Selasa, Ogos 07, 2012

Program Bubur Lambuk

Seperti dijadualkan, semalam merupakan giliran Perpustakaan UTeM memasak bubur lambuk. Program memasak bubur lambuk ini merupakan satu program bersama di antara Pusat Islam dengan pusat-pusat tanggungjawab di UTeM di mana bahan-bahan memasak dan tenaga kerja dalam penyediaan bubur lambuk dibuat secara bersama.

Seramai lebih 20 orang staf perpustakaan terlibat dengan program ini yang diadakan pada 6 Ogos 2012. Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi di mana kumpulan staf ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan wanita menyediakan ramuan untuk memasak manakala kumpulan lelaki menyediakan perkakasan seperti dapur, periuk dan juga memasak.

Program berjalan lancar. Jam 12.30 tengah hari, bubur lambuk siap dimasak. Staf perpustakaan kemudian bergotong-royong mengisi bubur lambuk ke dalam beg plastik untuk diagih-agihkan kepada staf dan pelajar UTeM. Lebih 600 bungkusan plastik bubur lambuk diagih-agihkan oleh wakil pusat tanggungjawab dan ada juga yang datang mengambil bubur lambuk secara persendirian.

Menjelang jam 4.30 petang, semua bubur lambuk selesai diagihkan kepada warga UTeM.

Program memasak bubur lambuk ini merupakan satu program amal yang diadakan khususnya pada bulan Ramadhan Al-Mubarak. Selain bersedekah, program sebegini dapat mengeratkan ikatan silaturrahim di antara staf dan pelajar.

Terima kasih kepada Kelab Staf Perpustakaan (Listac) yang berjaya menguruskan program amal pada tahun ini. Semoga program begini akan diteruskan dan dijadikan acara amal tahunan pada tahun hadapan.


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan