Jumaat, Ogos 03, 2012

Arif Mendaftar Di SBPI Selandar

Isnin,30 Julai 2012. Seawal jam 8.00 pagi, hujan turun mencurah-curah. Mujur anak-anak yang lain sudah aku hantar ke sekolah.

Setelah semua pakaian dan barang-barang keperluan asrama dimasukkan ke dalam sebuah beg besar, Arif menarik beg tersebut masuk ke dalam bonet kereta. Mak Munah dan Ida turut serta menghantar Arif ke sekolah barunya itu.



Kami bergerak jam 8.15 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam kerana jalan licin. Dalam perjalanan kami singgah sebentar di pejabat bagi meminta rakan setugas mengesahkan dokumen dan sijil Arif.

Hampir jam 10.00 pagi kami sampai di SBP Integrasi Selandar. Kami ke pejabat sekolah terlebih dahulu. Urusan pendaftaran mengambil masa lebih kurang setengah jam. Kami dikenakan bayaran yuran dan asrama lebih RM1,000. Setelah selesai kami menghantar Arif ke asrama putera.

Daripada pemerhatian aku, komunikasi di antara guru dan pelajar di sana nampak lebih mesra. Seorang guru meminta dua orang pengawas menunjukkan katil untuk Arif di asrama putera. Kedua pengawas tersebut dengan ramah dan suka menawarkan pertolongan untuk membantu membawa beg dan perkakasan kepunyaan Arif. Dua pengawas tersebut ialah Asyraf dan Zaid.

Pukul 11.30 pagi, kami meninggalkan kawasan SBPI Selandar setelah semua urusan selesai. Kami mengharapkan agar Arif dapat menyesuaikan dengan persekitaran barunya itu dan seterusnya mencipta sesuatu yang baik untuk dirinya. Biarpun lewat memasuki SBP, namun itu bukan alasan untuk tidak boleh bersaing dengan pelajar-pelajar lain yang terlebih dahulu mendaftar di sana.

Usah dikira bagaimana sesuatu itu bermula sebaliknya bagaimana ianya berakhir. Pilihan di tangan anda, Arif!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan