Ahad, Ogos 19, 2012

Solat Raya Di Masjid Alai

Pagi ini sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula. Jam 8.10 pagi, setelah bersiap-siap dengan baju Melayu dan bersampin, aku bersama anak-anak dan juga ahli keluarga yang lain segera ke Majid Alai untuk menunaikan Solat Aidilfitri.

Sewaktu kami sampai, lafaz takbar berkumandang di udara dibacakan oleh beberapa jemaah secara sukarela disambut oleh jemaah lain yang ada di masjid.



Di masjid kelihatan ramai sungguh jemaahnya sehingga di ruang pejalan kaki juga dibentangkan sejadah. Hari raya begini ramai yang balik ke kampung halaman mereka. Peluang begini digunakan oleh jawatankuasa masjid memohon sumbangan daripada anak-anak kariah untuk tujuan pembangunan masjid. Beberapa jemaah secara sukarela bangun bergerak dari saf ke saf menghulurkan songkok memungut sumbangan ikhlas.

Jam 8.30 pagi, Imam mengingatkan jemaah lafaz bacaan solat raya aidilfitri, maklumlah solat ini dilakukan setahun sekali. Kemudian Solat Aidilfitri dimulakan dengan rakaat pertama, 7 kali takbir manakala rakaat kedua pula sebanyak 5 kali takbir.

Selesai bersolat, diadakan khutbah. Initisari khutbah berkisar kepada sambutan hari raya di mana mengingatkan umat Islam agar bersederhana dalam meraikan aidilfitri serta tidak boros atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Jam 9.00 pagi, khutbah selesai. Kami kemudian balik dan singgah di kawasan perkuburan Alai bagi menziarahi kubur arwah Haji Atip, bapa mertua aku. Lebih kurang 20 minit berada di kawasan tersebut, kami bergerak pulang untuk bersarapan pagi.

Seperti biasa, rendang dan sambal tumis ikan bils Mak Munah yang dimasak sejak malam tadi menjadi pilihan anak-anaknya.

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan