Khamis, Januari 05, 2012

Sesi Persekolahan 2012 Bermula

Rabu, 4 Januari 2012. Sesi persekolahan bagi tahun 2012 bermula. Semua pelajar akan menyarung pakaian seragam putih dan menyandang beg ke sekolah. Jalan mula menjadi sesak kerana banyak kenderaan dipandu menuju ke sekolah. Ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Hari ini aku mengambil cuti rehat semata-mata untuk menguruskan anak-anak. Sebelah pagi, aku ke SJKC Keh Seng di Bukit Baru untuk membeli buku-buku dan peralatan persekolahan Miza dan Alim.



Ramai juga pelajar Melayu yang bersekolah di SJKC Keh Seng pada tahun ini. Ini menunjukkan sudah ada kesedaran di kalangan orang Melayu untuk menguasai Bahasa Cina. Dari segi makanan, tiada makanan halal dijual di kantin melainkan makanan ringan seperti jajan dan aiskrim. Bagi Miza dan Alim, kami akan bekalkan makanan dari rumah.

Semalam, aku dan Ifa ke SMKA Sharifah Rodziah, Telok Mas bagi menghadiri Hari Pendaftaran Tingkatan Satu Tahun 2012/1433H. Sebaik sampai, kami diberi pilihan untuk memilih kelas. Ifa mendaftar di Kelas 1 Saodah.

Di dalam Dewan As-Sharifah, diadakan Majlis Taklimat Hari Pendaftaran Tingkatan 1. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, kemudian ucapan daripada YDP PIBG serta ucapan daripada Pengetua, Puan Hjh Hamizah Hassan. Seterusnya ucapan perasmian daripada wakil Pegawai Pelajaran Daerah, PPD Melaka Tengah, Jabatan Pelajaran Melaka dan diakhiri majlis dengan doa.

Bagi ibu bapa dan anak-anak, mereka tinggal di dewan untuk mendengar taklimat HEM daripada Puan Zaini Jani, GPK HEM, SMKASR.

Aku membawa Ifa menjelaskan bayaran persekolahan kepada guru kelas dan kemudian menguruskan pembelian buku, pakaian sukan dan peralatan persekolahan Ifa. Hampir 4 jam kami di sana dan pulang semula ke tempat kerja pada jam 12.00 tengah hari.

Bagi Arif, aku minta beliau menguruskan sendiri urusan persekolahannya di SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam. Arif kini di Tingkatan 4.

Lewat tengah hari, aku menjemput anak-anak pulang dari sekolah. Aku mengambil Miza dan Alim dari sekolah dan kemudian menjemput Arif sebelum singgah untuk membayar pendaftaran sekolah agama di SRA Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru.

Jam 4.00 petang aku ke SMKA Sharifah Rodziah untuk menjemput Ifa malangnya semasa minggu orientasi, pelajar luar dibenarkan balik pukul 5.00 petang.

Walaupun penat, bila melihat kerenah anak-anak semasa nak ke sekolah ataupun pulang dar sekolah, hati jadi gembira. Masing-masing akan menceritakan pengalaman mereka di sekolah bersama rakan baru atau guru-guru.

Semoga sesi persekolahan diteruskan dengan penuh semangat...







Tiada ulasan:

Catat Ulasan