Ahad, Mac 04, 2012

Bengkel Perancangan Strategik 2012

Bengkel Perancangan Strategik 2012 Perpustakaan yang melibatkan bahagian-bahagian di Perpustakaan UTeM telah diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu, 2 dan 3 Mac 2012.

Seramai 26 peserta terlibat dengan bengkel ini terdiri daripada Pustakawan, Penolong Pendaftar, Pembantu Perpustakaan dan Juruteknik. Bengkel diadakan di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Perpustakaan.

Objektif bengkel ialah bagi membincangkan pelan strategik perpustakaan pada tahun 2012. Antaranya pembentangan perancangan bahagian, analisa SWOT dan juga pembentukan pelan strategik yang baru.

Hari pertama memulakan bengkel, Ketua Pustakawan menyampaikan fakta dan amanat yang dipetik daripada Perutusan Naib Canselor, KPT dan PSPTN. Kemudian Ketua-ketua Bahagian membentangkan perancangan bahagian masing-masing dengan mengemukakan aktiviti-aktiviti baru bermula daripada Bahagian Perolehan, Bahagian Pengindeksan, Bahagian Rujukan, Bahagian Sirkulasi dan Media dan akhir sekali Bahagian Latihan dan Kualiti.

Peserta bengkel dibahagikan kepada 4 kumpulan mengikut SWOT bagi menganalisa kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman kepada organisasi. Masing-masing kumpulan menyenaraikan seberapa banyak fakta yang relevan dengan SWOT untuk dibentangkan kepada peserta bengkel.

Pada sebelah petang, pembentangan berkisar kepada kekuatan dan kelemahan organisasi yang mana memerlukan suatu tindakan positif yang perlu diambil oleh staf dalam mengubah lanskap pengurusan perpustakaan. Bengkel hari pertama berakhir jam 5.30 petang.

Pada hari kedua, pembentangan tertumpu kepada peluang dan ancaman yang dihadapi oleh perpustakaan. Peserta bersungguh-sungguh mengeluarkan pendapat bagi mencari solusi dalam menaikkan imej jabatan.

Pada sebelah petang, perbincangan menjurus kepada penyusunan perancangan strategik yang mantap di samping penetapan tindakan oleh jabatan dan individu.

Bengkel Perancangan Strategik 2012 Perpustakaan selama dua hari ini berakhir pada jam 4.30 petang.

Semoga segala perancangan berjalan lancar hendaknya...

Foto: Kredit buat Harulrizam.












Sabtu, Mac 03, 2012

Majlis Kesyukuran Dan Tahlil

Jumaat, 2 Mac 2012. Melalui e-mel jabatan, aku dan rakan-rakan sekerja yang lain dijemput untuk Majlis Kesyukuran dan Tahlil yang ditaja oleh beberapa orang staf yang baru sahaja mendapat status tetap dalam jawatan.

Mereka ialah Mohd Siddiq Azizi, M. Jefridzain, Suzana, Shazley, Khairul Redzwan, Norafzahizad, Syahirah dan Salleh.

Majlis berlangsung di Ruang Legar, Unit Perolehan pada jam 12.15 tengah hari. Ustaz Azman memimpin majlis dengan bacaan tahlil arwah dan doa selamat. Majlis tahlil ini juga ditujukan kepada arwah Mohd Efendi Rajali, rakan sekerja yang meninggal dunia pada 20 Februari yang lalu.

Salleh mewakili rakan-rakan yang menaja jamuan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Pustakawan kerana memilih dan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama di dalam organisasi. Beliau juga memberi penghargaan kepada rakan-rakan sekerja khususnya pegawai yang banyak memberi tunjukajar semasa peperiksaan untuk pengesahan jawatan.

Sebaik selesai, kami dijemput untuk menikmati jamuan yang dihidangkan. Majlis berakhir pada jam 1.20 tengah hari.

Buat Salleh, Mohd Siddiq Azizi, M. Jefridzain, Suzana, Shazley, Khairul Redzwan, Norafzahizad dan Syahirah, saya mewakili rakan-rakan sekerja yang lain mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian menjamu kami dengan jamuan yang enak ini, semoga bertambah rezeki anda semua pada masa hadapan.

Foto: Kredit buat Harulrizam.





























Khamis, Mac 01, 2012

Apa Itu Sawan Tarik?

Sawan tarik atau sawan demam (febrile fit) kerap berlaku pada kanak-kanak berusia antara enam bulan dengan enam tahun.

Ia boleh berlaku jika kanak-kanak mengalami demam panas melebihi 38.5 darjah Celsius yang memuncak secara mendadak.

Dipercayai demam sawan berlaku kerana pembentukan otak kanak-kanak yang belum lagi matang.

Demam panas yang tinggi boleh mencetuskan isyarat elektrik dalam litaran otak yang menyebabkan berlakunya sawan.

Demam itu sendiri selalunya berpunca daripada jangkitan kuman virus seperti demam flu, demam yang beruam dan kadangkala ekoran jangkitan air kencing.

Pada amnya, jangkitan ini adalah ringan dan tidak berpunca daripada jangkitan selaput otak (meningitis).

Sawan tarik bukan penyakit keturunan. Namun kanak-kanak yang mengalami sawan tarik ada di antara mereka yang mempunyai anggota keluarga yang mengalami sawan tarik juga.

Apakah langkah-langkah yang anda boleh lakukan di rumah apabila berlaku sawan tarik?

Mengawal demam panas seberapa boleh. Kadangkala, demam panas akan berterusan meskipun langkah-langkah sewajarnya telah diambil. Usah gementar jika sawan berlaku di hadapan mata. Ambil nafas panjang dan bertenang dahulu.

Letakkan anak di atas lantai atau permukaan yang rata dan miringkan badan dan kepalanya ke kanan agar air liurnya mengalir ke luar.

Usah memaksa masuk sudu atau bahan keras mahupun jari anda sendiri ke dalam mulut si anak. Ini tidak secara langsung boleh menyekat saluran pernafasan dan tambah membahayakan anak anda.

Usah cuba mengawal pergerakan anak itu sewaktu dia sawan kerana ini boleh mencederakan otot atau tulangnya.

Usah berikan si anak minuman kecuali setelah dia sedar.

Dapatkan bantuan dan bergegas ke doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sawan ini akan berlaku bukan untuk jangka masa yang lama. Kadangkala ia tidak melebihi seminit.

Seseorang kanak-kanak boleh mendapat sawan kembali dengan kadar 30 peratus sebelum usianya meningkat ke enam tahun.

Sekiranya anak anda mengalami demam panas, ambil langkah proaktif untuk menurunkannya suhu badannya secara perlahan-lahan seperti kerap meminum air putih dan memberinya ubat demam seperti paracetamol atau supplemen-supplemen yang dipercayai...

Menziarahi Anak Rakan Di Wad

Petang semalam selepas menjemput Miza dan Alim dari SRA Jalan Datuk Palembang, kami singgah di Hospital Pantai, Ayer Keroh. Kami ke Wad Kanak-kanak di Tingkat 4.

Di pejabat tadi aku baru mendapat perkhabaran dari rakan-rakan sekerja bahawa anak Puan Siti Saluwa, Adelle dimasukkan ke hospital kerana demam panas.

Sewaktu kami sampai, Puan Siti Saluwa bersama anaknya yang berusia setahun 9 bulan itu diletakkan di suatu bilik yang dikuarantinkan daripada pesakit lain. Tanpa bertanya kepada jururawat yang bertugas, aku meninjau melalui pintu kaca bilik. Kelihatan Puan Siti Saluwa terlelap ketika menggoncang buaian anaknya barangkali terlalu letih seharian menjaga anaknya itu.

Gambar Adelle dipetik daripada FB Puan Siti Saluwa.

Perlahan-lahan aku mengetuk pintu bilik. Beliau tersedar lalu membuka lampu. Kami bertiga masuk dan melihat anaknya itu di dalam buaian.

Sewaktu menceritakan pengalaman pertamanya berdepan dengan 'sawan tarik' pagi Selasa lalu, beliau terus membawa anaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi memandangkan keadaannya bertambah teruk dan suhu badan ketika itu mencecah 39 darjah celcius, beliau nekad membawa ke hospital.

Pada ketika itu tubuh anaknya agak kejang dan sebahagian tubuh sebelah kiri tidak berfungsi. Katanya lagi, doktor mencuba apa sahaja cara termasuk menggunakan span untuk terus membasahi tubuh anaknya agar suhu badan tidak terus meningkat. Doktor cuba memulihkan tangan dan kaki sebelah kiri dengan menyuntik air dan mengetuk kaki bagi mempercepatkan tindak balas. Alhamdulillah, katanya usaha doktor berhasil dan anaknya itu kini pulih seperti sedia kala. Namun begitu, suhu anaknya masih dipantau lagi bimbang berulang kembali.

Puan Siti Saluwa bersama suaminya bersama-sama menjaga anaknya di hospital pada sebelah malam manakala anak-anaknya yang lain ditumpangkan di rumah pengasuh.

Demam panas sehingga bayi dalam keadaan separa sedar (sawan) adalah perkara yang normal iaitu badan melawan penyakit. Demam hingga berlaku sawan tarik biasanya berlaku pada kanak- kanak yang berumur dari 6 bulan hingga 6 tahun. Ada banyak kepercayaan bahawa sawan tarik boleh menyebabkan kanak – kanak menjadi cacat otak atau lemah daya ingatan. Tetapi ia sebenarnya tidak begitu sama sekali.

Bagi ibu bapa yang tidak pernah berdepan masalah ini, sawan demam ada beberapa tanda iaitu:

# Anak biasanya hilang kesedaran.
# Otot menjadi tegang atau mengalami kejutan (tersentak-sentak).
# Muka anak bertukar menjadi merah atau biru.
# Serangan sawan ini boleh berlanjutan beberapa minit.
# Apabila serangan sawan berhenti anak akan sedar kembali, tetapi terus tidur.


Maka untuk ibu-ibu yang anak mereka menghidapi demam panas, mereka tidak perlu terlalu risau kerana ianya adalah normal dan tiada kaitan dengan epilepsi.

Sebagai rakan kerja, aku berdoa dan berharap semoga penyakit yang dialami oleh anaknya itu akan cepat sembuh.

Jam 7.10 malam, kami bertiga meminta diri kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan.

Rabu, Februari 29, 2012

Latihan Pangkalan Data

Rabu, 29 Februari 2012. Hari ini Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan UTeM menganjurkan satu latihan pangkalan data bertempat di Bilik Pangkalan Data, Perpustakaan UTeM. Seramai 30 orang peserta hadir dalam latihan terdiri daripada pustakawan, staf akademik dan pelajar.



Sesi latihan bermula pada jam 10.00 pagi dan terbahagi kepada dua sesi. Sesi pertama ialah penerangan daripada Encik Mohd Redzha, wakil daripada Taylor & Francis Group.

Beliau menerangkan tentang pangkalan data Taylor & Francis. Maklumat boleh diakses di sini http://www.tandfonline.com

Taylor & Francis ditubuhkan pada tahun 1798 merupakan salah sebuah penerbit bahan-bahan akademik yang terkemuka di dunia. Penerbit ini menerbitkan lebih 1,350 jurnal dalam 19 bidang perkara meliputi Matematik, Sains, Kesenian dan Sains Sosial. Pangkalan data ini menyimpan bahan arkib yang boleh diakses kandungannya secara teks penuh dari tahun 1997 hingga kini.

Sesi kedua pula bermula jam 10.45 pagi. Tiga orang wakil Bernama hadir memberikan demonstrasi latihan yang diketuai oleh Puan Raj Anila dan Encik Mohd Noor Atan. Bernama Library & Infolink Service atau BLIS http://blis.bernama.com



BLIS merupakan perpustakaan elektronik yang menyediakan berita dan informasi mengenai Malaysia. Maklumat di dalam BLIS terkandung dalam 11 modul iaitu Bernama News, Archival News, Foreign News, Info Providers, Who's Who, Speeches, Sectoral Reports, Databank, Facts & Figures, Directory dan Calendar of Event.

Sesungguhnya dengan latihan yang disediakan, ia akan dapat meluaskan penggunaan pangkalan data yang dilanggan oleh universiti serta dapat meningkatkan kefahaman pengguna dalam pencarian maklumat.

Sesi latihan berakhir pada jam 1.00 tengah hari.