Selasa, November 06, 2012

Steven Covey Dan 7 Tabiat Orang Berkesan

Seorang pemikir terkenal, Stephen R. Covey, mengutarakan satu teori mengenai kebolehan manusia. Dalam bukunya The Seven Habits Of Highly Effective People, beliau membentangkan tujuh tabiat yang menjadi amalan orang-orang yang berjaya dalam hidup. Tujuh tabiat yang dimaksudkan itu ialah:



1. Bersikap Proaktif (Be Proactive)
==> Bertindak lebih awal bukan setelah berlaku sesuatu.

2. Bermula Dengan Matlamat (Begin With The End In Mind)
==> Mulakan sesuatu usaha dengan menentukan matlamat dan pastikan matlamat itu tercapai.

3. Lakukan Sesuatu Mengikut Tertib (Put First Things First)
==> Laksanakan sesuatu mengikut peraturan dan keutamaan.

4. Fikirkan Sama-Sama Menang (Think Win-Win)
==> Tentukan sama-sama mendapat faedah atau keuntungan

5. Fahami Orang Sebelum Orang Memahami Kita (First Seek To Understand Then To Be Understood)
==> Cari jalan memahami orang lain terlebih dahulu sebelum orang memahami kita; jangan mementingkan diri sendiri.

6. Gemblengkan Tenaga (Synergize)
==> Jalin kerjasama dan kukuhkan ikatan.

7. "Tajamkan Gergaji" (Sharpen The Saw)
==> Perbaharui tekad dan buat perubahan diri

Tujuh Tabiat Berkesan ini kemudian dipecahkan pula kepada 3 bahagian bagi menentukan kejayaan atau mencari kemenangan, iaitu:-

KEMENANGAN PERIBADI

• Bersikap Proaktif
• Bermula Dengan Matlamat
• Lakukan Sesuatu Mengikut Tertib

KEMENANGAN BERSAMA
• Fikirkan Sama-Sama Menang
• Fahami Orang Sebelum Orang Memahami Kita
• Gemblengkan Tenaga

PEMBAHARUAN DIRI
• Baharui Tekad Dan Buat Perubahan Diri

Untuk membaca kandungan buku ini dan membaca buku terbaru penulis mengenai tabiat ke 8 boleh layari https://www.stephencovey.com/7habits/7habits.phphttps://www.stephencovey.com/7habits/7habits.php

Ahad, November 04, 2012

Pesta Buku Melaka 2012

Hari ini berlangsungnya Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 di Melaka International Bowling Centre (MIBC), Ayer Keroh, Melaka.


Pesta Buku Melaka 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) ini bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat serta menyokong industri buku tempatan khususnya di Negeri Melaka. Di samping itu ia juga dapat membina gaya hidup yang positif dan menerapkan amalan murni melalui pembacaan.


Pesta Buku ini berlangsung selama tiga hari iaitu dari 2 hingga 4 November 2012. Pelbagai aktiviti diadakan seperti jualan dan pameran buku, Pameran Perpustakaan, Kembara Ilmu, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Karaoke Bintang Cilik, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Tulisan Khat dan Pertandingan Bowling Terbuka.

Selain daripada itu turut diadakan Pertandingan Nazam, Pertandingan Ikatan Kasih (Puzzle), Pertandingan Pakaian Beragam, Demonstrasi Kraftangan, Bicara Novelis, “Spell It Right In JAWI”, Kuiz Pelancongan, Kuiz Perpustakaan, Kuiz Pengetahuan Am dan Pengunjung Bertuah. Kartunis Imuda dan novelis Ain Maisarah turut dijemput untuk memeriahkan sesi bersama para pengunjung.


Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 diadakan pada jam 2.15 petang dan dihadiri oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, YB Datuk Hj. Ab. Wahab Ab. Latip, Pengerusi Perpustam, YB Datuk Latiff Datuk Hj. Tamby Chik, Datuk Prof. Madya Dr. Abu Bakar Md. Diah dan Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris, selaku Pengarah Perpustam di samping ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, para pemenang pertandingan serta pengunjung  pesta buku.


Majlis dimulakan dengan persembahan deklamasi sajak dan persembahan bercerita oleh pelajar yang terpilih. Ia kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan YB Datuk Hj. Ab. Wahab Ab. Latip, Pengerusi Perpustam dan ucapan perasmian penutup Pesta Buku Melaka 2012 oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka.


Di dalam ucapannya, Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam menekankan tentang kepentingan ilmu dan sikap. Menurut beliau, hanya dengan adanya ilmu, ia mampu membentuk sikap yang betul dan akan menjadi penentu kepada segalanya khususnya modal insan.


Beliau berharap Perpustam dapat memikirkan strategi memapankan industri buku negara seperti mengadakan pertandingan menulis buku bagi melahirkan lebih ramai penulis di mana ia mampu merancakkan industri buku tanah air. Bagi Negeri Melaka, ianya turut mendapat manfaat di mana ia menjadikan negeri ini sebagai negeri pelancongan pendidikan pada masa depan.


Sebaik selesai ucapan perasmian penutup, diadakan gimik pelancaran bagi menarik perhatian tetamu dan pengunjung. Pada majlis ini juga Ketua Menteri melancarkan buku berjudul 'Petua Buat Sendiri Inovatif (DIY)' oleh Abd. Malik Ibrahim.


Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam juga turut menyampaikan cenderamata kepada para pemenang pertandingan sebelum melawat gerai-gerai pameran buku di Lobi MIBC.


Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 berakhir pada jam 3.30 petang.

 




 
















Kuasa Buah

Kuasa Buah
Ketahui khasiat sebenar makanan wajib bantu ubati, hindari penyakit.

Buah-buahan memiliki kandungan gizi, vitamin dan mineral yang sangat baik untuk tubuh. Khasiat buah-buahan diletakkan pada aras dua Piramid Makanan bersama sayur-sayuran. Pengambilan buah-buahan mengikut jumlah hidangan mencukupi dapat memastikan tubuh badan dan otak kita menerima semua nutrien mencukupi bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.

Malangnya, berapa ramai antara kita tahu kelebihan sebenar khasiat buah-buahan kecuali vitamin C yang sudah terlalu kerap dikaitkan dengan buah-buahan tertentu seperti oren dan epal.

Bagaimana pula dengan aspek lain buah-buahan seperti khasiatnya membantu mengurangkan penyakit?

Buah-buahan Anti Kanser

Pakar Diet Klinikal, Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing menjelaskan, kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikatakan boleh mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.

“Pada 2005, 17.5 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular iaitu 30 peratus daripada jumlah kematian global. Pemakanan yang baik adalah pendekatan terbaik untuk mencegah penyakit dan penjagaan kesihatan.

“Nutrien adalah khasiat yang mesti kita peroleh daripada makanan. Khasiat pemakanan ini adalah penting untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan sepanjang hayat,” katanya.

Lebih menarik lagi, hasil penyelidikan mengenai manfaat buah-buahan kepada kesihatan turut dikongsi pada kempen kemasyarakatan, Kesihatan Itu Kekayaan anjuran MBG Fruitshop di Jaya 33, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


Antara fakta menarik yang dikongsi termasuk, ramai tidak tahu pisang membantu menentang kemurungan. Selain itu, antioksidan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risiko kanser esofagus; buah kiwi meningkatkan kesihatan seksual lelaki dan kismis membantu menjaga kesihatan gigi serta pembangunan mental kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak misalnya, buah-buahan yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti karbohidrat, mineral dan vitamin penting dalam pertumbuhan mental fizikal mereka. Karbohidrat dalam buah-buahan misalnya, adalah dalam bentuk gula yang menyumbang kepada tenaga badan. Selain itu, buahan-buahan juga tinggi dengan serat yang membantu dalam mengelak masalah sembelit terutama di kalangan kanak-kanak.

Khasiat buah-buahan:

Anggur/kismis
Mengurangkan risiko kanser; strok; penyakit jantung dan hilang ingatan; antipenuaan; antioksidan; antiradang; kesihatan kulit; mata; kardiovaskular; kesihatan gastrik; kesihatan saluran kencing dan penyakit gusi.

Buah oren
Kesihatan jantung; penglihatan; pelalian dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Pada masa sama, buah sitrus ini turut memiliki kelebihan sebagai antioksidan; membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.

Buah Epal
Pengambilannya yang kerap dikatakan dapat mencegah dementia atau nyanyuk; mencegah kenaikan berat badan; menurunkan kolesterol; menentang kanser dan antioksidan.

Buah Pear
Bersifat antioksidan; menjaga kesihatan kardiovaskular; antiradang; menjaga kesihatan jantung; menyembuhkan luka dan lebam; membaiki tisu; menjaga kesihatan penglihatan; menentang jangkitan; menyokong transmisi saraf dan melawaskan perut.

Pisang kaki
Menjaga kesihatan penglihatan, melegakan sembelit, cirit-birit, hemoroid (buasir) dan antioksidan.

Mangga
Anti kanser; menjaga kesihatan penglihatan; membantu penghadaman; menjaga kesihatan kulit; membantu membaiki kesihatan seksual; menambah berat badan; menguatkan daya ingatan; berfaedah untuk anemia (kurang darah) dan mencegah selaran panas.

Kiwi
Buah yang kaya dengan vitamin C dan berasal dari New Zealand ini membantu mengatasi insomnia (sukar tidur); mencairkan darah untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida); membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas dan batuk malam); mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit; menjaga kesihatan penglihatan; kesihatan kolon dan kesihatan prostat.

Pisang
Bagi mereka yang mudah stres atau alami tekanan, buah pisang boleh menjadi pilihan. Ini disebabkan ia kaya khasiat antikemurungan (membantu membaiki mood dan tidur); antioksidan; mengawal tekanan darah; meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan; meningkatkan tenaga; menjaga kesihatan jantung; mengurangkan risiko kanser; menentang ulser peptik; melegakan cirit-birit dan sembelit.

Sumber: Berita Harian, 31/10/2010

Khamis, November 01, 2012

Pertukaran Yang Emosional

Rabu lalu, tujuh staf diarahkan bertukar bahagian mengikut keputusan bos. Satu perpustakaan terkejut dengan keputusan ini. Pertukaran ini bukan sahaja melibatkan pegawai malah staf sokongan. Begitu cepat berita tersebar ke seluruh perpustakaan melalui segala saluran yang ada.


"Bos mengamuk...", kata salah seorang staf yang identitinya dirahsiakan.

Hakikatnya, emosi mengatasi kewarasan berfikir. Dan Ia sering berlaku dalam kehidupan seharian.

Beberapa jam kemudian, ianya menjadi realiti. Surat-surat pertukaran bahagian sampai ke tangan yang empunya diri. Masing-masing terpinga-terpinga. Pertukaran ini tidak pernah diperbincangkan dan tidak pernah dimaklumkan kepada mereka. Cuma yang empunya diri perlu menukar mindset, bertugas di tempat baru dan bersedia dengan apa juga kemungkinan.

Dalam konteks yang berbeza, emosi yang mengatasi kewarasan berfikir telah banyak menimbulkan huru-hara dalam kehidupan. Lalu mengawal emosi merupakan satu keperluan yang sangat penting.

Pada hemat saya, mengawal emosi ini perlu dikaitkan dengan kesabaran. Bila ditimpa ujian, ayat 45, Surah Al-Baqarah boleh dijadikan panduan.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Kepada yang terlibat dengan pertukaran bahagian ini diharapkan bersabar. Lihatlah secara positif akan pertukaran ini dan gunakan ruang dan peluang yang diberikan untuk mencapai sesuatu kejayaan pada masa hadapan.

Selamat bertugas di tempat baru....

Isnin, Oktober 29, 2012

Lawatan Kerja Staf Perpustakaan UiTM Sarawak

Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi menerima pelawat dan kali ini dari Bumi Kenyalang.

Pada 29 Oktober 2012, seramai 25 orang staf Perpustakaan UiTM Sarawak yang diketuai oleh Encik Arifin Hj. Jamaluddin, Timbalan Ketua Pustakawan mengadakan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan UTeM. Rombongan ini terdiri daripada 3 orang pustakawan dan 21 orang staf sokongan.


Di antara tujuan lawatan ini ialah untuk berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan perpustakaan yang disediakan di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kedua perpustakaan ini.

Selain Perpustakaan UTeM, rombongan ini juga dijangka akan berkunjung ke Perpustakaan UiTM Lendu, UTM Skudai dan beberapa buah perpustakaan lain di sekitar Kuala Lumpur.

Rombongan pelawat ini tiba di Perpustakaan UTeM pada jam 10.45 pagi. Mereka disambut oleh Cik Rasida Abu Bakar, Pustakawan Kanan dan Puan Mez Zelina, Pustakawan dari Bahagian Rujukan dan dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama.

Ucapan alu-aluan dan taklimat perpustakaan disampaikan oleh Encik Azman Hj. Ayup, Timbalan Ketua Pustakawan (Memangku) mewakili Ketua Pustakawan. Turut hadir Encik Arman Mohammad, Pustakawan Kanan, Bahagian Perolehan.

Sebaik selesai taklimat perpustakaan, diadakan sesi soal jawab di antara kedua pihak dan ternyata sesi ini begitu mesra dan terbuka. Satu sesi pertukaran cenderamata diadakan bagi menghargai kerjasama di antara kedua pihak atas inisiatif lawatan yang dirangkakan.

Pukul 11.30 pagi, rombongan ini dibawa melawat ke bahagian-bahagian perpustakaan seperti Bahagian Perolehan, Bahagian Pengindeksan, Bahagian Rujukan, Bahagian Sirkulasi dan juga ruang-ruang perkhidmatan di perpustakaan.

Di akhir lawatan, satu sesi bergambar diadakan di ruang galeri untuk tujuan kenang-kenangan.

Lawatan berakhir pada jam 2.00 petang.