarlepasan MRSM yang pintar dan soleh. Ia juga bermatlamat melahirkan pelajar yang mampu menguasai 3 elemen penting iaitu quranik, ensiklopedik dan ijtihadik.

Pukul 4.40 petang, Ifa selesai menjalani temuduga. Dikhabarkan seramai 1293 orang calon terlibat di dalam temuduga ini yang berlangsung selama 4 hari iaitu dari 12 hingga 15 Disember 2011.

Keputusan temuduga boleh diketahui pada 3 Januari 2012 dan jika diterima masuk, tarikh pendaftaran ialah pada 8 Januari 2012.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan