Selasa, Mac 27, 2012

Latihan Pangkalan Data IEEE Xplore, Knovel Dan ASTM Digital Library

Selasa, 27 Mac 2012. Hari ini Unit Latihan dan Kualiti dengan kerjasama Unit Perolehan Jurnal, Perpustakaan UTeM sekali lagi menganjurkan latihan pangkalan data kepada para pustakawan dan staf akademik dari pelbagai fakulti di UTeM. Latihan pangkalan data ini bermula pada jam 10.00 pagi di Bilik Pangkalan Data, Perpustakaan UTeM dan dihadiri seramai kira-kira 25 orang peserta.



Penceramah ialah Encik Edward Kennedy Nasen Thevarakam, Pengurus IT Kanan, United Technology Malaysia Sdn. Bhd. dan dibantu oleh Encik Nik Ab. Kadir, Eksekutif Teknikal di syarikat tersebut. Turut hadir Encik Barry Mark Edmonds, Pengarah, United Technology Malaysia.



Antara tujuan latihan diadakan ialah bagi memberi kefahaman kepada para pustakawan dan staf akademik khususnya pensyarah dari segi penggunaan pangkalan seperti IEEE Xplore, Knovel dan ASTM Digital Library.



Sesi latihan terbahagi kepada tiga. Sesi pertama bermula dari jam 10.00 hingga 11.00 pagi, penerangan berkisar tentang penggunaan pangkalan data IEEE Xplore Digital Library.

Pangkalan data IEEE Xplore Digital Library ini merupakan sumber yang paling menarik di mana ia menyediakan akses kepada kandungan saintifik dan teknikal yang diterbitkan oleh IEEE (Institute of Electrical and Electronics Engineers) dan sekutu penerbitannya.



Terkandung hampir 3 juta dokumen teks penuh, IEEE Xplore Digital Library menyediakan akses secara web daripada kebanyakan penerbitan khususnya dalam bidang perkara seperti kejuruteraan elektrik, sains komputer dan elektronik.



IEEE Xplore Digital Library mengandungi 151 jurnal yang diperolehi daripada 900 kertas persidangan, lebih daripada 3,400 piawai, 400 e-book dan 200 kursus pendidikan.



Sesi kedua dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, latihan tertumpu kepada pangkalan data Knovel. Pangkalan data Knovel menawarkan sejumlah 28 bidang perkara khususnya bidang kejuruteraan. Ia mengandungi e-book yang dilampirkan dengan lebih 90,000 rajah, carta, graf secara interaktif. Data-data juga boleh dimanipulasi ke dalam perisian seperti Excel dan Mathcad.



Sesi ketiga ialah penerangan tentang The ASTM Standards and Engineering Digital Library. Pangkalan data ini masih belum dilanggan oleh Perpustakaan UTeM. The ASTM Standards and Engineering Digital Library merupakan koleksi digital tentang kejuruteraan teknikal dan piawaian dalam bidang industri mencakupi bidang perkara seperti aero angkasa, biomedikal, sains, mekanikal, nuklear, kejuruteraan solar dan lain-lain lagi.



Dengan adanya latihan sebegini bukan sahaja staf dapat memanfaatkan pangkalan data tersebut malah penggunaannya akan turut meningkat sesuai dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh universiti.




Sesi latihan tamat pada jam 1.00 tengah hari dan jamuan makan kepada peserta ditaja oleh syarikat berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan