Jumaat, Januari 20, 2012

Stop Online Piracy Act (SOPA)

Salah satu perbincangan yang menjadi semakin hangat akhir-akhir ini adalah berkenaan dengan SOPA, dan bukan sahaja hangat dibincangkan di Amerika Syarikat sahaja, malah media seluruh dunia. Melaluinya, ia bukan hanya memberi kesan kepada cetak rompak, tetapi kepada internet secara menyeluruh.

SOPA merupakan singkatan kepada Stop Online Piracy Act, yang sedang diperbincangkan oleh pihak Amerika Syarikat.

Secara kasarnya ia merupakan salah satu cara untuk mengurangkan masalah cetak rompak melalui internet, namun ia memberi kesan yang lebih daripadanya, dan seperti tidak begitu adil untuk semua penyedia perkhidmatan berasaskan internet.



Memandangkan banyak penyedia perkhidmatan nama domain (.com, .net. dan .org) berpengkalan di Amerika Syarikat, maka perkhidmatan ini memberikan kesan menyeluruh, termasuk kepada para pengguna dan pembangun di Malaysia.

Walaupun cetak rompak merupakan salah satu perkara yang dihalang di semua negara, mahupun agama, pengawalannya masih lagi suatu perkara yang sukar. Apatah lagi dengan kebanyakan perkhidmatan berasaskan web sekarang, seperti YouTube, Facebook dan sebagainya menggunakan kandungan yang dijana oleh pengguna, maka mengawalnya mungkin sesuatu yang sukar. Dengan pengenalan SOPA, ia semestinya akan memberikan kesan yang menyeluruh kepada perkhidmatan seumpama ini, dan memberikan kesan kepada penggunannya di seluruh negara, termasuk Malaysia.

Selain daripada itu, jika salah satu kandungannya yang bertentangan dengan hak cipta, di bawah akta ini, ia akan menjadikan keseluruhan nama domain tersebut dihalang, dan memberikan efek yang besar.



Buat masa ini, kebanyakan syarikat berasaskan internet membantah perkara ini, termasuklah Google, Facebook, Yahoo!, Microsoft, PayPal, Mozilla, FourSquare, eBay, AOL, Creative Commons dan banyak lagi.

Namun begitu masih ada yang menyokongnya, dan salah satu syarikat yang menyokongnya adalah GoDaddy (GoDaddy telah menarik balik sokongan selepas ramai pengguna mereka keluar dan beralih ke perkhidmatan lain).

SOPA masih lagi pada peringkat pendengaran buat masa ini, dan pendengaran seterusnya bakal diadakan pada bulan Januari kelak. Dan semakin hari, semakin banyak syarikat membantah cadangan tersebut, dan ada juga yang menyokongnya.

Walaupun ia masih tidak diketahui kesannya, tahun hadapan akan menjadi antara tahun yang hangat membincangkan mengenai akta-akta berkaitan internet, termasuk di Malaysia sendiri yang membincangkan mengenai Akta Badan Perkomputeran Professional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan