Rabu, Mac 21, 2012

Hari Terakhir Di Pulau Tioman

Rabu, 14 Mac 2012. Seawal jam 5.30 pagi, ada di antara ahli keluarga kami yang sudahpun masuk ke bilik air untuk mengemas diri. Kami bersarapan secara sederhana sahaja kerana harus bergerak ke jeti jam 7.00 pagi.

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Pulau Tioman. Kami harus segera ke jeti memandangkan feri akan bergerak jam 9.00 pagi. Pukul 7.00 pagi kami tiga keluarga menunggu tram di lobi apartment setelah semua urusan pemulangan kunci bilik selesai.

Lima minit kemudian, tram yang disediakan oleh pengurusan Berjaya sampai dan membawa kami terus ke jeti di Tekek. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 15 minit.

Sementara menunggu ketibaan feri, aku sempat merakam foto-foto di sekitar jeti dan pekan Tekek.

Pukul 9.00 pagi, kami bergerak dari kompleks jeti ke feri. Perjalanan lancar tetapi kami dimaklumkan bahawa salah satu daripada enjin bot tersebut tidak berfungsi. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dari Tekek ke Mersing akhirnya tiba jam 11.30 pagi.

Syukur, perjalanan dengan bot selamat sampai. Dari jeti, kami berjalan kaki ke Stadium Mersing yang terletak hanya beberapa meter dari jeti tersebut untuk mengambil kenderaan yang diletakkan di bawah pengawasan penjaga kereta.

Setelah semuanya selesai, kami bergerak ke Bandar Mersing untuk makan tengah hari di sebuah kedai makan manakala Zaki pula bercadang untuk mencari ikan masin untuk dibawa pulang.





















































Tiada ulasan:

Catat Ulasan