Khamis, Mac 01, 2012

Menziarahi Anak Rakan Di Wad

Petang semalam selepas menjemput Miza dan Alim dari SRA Jalan Datuk Palembang, kami singgah di Hospital Pantai, Ayer Keroh. Kami ke Wad Kanak-kanak di Tingkat 4.

Di pejabat tadi aku baru mendapat perkhabaran dari rakan-rakan sekerja bahawa anak Puan Siti Saluwa, Adelle dimasukkan ke hospital kerana demam panas.

Sewaktu kami sampai, Puan Siti Saluwa bersama anaknya yang berusia setahun 9 bulan itu diletakkan di suatu bilik yang dikuarantinkan daripada pesakit lain. Tanpa bertanya kepada jururawat yang bertugas, aku meninjau melalui pintu kaca bilik. Kelihatan Puan Siti Saluwa terlelap ketika menggoncang buaian anaknya barangkali terlalu letih seharian menjaga anaknya itu.

Gambar Adelle dipetik daripada FB Puan Siti Saluwa.

Perlahan-lahan aku mengetuk pintu bilik. Beliau tersedar lalu membuka lampu. Kami bertiga masuk dan melihat anaknya itu di dalam buaian.

Sewaktu menceritakan pengalaman pertamanya berdepan dengan 'sawan tarik' pagi Selasa lalu, beliau terus membawa anaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi memandangkan keadaannya bertambah teruk dan suhu badan ketika itu mencecah 39 darjah celcius, beliau nekad membawa ke hospital.

Pada ketika itu tubuh anaknya agak kejang dan sebahagian tubuh sebelah kiri tidak berfungsi. Katanya lagi, doktor mencuba apa sahaja cara termasuk menggunakan span untuk terus membasahi tubuh anaknya agar suhu badan tidak terus meningkat. Doktor cuba memulihkan tangan dan kaki sebelah kiri dengan menyuntik air dan mengetuk kaki bagi mempercepatkan tindak balas. Alhamdulillah, katanya usaha doktor berhasil dan anaknya itu kini pulih seperti sedia kala. Namun begitu, suhu anaknya masih dipantau lagi bimbang berulang kembali.

Puan Siti Saluwa bersama suaminya bersama-sama menjaga anaknya di hospital pada sebelah malam manakala anak-anaknya yang lain ditumpangkan di rumah pengasuh.

Demam panas sehingga bayi dalam keadaan separa sedar (sawan) adalah perkara yang normal iaitu badan melawan penyakit. Demam hingga berlaku sawan tarik biasanya berlaku pada kanak- kanak yang berumur dari 6 bulan hingga 6 tahun. Ada banyak kepercayaan bahawa sawan tarik boleh menyebabkan kanak – kanak menjadi cacat otak atau lemah daya ingatan. Tetapi ia sebenarnya tidak begitu sama sekali.

Bagi ibu bapa yang tidak pernah berdepan masalah ini, sawan demam ada beberapa tanda iaitu:

# Anak biasanya hilang kesedaran.
# Otot menjadi tegang atau mengalami kejutan (tersentak-sentak).
# Muka anak bertukar menjadi merah atau biru.
# Serangan sawan ini boleh berlanjutan beberapa minit.
# Apabila serangan sawan berhenti anak akan sedar kembali, tetapi terus tidur.


Maka untuk ibu-ibu yang anak mereka menghidapi demam panas, mereka tidak perlu terlalu risau kerana ianya adalah normal dan tiada kaitan dengan epilepsi.

Sebagai rakan kerja, aku berdoa dan berharap semoga penyakit yang dialami oleh anaknya itu akan cepat sembuh.

Jam 7.10 malam, kami bertiga meminta diri kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan.

1 ulasan:

  1. boss...tq dtg ziarah dan info yg dishare kat sini. alhamdulillah now adelle okay cuma kena pantau dan makan ubat selama 6 bln.

    BalasPadam