Sabtu, Ogos 18, 2012

Takbir Malam Raya

Selepas solat Isyak, jemaah memenuhi ruang Surau At-Taalim Ad Diniah, Kg. Alai. Seperti lazimnya, pada malam raya akan diadakan takbir dari rumah ke rumah bermula dari surau.

Tahun ini jumlah kanak-kanak agak ramai. Khabarnya 190 orang semuanya. Ramai yang balik beraya di kampung.



Jam 9.00 malam, program bertakbir bermula. Beberapa jemaah di surau mula bertakbir, bertahmid dan bertahlil pada malam Aidilfitri bagi mengagungkan kebesaran Allah SWT. Kanak-kanak juga turut bertakbir, baik lelaki maupun perempuan.

Sebaik selesai, kanak-kanak diminta beratur. Sumbangan daripada individu yang bermurah hati menderma untuk program ini kemudian diagih-agihkan kepada kanak-kanak sebagai duit raya. Bukan main gembira lagi kanak-kanak bila mendapat habuan mereka.

Jam 9.30 malam, Pengerusi Surau At-Taalim Ad Diniah, Encik Aziz Sinin, berbincang dengan jawatankuasa beliau tentang pembahagian program bertakbir dari rumah ke rumah. Memandangkan kepadatan rumah di Kg. Alai, beberapa kumpulan bertakbir diwujudkan agar program bertakbir dapat diselesaikan secepat mungkin.

Aku dalam salah satu kumpulan di mana seorang ketua, Pak Long Latip memimpin tersebut. Setiap sebuah rumah, dua kali lafaz takbir berkumandang dan kemudian ditutup dengan doa. Tuan rumah akan menyediakan makanan dan sebelum balik, duit raya akan dihulurkan kepada kanak-kanak mengikut kemampuan. Biasanya dua ringgit tetapi jika berkemampuan, ada yang menghulurkan sampai lima ringgit.

Dalam kumpulan ini, bilangan ahlinya mencapai 100 orang. Pada malam itu kesemua 13 buah rumah dikunjungi.

Jam 2.00 pagi, program bertakbir selesai. Kanak-kanak mula mengira wang diterima walaupun mata sudah 'berat', mungkin terlalu mengantuk. Orang tua pula akan bersembang setelah program selesai.

Apapun program bertakbir dari rumah ke rumah ini sudah menjadi tradisi sejak turun temurun. Semoga ianya akan berterusan sampai bila-bila kerana inilah sunnah yang perlu diamalkan dalam memuji kebesaran Allah SWT.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan