Isnin, Ogos 27, 2012

Sesi Dialog Bersama TNC (P&I) - Part 2

Pada sesi dialog bersama Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (P&I)UTeM, Encik Mahadir Che Ali bertanyakan kepada beliau petua untuk mewujudkan persekitaran yang seronok. Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani memberikan beberapa tips antaranya keseronokan boleh diwujudkan melalui 2 pendekatan iaitu secara pengurusan dan juga secara rohaniah. Katanya niat penting dalam bekerja memandangkan kerja adalah satu ibadah.

Dalam bekerja niat mestilah kerana Allah SWT bukan sebab gaji atau ganjaran kerana gaji atau ganjaran merupakan elemen keduniaan. Tips seterusnya ialah mestilah bersemangat untuk pergi bekerja. Dalam bekerja, katanya mestilah bekerja secara professional. Belajar bekerja sebagai satu pasukan. Ciri-ciri profesionalisme menurut beliau ialah boleh menerima kelemahan orang lain. Dalam mesyuarat contohnya, kita perlu bercakap apa yang patut dinyatakan secara beradab. Jika tidak sehaluan, boleh 'attack' idea orang lain khususnya perlaksanaannya bukan peribadi orang itu sendiri.

Tambah beliau lagi, kita perlu sentuh idea orang. Bagaimana? Kena belajar. Tidak perlu balas jika tidak berani berhujah dan sedia terima kritikan. Katanya, perubahan bermula pada diri sendiri. Jangan pandai bercakap sebaliknya lihatlah pada diri sendiri. Beliau memberikan contoh Mahatma Gandhi yang sanggup berjalan kaki pulang sewaktu habis mesyuarat bila mana anaknya lambat menjemput beliau pulang. Beliau menyalahkan dirinya bukan anaknya. Cara bercakap dengan anaknya juga memberi kesan yang mendalam sehingga memberikan kesedaran dalam diri anaknya itu. Katanya rahsia untuk berubah ada pada diri sendiri.

Encik Zaidi Saad pula bertanyakan bagaimana caranya merealisasikan frasa 'kehadiran UTeM dirasai, ketiadaannya dirindui'. Menurut Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani, perlu ada engagement. Katanya perpustakaan perlu buat program dan libatkan PTj atau masyarakat sekeliling. Tambah beliau lagi bila buat program, jangan sesekali ada kepentingan peribadi. Kerja sebagai satu ibadah, jadi semuanya Allah SWT yang tanggung, kita hanya melaksanakan sahaja perancangan. Nasihat beliau, apa yang kita buat, Allah SWT nampak dan kita perlu yakin dengan rezeki yang Allah SWT berikan. Katanya jika bukan rezeki kita, sudah masuk mulutpun boleh keluar balik. Nasihat beliau lagi, dalam bekerja kita buat apa yang perlu, bukan apa yang kita suka buat. Jangan utamakan kepentingan diri. Itu asasnya.

Encik Salleh Mohd Nor pula bertanyakan bagaimana mewujudkan percambahan idea melalui constructive arguments dalam satu program bagi meningkatkan kerjasama di antara 4 PTj. Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani menekankan dalam constructive arguments, kita tidak boleh memandang orang lain sebagai 'personal attack' dan jangan berdendam dengan mereka. Di dalam perbincangan boleh bercanggah pendapat sebaliknya di luar masih boleh bersama.

Encik Salleh mencadangkan agar pihak TNC dapat mengadakan satu program untuk memecahkan silo mentality ini. TNC (P&I) mencadangkan supaya diadakan satu program yang bersistem tidak kiralah sama ianya berbentuk pertandingan. Beliau mencadangkan agar bercakap dengan seseorang(orang baru) dalam PTj kerana ianya mampu memberi rangsangan yang lebih baik.

Selain daripada itu, PTj boleh mengadakan aktiviti mingguan atau bulanan seperti mengadakan bacaan Yassin, tazkirah dan lain-lain lagi. Tambah TNC (P&I) lagi, sesuatu ganjaran itu bukan hanya pada destinasi sahaja malah ganjaran juga boleh diperolehi dalam perjalanan ke destinasi tersebut. Semuanya ada hikmah dan inilah hikmah yang dikutip dalam kehidupan.

TNC (P&I) mengingatkan staf supaya menjadi satu pasukan yang terbaik dalam menuju ke arah kecemerlangan. Struggle itu penting dan berikan jiwa. Apa yang dirancang tetap dilaksanakan walaupun seorang. Tambahnya, hak kita ialah usaha dan jangan difikirkan sama ada dapat atau tidak ganjaran. Itu hak Allah SWT untuk memberi.

Beliau menyarankan agar sesuatu aktiviti itu tidak perlu besar skalanya tetapi berterusan dan berkala serta dibuat secara continuous quality improvement (CQI). Bila aktiviti sudah ada, penghayatan menjadi penting dan proses mengubah diri harus berlaku. Yang penting mesti tahu tugas dan peranan masing-masing.

Mengenai sesuatu data yang diperolehi daripada pangkalan data seperti ISI dan Scopus, beliau akan menilai sejauh manakah pentingnya data tersebut. Katanya setiap data yang diperolehi mestilah reliable, accurate dan valid. Data mesti boleh diperolehi pada bila-bila masa, tepat dan sama walaupun dari sumber yang berbeza.

Beliau menyatakan bahawa mesti ada pengukuran dalam penilaian. Perlu mencari perbezaan dan melihat kedudukan kita di mana. Itu dinamakan gap analysis dan dari sana baru boleh dibuat plan activity. Dalam membuat strategic planning, perlu ada strategic data untuk melihat kedudukan organisasi kita. Beliau menyarankan agar mengukuhkan pangkalan data dan sentiasa professional dalam kerja. Katanya lagi, tiada kompromi dalam hal-hal kualiti.

Beliau mengucapkan tahniah di atas kejayaan Perpustakaan UTeM menerima anugerah dari ScienceDirect dan Emerald dari segi jumlah tertinggi dalam pengaksesan pangkalan data tersebut.

Puan Siti Saluwa Jamal ingin tahu bagaimana untuk memecahkan tembok pemisah di antara 4 PTj ini bagi mengelakkan terjadinya silo mentality. Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani mencadangkan supaya kita mengubah diri sendiri terlebih dahulu. Menggunakan frasa, 'seek first to understand, then to be understood', beliau menyarankan supaya fahami diri sendiri sebelum difahami orang lain. Katanya dalam kejuruteraan, istilah yang sering digunakan ialah action and reaction. Tambahnya positive action akan mendapat positive reaction dan kita mesti sentiasa memikirkan bagaimana untuk menjadikan sesuatu situasi itu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani secara peribadi terkilan dengan mindset pelajar dan kaedah pembelajaran dalam sistem persekolahan yang sedia ada yang menekankan latihtubi khususnya untuk lulus dalam peperiksaan. Kaedah ini akhirnya terbawa-bawa sehingga ke peringkat universiti dan menjadi budaya. Ia mengambil masa yang lama untuk diubah dan disesuaikan dengan persekitaran univesiti dan pelajar sepatutnya diterapkan dengan teknik kemahiran belajar.

Ada juga sesetengah pelajar beranggapan bila sudah sampai di universiti atau puncak keilmuan, itulah masanya mereka turun dari destinasi dan seolah-olah masih berbulan madu. Kadangkala mereka menyalahgunakan pinjaman yang diterima untuk membeli telefon dan juga motosikal. Prinsip beliau ialah 'biar membara di dada, dingin di kepala' iaitu sentiasa bersemangat dalam membuat sesuatu pekerjaan.

Di akhir sesi, Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani menasihatkan semua staf agar peka dengan persekitaran dan mesti tahu menyusun keutamaan (priority). Mereka perlu sedarkan rakan-rakan daripada lalai kerana katanya penyakit lalai lebih teruk daripada mabuk. Lalai boleh menjadi kita tidak sedar dalam tempoh yang panjang sebaliknya jika mabuk, bila tersedar, kita akan terus bertaubat. Oleh itu, katanya mesti sedarkan dahulu rakan-rakan sebelum membuat sesuatu program. Beliau menekankan sekali lagi tentang membentuk pendekatan bersistem yang mesti dibentuk oleh perpustakaan.

Sesi dialog bersama Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani, TNC (P&I) UTeM berakhir jam 11.00 pagi. Di akhir pertemuan, beliau sempat melihat kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan sebelum menandatangani dalam buku pelawat.

Lawatan Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani sebenarnya memberikan banyak mesej mendalam dalam mengubah minda staf yang akan melakukan perubahan pada diri sendiri sebelum perubahan berlaku pada organisasi.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan