Sabtu, Ogos 18, 2012

Takbir Malam Raya

Selepas solat Isyak, jemaah memenuhi ruang Surau At-Taalim Ad Diniah, Kg. Alai. Seperti lazimnya, pada malam raya akan diadakan takbir dari rumah ke rumah bermula dari surau.

Tahun ini jumlah kanak-kanak agak ramai. Khabarnya 190 orang semuanya. Ramai yang balik beraya di kampung.



Jam 9.00 malam, program bertakbir bermula. Beberapa jemaah di surau mula bertakbir, bertahmid dan bertahlil pada malam Aidilfitri bagi mengagungkan kebesaran Allah SWT. Kanak-kanak juga turut bertakbir, baik lelaki maupun perempuan.

Sebaik selesai, kanak-kanak diminta beratur. Sumbangan daripada individu yang bermurah hati menderma untuk program ini kemudian diagih-agihkan kepada kanak-kanak sebagai duit raya. Bukan main gembira lagi kanak-kanak bila mendapat habuan mereka.

Jam 9.30 malam, Pengerusi Surau At-Taalim Ad Diniah, Encik Aziz Sinin, berbincang dengan jawatankuasa beliau tentang pembahagian program bertakbir dari rumah ke rumah. Memandangkan kepadatan rumah di Kg. Alai, beberapa kumpulan bertakbir diwujudkan agar program bertakbir dapat diselesaikan secepat mungkin.

Aku dalam salah satu kumpulan di mana seorang ketua, Pak Long Latip memimpin tersebut. Setiap sebuah rumah, dua kali lafaz takbir berkumandang dan kemudian ditutup dengan doa. Tuan rumah akan menyediakan makanan dan sebelum balik, duit raya akan dihulurkan kepada kanak-kanak mengikut kemampuan. Biasanya dua ringgit tetapi jika berkemampuan, ada yang menghulurkan sampai lima ringgit.

Dalam kumpulan ini, bilangan ahlinya mencapai 100 orang. Pada malam itu kesemua 13 buah rumah dikunjungi.

Jam 2.00 pagi, program bertakbir selesai. Kanak-kanak mula mengira wang diterima walaupun mata sudah 'berat', mungkin terlalu mengantuk. Orang tua pula akan bersembang setelah program selesai.

Apapun program bertakbir dari rumah ke rumah ini sudah menjadi tradisi sejak turun temurun. Semoga ianya akan berterusan sampai bila-bila kerana inilah sunnah yang perlu diamalkan dalam memuji kebesaran Allah SWT.












Meriah Malam Raya

Sabtu, 18 Ogos 2012. Hari ini merupakan hari terakhir umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Di mana-mana kelihatan orang sibuk membuat persiapan terakhir sebelum menjelang Syawal.

Di Kampung Alai, Melaka ceritanya sama sahaja. Selepas Maghrib, anak-anak sudah tidak sabar untuk bersuka-ria. Rakan-rakan dari kota sudah pulang ke kampung untuk beraya. Suasana menjadi lebih ceria.



Seperti lazimnya, di rumah Mak Munah akan diadakan kenduri ringkas. Tahun ni Pak Khalil dijemput untuk memandu bacaan tahlil dengan beberapa orang jemaah surau.

Pelita sudah dipasang di halaman rumah. Di sana-sini kelihatan anak-anak memegang bunga api dan bermain-main sambil menjerit kegirangan. Sesekali ibu bapa akan keluar memantau bagi memastikan tiada kemalangan yang terjadi kepada anak-anak mereka.



Di seberang sana, bunyi mercun berdentum-dentam. Berbagai ragam bunyi dapat didengar. Tidak kurang juga percikan bunga api berwarna-warni di udara menghiasi suasana malam Aidilfitri.

Suasana hari raya semakin terasa. Malam ini yang pasti di kampung ini akan diadakan bacaan takbir dari rumah ke rumah bagi memuji kebesaran Ilahi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H.

Khamis, Ogos 16, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H.

Assalamualaikum wrt. wbkt.,



Buat rakan-rakan yang mengenali penulis, juga rakan-rakan blogger dan mereka yang menjadi pembaca setia blog ini, penulis memohon kemaafan andai ada salah dan silap serta terkasar bahasa semasa menulis.

Bagi mereka yang ingin pulang ke kampung, penulis ucapkan selamat memandu semoga sampai ke destinasi dengan selamat.

Tangan dihulur maaf dipinta,
Erat hubungan sesama kita,
Semoga gembira di hari yang mulia ini,
Salah dan silap harap dimaaf,
Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55

Selasa, Ogos 14, 2012

Kuih Raya

Hari ini aku menerima dua bekas kecil kuih raya. Tart nenas (kanan) ini merupakan sumbangan daripada Badan Kebajikan Staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (BAKUTeM) khusus kepada ahli-ahlinya.



Petang ni pula Pengerusi Kelab staf Perpustakaan UTeM (Listac), Encik Mohd Nasir Hashim 'turun padang' menyampaikan sumbangan kuih raya berupa kerepek pedas (kiri).

Apapun terima kasih diucapkan di atas sumbangan ini. Sebagai ahli, kami tidak mengira besar atau kecil sumbangan yang diterima. Yang penting keikhlasan daripada pengurusan kelab dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Selamat Hari Raya

Bahagian Pengindeksan belum pernah merakamkan foto staf-staf apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tahun ini kami cuba merancangkan agar sesi fotografi berjalan seperti mana dijadualkan. Sukar juga nak mengumpulkan staf-staf ni almaklumlah masing-masing sibuk dengan tugasan mereka.



Hari Jumaat, 10 Ogos 2012, kami nekad mana-mana staf yang ada, fotografi akan tetap diteruskan. Menggunakan kamera Canon DSLR milik Nik Syukran Muiz Rashid, beberapa sesi fotografi dan lokasi diadakan untuk mendapatkan foto terbaik. Hasilnya, foto di atas dianggap sebagai terbaik dan kami menjadikannya foto khas ucapan Hari Raya Bahagian Pengindeksan.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Isnin, Ogos 13, 2012

Video Raya Bahagian Pengindeksan

Semasa menyiapkan satu tugasan di pejabat, tiba-tiba aku mendapat satu idea untuk membuat video ringkas ucapan staf-staf Bahagian Pengindeksan kepada semua rakan-rakan dan staf Perpustakaan.



Aku cuba melontarkan idea tersebut kepada semua staf dan mereka menyambut baik idea ini. Harulrizam merupakan orang yang 'support' kuat idea ini dan ianya direalisasikan oleh Azman Amir yang sudi menggunakan kamera telefon bimbit untuk merakamkan ucapan staf.

Dengan menggunakan sedikit pengetahuan mengedit video, proses mengedit mengambil masa dua hari sahaja untuk disiapkan. Ianya sekadar suka-suka sahaja. Dan hasilnya seperti di atas.

Kepada semua staf Bahagian Pengindeksan yang sudi bekerjasama menjayakan rakaman ini, diucapkan ribuan terima kasih.

Apa-apapun prinsip aku hanya satu di dalam bahagian. Kerjasama itu penting. Bersatu teguh bercerai roboh.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin...

Sabtu, Ogos 11, 2012

Shopping Raya

Sabtu, 11 Ogos 2011. Jam 12.00 tengah hari, selepas menyiapkan kerja-kerja rumah, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk ke pusat membeli-belah bagi tujuan persiapan hari raya yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi.

Kami ke Mahkota Parade, Melaka. Jarak dari rumah ke pusat membeli belah lebih kurang setengah jam sahaja. Kami pergi tanpa Arif kerana minggu ini Arif tidak boleh balik asrama.



Kami mencari pakaian untuk Miza, Alim dan Ifa. Untuk mereka, tidak kurang dari 3 helai pakaian serta kasut. Kali ini, Alim agak cerewet kerana mahupun kasut sukan. Kami ke Al-Ikhsan dan dapat sepasang kasut yang diminatinya. Proses mencari pakaian yang sesuai mengambil masa hampir 5 jam.



Untuk berbuka puasa, kami memilih untuk berbuka di luar sahaja. Anak-anak ingin berbuka puasa di KFC. Jam 6.15 petang, kami ke ke restoran makanan segera tersebut. Mujur kami sampai awal, meja untuk kami masih ada.

Pukul 8.00 malam, kami meneruskan shopping raya kami. Kali ini giliran aku pula mencari pakaian. Dapatlah tiga helai pakaian yang sesuai atas bantuan Ida, isteriku.



Pukul 9.45 malam, kami pulang ke rumah. Nampaknya tahun ini jadilah raya ye!